Berita

Benarkah Johor maju? Kenapa ramai belia menganggur?

JOHOR BAHRU, 7 JUN: Masalah ekonomi yang tidak menentu menyebabkan  pengangguran di kalangan generasi muda, khususnya dalam masyarakat Melayu dan India,  di Johor belum dapat diselesaikan dengan baik.

Walau pun Johor sering diwar-war oleh Barisan Nasional sebagai pesat membangun, pembangunan tidak terancang dan pincang mengakibatkan pelbagai masalah keselamatan dan sosial berlaku terutama dari kalangan masyarakat Melayu dan India di negeri ini.

Timbalan Pengerusi DAP Johor Norman Fernandez berkata, kerajaan BN Johor perlu benar-benar mendahulukan rakyat jika benar-benar serius mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Apabila pihak berkuasa tidak menyediakan pembangunan yang seimbang seperti rumah rakyat yang selesa dan kawasan beriadah yang sesuai, anak-anak muda terutamanya di kalangan masyarakat Melayu dan India, biasanya lebih gemar berpeleseran di pusat membeli belah.

“Kos sara hidup yang juga semakin meningkat dan masalah gaji yang tidak seimbang dengan kenaikan harga barang menyebabkan ramai di kalangan yang kurang berkemampuan terutamanya di bandar hidup dalam keadaan tertekan.

“Ini termasuklah masalah kehilangan pekerjaan dan peluang pekerjaan terhad yang menyebabkan antara sebab ramai rakyat Johor terpaksa berhijrah ke negeri lain atau bekerja di Singapura walau pun terpaksa bergegas seawal jam 5 pagi,” katanya kepada Roketkini.

Bagi sebahagian masyarakat India, Norman yang juga seorang peguam berkata, ramai yang telah berhijrah dari estet ke bandar kerana sudah tiada peluang pekerjaan yang wajar dan munasabah di sektor perladangan.

Namun, katanya, apabila berada di bandar, mereka menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan, dan ia ditambah pula dengan kegagalan kerajaan BN menyediakan kediaman untuk diri keluarga, menyebabkan mereka terpaksa mendiami kawasan setinggan.

“Kesukaran mendapat pekerjaan ini pula menyebabkan pelbagai masalah sosial dan jenayah berlaku,” ujarnya.

Pada tahun 2010, kadar rekod jenayah yang dicatatkan di Johor adalah sebanyak 20,684 kes. Ia merupakan negeri yang menerima peruntukan besar dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan jenayah bagi Program Bandar Selamat, iaitu RM26.1 juta bagi seluruh negeri melalui pihak berkuasa tempatan.

Menurut Norman, sekurang-kurangnya 40% dari penghuni penjara Simpang Renggam adalah dari kalangan orang India akibat dari pelbagai kesalahan jenayah.

“Orang India menghadapi banyak masalah melibatkan sosio ekonomi walau pun lebih 55 tahun memberi sokongan tak berbelah bagi kepada BN. Tetapi apa yang berlaku, mereka cuma mendapat janji sahaja,” tambah beliau.

Justeru, beliau berharap masyarakat India di Johor supaya bersama-sama dengan orang Melayu dan Cina yang semakin cenderung kepada Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan demi kebaikan diri dan keluarga mereka. – Roketkini.com