Berita

Samseng makin ganas serang Pakatan Rakyat, pemimpin masyarakat madani

KLANG, 1 Jun : Insiden serangan samseng yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Barisan Nasional terhadap para pemimpin masyarakat madani serta Pakatan Rakyat semakin menjadi-jadi.

Mangsa terbaru ialah pemimpin DAP Selangor V Ganapathi Rao dan adiknya V Papparaidu yang diserang oleh samseng ketika menziarahi satu upacara kematian di Taman Mutiara malam kelmarin yang menyebabkan mereka dimasukkan ke hospital di sini.

Insiden serangan yang berlaku sekitar lima hingga sepuluh minit oleh tiga orang lelaki telah menyebabkan  Ganapathi Rao mengalami lebam di beberapa bahagian badan, patah tulang hidung yang menyebabkan pendarahan dan pembengkakan rahang manakala adiknya Papparaidu mengalami patah tangan kanan, bahu terkehel, dan kesan lebam serta bangkak di bahagian belakang badan.

Menurut Ganapathi, beliau mengenali dua daripada penyerang tersebut.

“Salah seorang daripada mereka pernah mempelawa saya untuk menyertai BN selepas perhimpunan anjuran Malaysian Indian Voice (MIV) dan saya membalas bahawa mereka adalah penipu dan pengkhianat.

“Apabila diserang, saya cuba untuk mengelak tetapi salah seorang dari mereka telah memukul saya,” katanya.

Ganapathi Rao yang juga salah seorang Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata, mereka telah ditumbuk dan diterajang bertubi-tubi termasuk menggunakan batang besi dan kerusi plastik.

Satu laporan polis telah pun dibuat di Balai Polis Kapar oleh Papparaidu dan pihak polis telah pun datang ke hospital bagi mendapatkan keterangan Ganapathi sekitar jam 2 pagi semalam.

Menurut Papparaidu, pihak polis memberi jaminan akan membuat tangkapan sejurus beliau memberikan maklumat penyerang.

Pada Isnin 28 Mei lalu, MIV telah mengadakan satu perhimpunan aman yang mendesak kerajaan untuk menyelesaikan beberapa masalah utama kaum India.

Antaranya ialah berkitan isu pendidikan, hak kewarganegaraan, kad pengenalan, sosial dan ekonomi masyarakat India di samping menggesa kerajaan memupuk dan meningkatkan perhubungan antara kaum dengan menggubal Akta Hubungan Antara kaum dan Akta Perlindungan Minoriti.

Dalam majlis yang dihadiri ribuan masyarakat India tersebut, MIV berikrar untuk bekerja keras bagi mengubah pentadbiran di peringkat pusat agar kerajaan baru Pakatan Rakyat dapat membela nasib kaum India yang telah lama dipinggirkan kerajaan UMNO-BN yang tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, Ganapathi Rao dan adiknya diserang selepas itu kerana samseng-samseng berkenaan tidak senang hati dengan penyertaan mereka dalam MIV yang menyokong Pakatan Rakyat.

Mengulas kepada insiden tersebut, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ia merupakan antara insiden terburuk selepas insiden gangguan samseng yang berlaku sepanjang bulan Mei lalu.

Menurutnya, keganasan dan kacau ganggu itu termasuk di gangguan dan intimidasi di rumah Pengerusi Bersama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan, membaling telur dan memecahkan cermin kereta pemimpin DAP di majlis hi-tea Merlimau, membaling batu terhadap hadirian di ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah dii Lembah Pantai dan sebagainya.

“Perkara yang penting sekarang adalah usaha semua pihak untuk menghentikan budaya samseng ini…” katanya kepada Roketkini.

Menurutnya lagi, sehingga sekarang kerajaan BN terus membisu terhadap insiden-insiden serangan samseng yang telah berlaku.

“Kejadian-kejadian yang berlaku mungkin disebabkan wujud ketakutan dari pihak BN sendiri keran semakin tidak mendapat sokongan rakyat.

“DAP bersedia untuk memainkan peranan untuk membantu menghentikan gejala samseng  ini tetapi apakah UMNO-BN bersedia untuk berbuat demikian?” katanya lagi. – Roketkini.com