Berita

Pengerang: Kerajaan BN tak peduli rintihan nelayan

MUAR, 10 JUN: Kerajaan Barisan Nasional didakwa bertindak sambil lewa terhadap ‘periuk nasi’ lebih 500 nelayan dan penduduk kampung sekitar perairan pantai Pengerang di Johor yang akan terjejas akibat projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Malah, janji 5,000 peluang pekerjaan oleh kerajaan BN apabila projek tersebut siap menimbulkan banyak keraguan di kalangan penduduk asal.

Menurut Ahli Parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa, pendapatan nelayan sepanjang pantai Pengerang bakal terjejas, malah pampasan yang diberi sangat tidak munasabah, iaitu antara RM15,000 hingga RM30,000 kerana kerugian besar yang dialami penduduk tempatan.

“Persoalan yang timbul ialah apakah penduduk asal akan mendapat manfaat dari peluang pekerjaan yang dijanjikan tersebut? Rata-rata penduduk di situ adalah nelayan, apakah mereka layak untuk mendapat pekerjaan kerana ia memerlukan kemahiran khusus?” katanya kepada Roketkini.

Projek RAPID bernilai RM60 bilion yang dibangunkan oleh Petronas dikatakan bakal menjadikan Pengerang sebagai sebuah pusat dagangan bersepadu minyak, gas dan petrokimia bertaraf dunia.

Masalahnya ialah pampasan ganti rugi pendapatan yang tidak munasabah, malah pada mulanya ia diberitahu hanya ‘sagu hati’ akan dibayar sedangkan penduduk kampung perlu pindah dan memulakan hidup mereka di tempat baru.

Rentetan dari ketidak puasan hati terhadap projek RAPID tersebut, pada 5 April lepas seramai 578 nelayan bot kecil dari sepuluh buah kampung  perairan pantai Pengerang telah memfailkan saman menuntut ganti rugi RM500,000 atas kerja penambakan laut projek pembinaan Terminal Petroleum Laut Dalam di kawasan perairan berkenaan yang menjejaskan mata pencarian tradisi mereka selama ini.

Saman tersebut telah difailkan melalui peguam Mohd Shujaa Halim daripada firma guaman Tetuan Shujaa Mazri & Co di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, Menara MSC Cyberport.

Er yang juga merupakan satu-satunya Ahli Parlimen DAP di Johor turut mempersoalkan sama ada projek itu perlu dilaksanakan di Johor sedangkan Terengganu sebagai negeri pengeluar minyak sudah mempunyai infrastruktur yang lebih baik.

“Adakah sebab Johor sebagai kubu kuat BN maka mereka sesuka hati membinanya di sini untuk kepentingan kroni?” soal beliau.

Katanya, sehingga kini empat memorandum dihantar kepada pihak-pihak yang terlibat termasuk kepada kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan projek ini tetapi ia tidak dilayan dan tiada apa-apa tindakan yang diambil.

Selain kehilangan punca pendapatan nelayan, kerja-kerja penambakan laut perairan Pengerang bakal memberi kesan besar terhadap alam sekitar kawasan itu yang selama ini menjadi tumpuan pelancong untuk makanan laut segar, termasuk udang kara yang terkenal.

“Apa yang diberitahu kepada saya, jumlah pelancong kini telah menurun sebanyak 20% dari masa sebelumnya,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, dalam dua tahun kebelakangan ini, terdapat juga kapal-kapal yang tidak dikenali telah datang berhampiran sekitar zon perikanan tersebut untuk membuang tanah-tanah kotor yang menyebabkan kerosakan karang laut dan mengakibatkan jaring-jaring nelayan menjadi rosak.

Katanya, isu itu telah pun diusulkan ketika sidang Dewan Rakyat Mac lepas tetapi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi pihak kerajaan tidak menjawab soalan yang dibangkitkan dengan jelas.

“Mereka cuma menjelaskan bahawa pihak kementerian dan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN) akan memastikan pemindahan berjalan lancar manakala Pejabat Perikanan Daerah Kota Tinggi bersama Persatuan Nelayan Pengerang akan memastikan kehidupan nelayan-nelayan tidak terjejas. Ia adalah satu jawapan yang lemah,” ujarnya.

Beliau mahu kerajaan lebih serius menangani isu itu yang melibatkan banyak masalah kepada penduduk tempatan serta merosakkan alam sekitar negara ini. – Roketkini.com