Berita

Isu Melayu hijrah: Fitnah jahat Muhyiddin disanggah

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 24 MEI: Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membina 11,596 unit rumah mampu milik bagi membantu rakyat kurang berkemampuan serta memperuntukkan RM500 juta dengan kelulusan 277 ekar tanah untuk membina sekurang-kurangnya 18,000 lagi unit rumah mampu milik yang berkualiti.

Fakta ini secara langsung menyanggah dakwaan jahat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memainkan sentimen perkauman ekoran dakwaan beliau bahawa  kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membina rumah mampu milik serta mengusir 18,000 orang Melayu dari negeri itu.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, keghairahan UMNO-BN yang terdesak untuk mendapat undi Melayu yang semakin berkurangan telah menyebabkan mereka berkali-kali memainkan sentimen perkauman dengan fitnah jahat bahawa kerajaan negeri PR mahu meminggirkan atau mengusir Melayu.

“Ia boleh dilihat dengan keengganan media massa yang dikuasai BN menyiarkan kenyataan kerajaan negeri membetulkan fitnah jahat ini.

“Sekiranya kebenaran tidak dinyatakan, maka tindakan bahaya UMNO-BN ini akan menjejaskan hubungan baik dan harmoni di kalangan rakyat majmuk Malaysia.” ujarnya lagi.

Media massa kawalan UMNO-BN seperti lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia dan TV3 sering memaparkan fitnah terhadap DAP dan Pakatan Rakyat tanpa memberi ruang untuk menjelaskan atau menjawab tohmahan serta pembohongan para pemimpin UMNO-BN serta pecacai mereka.

Ekoran fitnah berniat jahat Muhyiddin tersebut, Guan Eng berkata, EXCO kerajaan negeri Pulau Pinang yang bermesyuarat semalam telah mengutuk sekeras-kerasnya fitnah media massa utama yang dikuasai BN yang cuba menghasut sentimen perkauman.

“Media massa pro-UMNO-BN tersebut telah menabur fitnah dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempunyai strategi halus melaksanakan dasar peminggiran Melayu di Pulau Pinang yang mengakibatkan pengurangan penduduk Melayu akibat  tidak menjalankan projek perumahan mampu milik.

“Jumlah pengurangan penduduk Melayu sebanyak 18,000 orang adalah satu fitnah jahat yang boleh disangkal dengan menunjukkan daftar pemilih akhir tahun 2011 menunjukkan tambahan pengundi Melayu sebanyak 34,931 orang berbanding dengan pilihan raya umum 2008,” katanya.

Muhyiddin ditempelak ekoran kenyataan jahatnya yang mendakwa ramai orang Melayu terdesak meninggalkan Pulau Pinang akibat tidak mampu memiliki rumah.

“Tuduhan ini adalah salah dan tidak benar kerana sejak kerajaan negeri PR memerintah pada 2008 sehingga sekarang, sebanyak 11,596 rumah kos rendah dan sederhana rendah telah dibina oleh kerajaan negeri dan pihak swasta,”kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Berikut adalah data pembinaan rumah mampu milik yang telah dibina kerajaan PR Pulau Pinang:-

 

Kos Rendah Kos Sederhana Rendah Jumlah
Kerajaan 1194 2227 3421
Swasta 2612 5563 8175
Jumlah 3806 7790 11596

 

Fasa 1 adalah di Batu Kawan sebanyak 12,000 unit di atas 200 ekar tanah. Manakala Fasa 2 pembangunan rumah mampu ini melibatkan 77 ekar tanah di  Pulau Pinang yang boleh menyumbang 6,000 unit rumah mampu milik.  Tanah untuk perumahan mampu milik telahpun dikenalpasti di kesemua lima-lima daerah di seluruh Pulau Pinang seperti berikut:

 

No. Daerah Jumlah Luas (Ekar)
1. Seberang Perai Utara 28.90
2. Seberang Perai Tengah 31.71
3. Daerah Timur Laut 10.21
4. Daerah Barat-Daya 5.84
5. Seberang Perai Selatan 200(PDC)
JUMLAH 277 EKAR

 

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, UMNO-BN telah mendakwa bahawa kenaikan harga hartanah disebabkan oleh premium tanah tinggi yang dikenakan oleh kerajaan negeri.

Bagaimana pun, katanya, ternyata tuduhan UMNO-BN itu adalah palsu kerana kerajaan negeri tidak pernah menaikkan kadar premium tanah, yang masih dikekalkan pada tahap yang sama seperti yang ditetapkan kerajaan terdahulu.

“Sesebuah kerajaan tidak boleh mempengaruhi harga hartanah naik atau turun kerana ia ditentukan oleh permintaan pasaran dan keyakinan orang ramai,” ujarnya. – Roketkini.com