Budaya

Animal Farm – Bab Dua Bahagian 1 – Oleh George Orwell

Tiga malam kemudian si Major tua meninggal dengan damai dalam tidurnya. Tubuhnya dikuburkan di pinggir kebun buah.

Ketika itu masih awal Mac. Sepanjang tiga bulan selanjutnya, banyak kegiatan rahsia berjalan. Pidato Major telah memberikan cara melihat kehidupan yang sepenuhnya baru kepada binatang-binatang yang pintar di ladang itu. Mereka tidak tahu bila Pemberontakan yang diramalkan oleh Major itu akan terlaksana dan mereka tidak merasa bahawa ia akan terlaksana sewaktu hayat mereka, namun mereka melihat dengan sangat jelas bahawa mereka bertanggungjawab untuk membuat persiapan ke arah itu. Kerja untuk mengajar dan mengatur binatang-binatang lain secara alaminya terletak di pundak para babi kerana mereka diketahui umum merupakan binatang yang paling bijak.

Paling menonjol di kalangan para babi adalah dua babi muda yang bernama Snowball dan Napolean yang diternak oleh Tuan Jones. Napoleon bertubuh besar, dengan tampang Berkshire-nya yang bengis – satu-satunya baka babi hutan Berkshire di ladang itu. Ia tidak banyak bercakap tetapi tetapi binatang-binatang lain tahu biasanya Napoleon akan mendapat apa-apa saja yang diinginkannya. Snowball merupakan babi yang lebih lincah berbanding Napoleon. Ia petah serta lebih berdaya cipta, tetapi wataknya dianggap benar-benar matang setaraf Napoleon.

Semua babi jantan lain di ladang itu adalah babi biasa. Yang terbaik di antara mereka adalah seekor babi kecil gemuk bernama Squealer yang pipinya sangat bulat, matanya bersinar-sinar, gerakan-gerakannya tangkas serta suaranya nyaring. Ia adalah pemidato ulung. Apabila ia membahaskan perkara-perkara yang rumit, ia selalu pandai bergerak ke sana-sini dengan ekor yang digoyang-goyangkan dengan pantas sehingga membuatkan orang yakin dengan kata-katanya. Kata sebahagian binatang di sana, Squealer mampu meyakinkan pendengarnya bahawa sesuatu yang hitam itu sebenarnya adalah putih.

Ketiga-tiga babi ini telah mendalami ajaran si Major tua dan mengembangkannya menjadi sebuah sistem pemikiran yang lengkap yang mereka namakan sebagai Binatangisme. Beberapa kali seminggu, setelah Tuan Jones masuk tidur, mereka mengadakan pertemuan rahsia di bangsal dan menjelaskan secara rinci prinsip-prinsip Binatangisme kepada binatang-binatang lain. Pada awalnya mereka terpaksa berdepan dengan ketololan dan sikap tidak peduli binatang-binatang lain. Beberapa binatang menyebut tentang bagaimana mereka berkewajipan untuk memberikan kesetiaan kepada Tuan Jones yang mereka sebut sebagai ‘Tuan Kita’, atau mengungkit tentang hal-hal asas seperti ‘Tuan Jones telah memberi kita makan.

Jika dia pergi, kita akan mati kebuluran.’ Yang lain melemparkan pertanyaan-pertanyaaan seperti “Kenapa kita perlu peduli tentang perkara-perkara yang hanya akan berlaku setelah kita semua mati?” atau, “Pemberontakan bagaimanapun tetap akan terjadi, jadi apa bezanya kalau kita berusaha ke arahnya atau tidak?” sehingga puak babi menghadapi kepayahan besar untuk mereka memahamkan bahawa cara berfikir mereka itu bertentangan dengan semangat Binatangisme. Pertanyaan yang paling bodoh diajukan oleh Mollie, si kuda betina putih. Pertanyaan pertama yang ia ajukan kepada Snowball: “Masihkah akan ada gula setelah pemberontakan berlaku?”

“Tidak,” jawab Snowball dengan tegas. “Kita tidak mempunyai kelengkapan untuk membuat gula di ladang ini. Lagi pun, kamu tidak memerlukan gula. Kamu akan mendapat semua oat dan jerami yang kamu mahu.”

“Dan masih bolehkah aku mengenakan pita-pita di suraiku?” tanya Mollie.

“Kawan,” jawab Snowball, “semua pita-pita yang sangat kamu sayangi itu merupakan lambang perhambaan. Tidakkah kamu faham bahawa kebebasan jauh lebih berharga daripada pita-pita itu?”

Mollie mengangguk, meski ia kelihatan tidak sepenuhnya yakin.

Para babi malah perlu bekerja lebih keras untuk menjawab pembohongan yang ditebarkan Moses, si gagak jinak yang merupakan binatang kesayangan Tuan Jones. Moses adalah pengintip dan tukang dongeng, tetapi dia petah bercakap. Ia mendakwa bahawa dia tahu tentang sebuah negeri misterius bernama Gunung Gula-gula yang menjadi tempat tinggal para binatang setelah mereka mati. Tempat itu berada di langit, letaknya hanya sedikit tinggi di atas awan, kata Moses.

Di Gunung Gula-gula setiap hari adalah hari Ahad dan musim bunganya sepanjang tahun, manakala bongkahan gula dan kek biji rami tumbuh di atas pagar tanaman. Binatang-binatang membenci Moses kerana ia hanya suka menceritakan dongeng-dongeng dan tidak pernah bekerja. Walaupun demikan, beberapa daripada mereka percaya akan adanya Gunung Gula-gula dan babi-babi terpaksa berusaha keras untuk menyakinkan mereka bahawa tempat semacam itu sebenarnya tidak wujud.

Murid-murid paling setia bagi para babi adalah kedua ekor kuda penarik kereta, Boxer dan Clover. Payah bagi mereka berdua ini untuk berfikir bagi diri mereka sendiri, maka sebaik saja menerima babi sebagai guru mereka menyerap semua yang diajarkan kepada mereka dan kemudian menyebarkan ajaran berkenaan kepada binatang-binatang lain dengan hujah-hujah ringkas. Mereka tidak pernah ketinggalan menghadiri pertemuan-pertemuan rahsia di bangsal dan memimpin sesi menyanyi lagi ‘Binatang Inggeris’ sebagai penutup pertemuan.

Kini mula terlihat bahawa Pemberontakan dapat dicapai jauh lebih cepat dan lebih mudah daripada yang mereka jangkakan. Tuan Jones asalnya seorang penternak yang tegas dan seorang petani yang cekap, namun beberapa tahun kebelakangan ini dia terpaksa mengharung kesukaran. Semangatnya patah setelah kalah dalam perbicaraan bagi suatu kes. Dia menjadi kaki minum. Ada waktunya dia seharian penuh bermalas-malas di atas kerusi Winsdor di dapur, membaca akhbar, minum-minum dan adakalanya memberi makan Moses dengan kulit roti yang direndam bir. Anak-anak buahnya adalah orang-orang malas dan tidak jujur, sedangkan ladangnya penuh dengan rumput liar, atap-atap bangunan-bangunan perlukan perbaikan, pagar tanaman terbiar dan binatang-binatang kurang diberi makan.

Bulan Jun tiba dan rerumputan kering hampir siap dipotong. Pada malam pertengahan musim panas yang jatuh pada hari Sabtu, Tuan Jones pergi ke Willingdon dan mabuk berat di Red Lion sehingga tidak mampu pulang sampai siang Hari Minggu esoknya. Orang-orangnya telah memerah sapi di awal pagi dan kemudian keluar berburu arnab tanpa bersusah-payah memberi makan para binatang. Setelah Tuan Jones pulang, dia terus tertidur di atas sofa ruang tamu dengan akhbar News of the World menutup wajahnya, sehingga ketika hari menjelang petang, binatang-binatang masih belum diberi makan. Akhirnya para binatang itu tidak mampu lagi menahan sabar. Salah seekor lembu membuka pintu gudang makanan dengan tanduknya dan binatang-binatang itu mengambil sendiri makanan mereka. Ketika itu barulah Tuan Jones terbangun.

Beberapa detik kemudian dia bersama keempat-empat orangnya telah berada di dalam gudang dengan cambuk di tangan, menyebat ke setiap arah. Dalam keadaan demikian, binatang-binatang kelaparan itu tidak lagi dapat menahan amarah. Secara serentak bersama-sama, walaupun tidak pernah dirancang sebelum itu, menghambur ke arah para penyeksa mereka itu. Dalam sekelip mata Jones dan orang-orangnya mendapati diri mereka ditanduk dan ditendang dari berbagai arah. Keadaan jadi tidak terkawal. Mereka tidak pernah melihat binatang-binatang itu berkelakuan sedemikian sebelum ini, maka pemberontakan yang tidak semena-mena oleh para makhluk yang selama ini biasa mereka aniaya dan perlakukan sesuka hati membuatkan mereka sangat ketakutan. Setelah beberapa ketika mereka berhenti mencuba mempertahankan diri dan mengambil langkah seribu. Seminit kemudian kelima-lima lelaki berkenaan lari sekencang-kencangnya menyusuri laluan kereta kuda menuju ke jalan utama, sambil dikejar para binatang yang sedang mencapai kemenangan.

Puan Jones menjengah dari jendela bilik tidur dan melihat apa yang terjadi. Dia segera memasukkan beberapa barang miliknya ke ke dalam beg yang diperbuat daripada kain permaidani dan lalu menyelinap keluar dari pertanian melalui jalan lain. Moses melepaskan diri dari sangkarnya dan terbang mengekori Puan Jones sambil berkeok nyaring. Sementara itu para binatang telah mengejar Tuan Jones dan orang-orangnya hingga ke jalanan dan menutup pintu gerbang berpalang lima setelah mereka keluar. Maka dengan demikian, dalam sekelip mata tanpa mereka sepenuhnya menyedari, Pemberontakan dijalankan dengan jaya: Jones telah diusir dan Ladang Manor menjadi milik mereka.roketkini.com