Berita

Plagiat lagu UBAH: Dah tak ada modal kah, wahai pecacai UMNO?

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Lagu UBAH versi asal yang telah dilancarkan oleh DAP pada 17 April lalu telah ‘diciplak’ dan diubah suai mengecam dan memburukkan Pakatan Rakyat, dipercayai dilakukan oleh pihak-pihak berkaitan dengan UMNO..

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata, lagu kempen pilihan raya DAP itu telah diubahsuai dengan cara yang tidak bertanggungjawab  dan tidak professional dengan menukar mesej perpaduan dan harmoni kepada propaganda untuk gadaikan Malaysia, menggambarkan seolah-olah DAP anti-Melayu.

Beliau menjelaskan, pihaknya telah membuat laporan kepada Youtube dan akan membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga boleh menguatkuasakan peraturan kempen pilihan raya,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Menurutnya, jika SPR berkuasa menurunkan mana-mana bahan kempen seperti poster, papan iklan, bendera dan sebagainya yang menyalahi peraturan SPR, ia juga mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap pihak yang telah menyalahgunakan bahan kempen parti lawan, termasuk di alam maya..

Dalam perkara berkaitan, Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah  turut mengulas laporan akhbar Sin Chew Daily berkenaan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan bahawa parti yang bertanding tidak boleh menggunakan simbol yang lain.

“Kita bukan budak sekolah… kita tau mengenai hal ini…Tetapi siapa yang sehingga sekarang melambatkan kelulusan pendaftaran Pakatan Rakyat (sebagai gabungan seperti Barisan Nasional)?” soal beliau.

Katanya, peraturan itu bersifat kebudak-budakan kerana jika PKR yang bertanding di satu kawasan, SPR tidak membenarkan DAP dan PAS meletakkan simbol mereka di kawasan itu.

“Semua orang pun tahu mengenai kerjasama antara PKR, PAS dan DAP tetapi SPR masih di takok lama dan berfikiran remeh temeh. Sebab itu kita mahu reformasikan SPR supaya ia tidak ketinggalan zaman,” katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan tentang parti-parti yang mesra-BN atau anti-Pakatan seperti Parti Cinta, Parti Makkal Sakhti dan Parti Kita yang mendapat kelulusan pendaftaran segera sedangkan Pakatan Rakyat telah menunggu sekian lama untuk diluluskan pendaftaran serta logo.

“Ini semua double standard SPR,” ujarnya. – Roketkini.com

Lagu Ubah versi asal boleh dilihat di sini http://www.youtube.com/watch?v=SG4kSalvAB0