Berita

Enam jam hilang di lapangan terbang Miri: Kerajaan BN tak tahu apa-apa?

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Malaysia sekali lagi menjadi perhatian dunia berikutan kes kehilangan penyampai berita Radio Free Sarawak, Peter John Jaban, selama enam jam sejurus tiba di Miri tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata,  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Omar Ismail diingatkan bahawa kes itu akan menjadi satu skandal antarabangsa kerana tidak masuk akal seseorang boleh hilang begitu sahaja selama enam jam selepas sampai di lapangan terbang Miri semalam.

“Kita tertanya-tanya apakah tiga orang lelaki yang membawa Jaban itu adalah polis di Miri yang ditugaskan untuk menagkap Jaban? Dan jika benar, mengapa pihak polis di Miri masih enggan memberi komen?” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau juga sudah menghubungi peguam Jaban, iaitu Alan Ling, yang juga tidak tahu apa yang telah berlaku kepada Jaban selama enam jam selepas berjumpanya di lapangan terbang Miri selepas tiba dari Kota Kinabalu, Sabah.

Difahamkan, Jaban telah sampai ke Miri dari Kota Kinabalu menaiki pesawat Air Asia kira-kira pada pukul 10:45 pagi semalam dan telah meninggalkan lapangan terbang Miri menuju ke bandar Miri bersama-sama Pengerusi PKR Miri Dr Michael Teo.

Dalam perjalanan ke bandar Miri, tiga orang lelaki tidak dikenali menggunakan kereta Proton dikatakan telah menahan Teo dan Jaban serta membawa Jaban bersama mereka.Radio Free Sarawak telah dilancarkan pada November 2010 sebagai saluran alternatif bagi rakyat Sarawak. Ia merupakan sebuah instrumen media yang memuatkan banyak informasi, wawancara, muzik, komentar dan laporan yang tidak akan disiarkan oleh media kerajaan BN.

Ia boleh dilawati menerusi laman sesawang www.radiofreesarawak.org. – Roketkini.com