Budaya

Bertandang ke Pulau Pinang – Bahagian Pertama Oleh Asi Dani

Gambar ehsan http://www.facebook.com/buletinmutiara

Dua minggu masa berlalu masih tidak berupaya mengendurkan bau mee sotong yang masih melekat ditekak. Sebelum tahun 2008, aku pernah dua kali ke Pulau Pinang, yakni ketika negeri itu ditadbir oleh Koh Tsu Koon yang didokong oleh UMNO. Ketika itu aku sempat ke Balik Pulau, tempat yang dikatakan majoriti penduduknya Melayu. Kedatangan kali kedua sempat membawa aku ke Batu Feringgi, kedua-dua tempat ini tidak ada apa-apa yang terlalu menarik perhatian aku kecuali makanannya.

Kedatangan aku dua minggu yang lalu adalah atas urusan kerja, bukan singgah tetapi bertandang. Dalam kesibukan, aku masih sempat juga meronda dan berjumpa dengan beberapa orang teman, semuanya anak pulau yang bertelo bahasa pekat Pulau Pinang.

Aku ‘ghaplah’ bila semua ‘dok pakat minum’ sama-sama. Lima belas minit pertama, aku hanya mampu tersengeh tawar mendengar mamat-mamat Penang ni berborak. Nak mencelah, ‘tak tau tang mana’.

Ada apa dengan orang Pulau Pinang?

Aku ditunjukkan itu dan ini tentang orang-orang Pulau Pinang, aku diberitahu sana dan sini kedudukan rumah, bangunan dan segala batu bendul di Pulau Pinang, aku betul-betul terasa bodoh yang amat tentang Pulau Pinang. Yang aku tahu sejak dahulu, Pulau Pinang ini rakyatnya selain dari kaum Cina, hanyalah mamak, anak mami, boria dan P.Ramlee. Selain dari itu, aku tidak ambil peduli dan tidak tahu.

Namun, dalam buta maklumat tentang Pulau Pinang ini, ada beberapa perkara yang aku sedar tentangnya. Antaranya bangunan tinggalan kolonial British yang masih wujud dan dijaga dengan baik. Katanya ini kerja Koh Tsu Koon dan Barisan Nasional. Atau anak negeri ini memang sayang dengan warisan tempatan?

Kemudian aku teringat dalam beberapa sesi perjumpaan dan temu ramah dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri termasuk dengan pegawai berpangkat rendah. Yang menarik bukanlah isu perbualan tetapi aku menyedari bahawa mereka selesa dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Walau pun bahasa Inggeris mereka tidaklah sehebat Tunku Aziz, aku memuji keinginan dan keupayaan mereka kerana rata-rata mereka ini adalah pegawai berpangkat rendah, bertaraf kakak hingga makcik, Melayu, Muslim dan kakitangan awam negeri.

Bagi aku, kakitangan seperti ini umumnya akan berbicara dalam bahasa dan loghat mereka sendiri, malah mereka tidak akan cuba menggunakan bahasa Inggeris, apatah lagi dengan orang luar yang tidak dikenali seperti aku.

Warisan budaya

Di sini aku dapati ada semacam satu pola budaya antara bangunan kolonial yang terpelihara dengan budaya dalam aspek bahasa komunikasi penduduk tempatan. Budaya ini bukan pemeliharaan atau asuhan oleh kerajaan BN, tetapi ia menceritakan lebih jauh dari itu

Kesan peninggalan British khususnya di Pulau Pinang bukan semata-mata dalam bentuk fizikal bangunan, sebaliknya ia merangkumi sistem pentadbiran dan kebudayaan termasuk dalam aspek gaya komunikasi rakyat tempatan. Kepelbagaian ini bagi aku sangat organik dan menarik perhatian.

Sebaliknya yang aku pernah alami di tempat lain, mereka yang berjawatan rendah akan dianggap lucu dan dilihat sinis jika cuba berbahasa Inggeris (yang dimaksudkan Bahasa Inggeris ini bukanlah gaya bahasa rojak dan ‘broken’). Inilah minda tipikal yang masih berbekas kuat pada sesetengah masyarakat kita.

Makanya, warisan yang ada di Pulau Pinang, baik bangunan mahu pun budaya, dalam aspek komunikasi masyarakat negeri adalah warisan dari kerajaan kolonial yang memberi nilai tambah kepada Pulau Pinang dan rakyatnya.

Hipotesis umum aku ini barangkali bersandarkan peristiwa Mac 2008 bila mana Pulau Pinang yang suatu ketika dulu menjadi kubu politik terkuat Gerakan dan BN, kini telah bertukar kerajaan. Keberanian ke atas perubahan ini pastinya berakar dari satu bentuk amalan budaya tempatan. Secara umumnya, mereka (penduduk Pulau Pinang) sanggup memilih atau menerima perubahan dan memahami kepelbagaian budaya.

Jika perubahan di negeri Selangor, kita akan mudah sekali beranggapan bahawa lokasinya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur membolehkan berlakunya pelbagai peristiwa politik yang penting, maka tempias perubahannya sudah dijangka.

Begitu juga di Kedah yang mana kekuatan PAS boleh dihidu dari utara Perak lagi Malah kurang memeranjatkan kepada Kedah yang mempunyai lebih 70 peratus penduduk Melayu.

Jadi bagaimana Pulau Pinang boleh menerima tempias sehebat ini jika tiada faktor-faktor dalaman yang mampu menggerak satu perubahan?

Nilai tersendiri

Hipotesis setengah masak aku ini masih dapat menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang tidak kira bangsa dan agama, mempunyai nilai tersendiri dalam merencana budaya dan politik mereka.

Kecelikan terhadap kepelbagaian ini mungkin bukan dalam keadaan yang mereka sedari, namun ia memadai bila mana ia telah memberi nilai tambah terhadap budaya teras yang mungkin menjadi faktor kepada perubahan 2008.

Habis berborak, aku dihantar pulang oleh teman yang baru aku kenal beberapa minit yang lalu. Dalam perjalanan ke tempat penginapan aku, dia sempat memberitahu bahawa kakaknya seorang ibu tunggal dengan empat orang anak-anak yang masih bersekolah.

Katanya, seminggu selepas Lim Guan Eng mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri yang baru, kakaknya dihubungi oleh pejabat Ketua Menteri. Dipendekkan kisah, kakaknya tersenyum gembira kerana selepas menerima panggilan itu, keperluan sekolah anak-anak yang kehilangan bapa ini sudah lengkap.

Maka perubahan ini amat berbaloi dan lebih berbaloi untuk dipertahankan. – Roketkini.com