Berita

Melayu tetap jadi PM, fitnah jijik Utusan dikutuk

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Karpal Singh, sebagai seorang peguam terkenal, menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia tidak menghalang mana-mana rakyat Malaysia menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana pun, lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia telah memutarbelitkan kenyataan perundangan tersebut dengan meletakkan berita muka hadapan hari ini kononnya Pengerusi DAP itu menuntut:  “Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri”.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata bahawa sesiapa sahaja, sama ada Melayu atau bukan Melayu, boleh menjadi Perdana Menteri asalkan beliau seorang “Bangsa Malaysia”.

Menurut laporan Bernama pada 12 November 2008, Mahathir telah menyatakan bahawa “undang-undang negara ini menetapkan bahawa siapa saja boleh menjadi perdana menteri tetapi dia mestilah pemimpin sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti”.

Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu”.

Membidas fitnah terbaru Utusan, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menjelaskan petikan “selagi saya hidup” yang didakwa dikatakan oleh Karpal adalah satu putar-belit keji oleh Utusan Malaysia.

“Ia amat tidak bertanggungjawab serta tidak beretika bagi Utusan Malaysia untuk mengada-adakan isu yang tak wujud serta mengambil kesempatan politik dengan berbohong kononnya agenda Karpal dan DAP ialah melantik seorang Perdana Menteri bukan Melayu.

“Ini akan dikaitkan dengan kempen menakut-nakutkan rakyat yang dilakukan oleh para pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak berprinsip, termasuk oleh Tun Dr Mahathir minggu lalu yang mengatakan bahawa jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum, orang Melayu akan hilang kuasa politik di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan bahawa jawatan Perdana Menteri terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

“Tetapi kita (DAP) menerima hakikat politik bahawa, selagi Karpal dan saya masih hidup, realitinya adalah Melayu yang akan menjadi Perdana Menteri, dan bukannya dari kalangan kaum bukan Melayu,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mempersoalkan sama ada Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO sanggup bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk memastikan negara tidak akan menyaksikan pilihan raya paling kotor berlaku dalam PRU ke-13 nanti.

Beliau juga bertanya sama ada Najib berani menghentikan kempen kotor yang penuh dengan fitnah dan pembohongan UMNO-BN tehradap Pakatan Rakyat dalam usaha menjamin kemaslahatan politik Malaysia.

Menurutnya, fitnah Utusan membuktikan bahawa UMNO-BN tidak mahu menerima pilihan raya yang bersih, adil dan bebas, serta tdiak berani memenuhi tuntutan perhimpunan aman rakyat BERSIH supaya menghentikan politik kotor. – Roketkini.com