Berita

BN umum kadar jenayah turun, aktivis sosial dan guru dipukul teruk

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Insiden samun ke atas aktivis BERSIH, Dr Wong Chin Huat, semalam adalah peringatan ngeri kepada semua rakyat Malaysia tentang kegagalan pentadbiran Najib untuk mengurangkan kadar jenayah dan menyingkirkan rasa takut orang awam.

Dr Wong diserang dan dipukul semasa beliau keluar untuk jogging berhampiran rumahnya di Seksyen 18, Petaling Jaya, Selangor pagi semalam.

Dalam satu lagi kejadian, seorang guru dari Bandar Kinrara, Puchong, Teoh Soo Kim, cedera parah dan tidak sedar diri dalam satu percubaan menculik pada Rabu lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tidak ada gunanya pemimpin kerajaan berbangga dengan pengumuman kadar jenayah telah turun apabila rakyat Malaysia boleh diserang dan dipukul di tempat terbuka.

“Tiada gunanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif  PEMANDU dan Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Jala yang berbangga dengan keberkesanan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Apa gunanya pengumuman bahawa indeks jenayah secara keseluruhan tahun 2011 telah jatuh sebanyak 11% sementara jenayah di jalan raya telah jatuh sebanyak 39.7% berbanding dengan 35% dalam 2010, apabila rakyat Malaysia tidak berasa selamat sama ada di kediaman mereka sendiri atau pun di luar rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, mobilisasi lebih 14,000 kakitangan polis pada 28 April untuk menangani BERSIH 3.0 serta kempen fitnah yang telah dilancarkan terhadap lebih 200,000 rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan aman itu membayangkan kegagalan kerajaan Najib untuk mengurangkan jenayah dan menyingkirkan rasa takut orang awam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata kerajaan perlu merujuk semula kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja yang mengemukakan 125 syor pada tahun 2005 untuk transformasi dan reformasi pihak polis.

Antara syor itu, katanya, ialah usaha untuk menjadikan polis Malaysia  lebih efisien, tidak makan suap dan perkhidmatan profesional yang bertaraf dunia yang memberi fokus kepada tiga fungsi utama – mengurangkan jenayah, membanteras jenayah dan  melindungi hak asasi manusia.

“Ini memerlukan pihak polis Malaysia untuk melalui proses perubahan dalam daya fikiran untuk mentransformasikan fungsinya sebagai pengawasan rejim kepada pengawasan secara demokratik.

“Contohnya ialah mengalih keutamaan daripada melindungi pemimpin kerajaan BN  kepada melindungi rakyat dan hak asasi mereka termasuklah hak untuk menikmati kadar jenayah yang kurang dan pembanterasan jenayah yang wajib dituntut oleh rakyat dalam satu sistem demokrasi,” tambah beliau.

Menurutnya, singkatan-singkatan seperti GTP, NKRA, ETP, PTP dan sebagainya yang telah dipopularkan oleh pimpinan Najib tidak akan membawa apa-apa maksud kepada rakyat Malaysia.

Katanya, rakyat lebih berminat untuk tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan seorang warga Malaysia seperti  Dr Wong Chin Huat dan Teoh Soo Kim dan puluhan juta yang lain boleh berjogging dengan selamat di kawasan perumahan mereka sendiri serta menjalankan aktiviti-aktiviti harian tanpa rasa takut dimangsakan oleh serangan ganas. – Roketkini.com