Berita

Kerajaan BN hanya ghairah statistik, jenayah masih gagal ditangani

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Alasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kejadian serangan ganas terhadap aktivis sosial dan guru tiada kaitan dengan keselamatan awam, menimbulkan persoalan sama ada kerajaan Barisan Nasional mampu menangani masalah jenayah di negara ini..

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, alasan Hishammuddin tidak berasas berikutan  kes aktivis BERSIH Dr Wong Chin Huat yang cedera diserang sekumpulan perompak ketika berjogging di sekitar rumahnya Sabtu lalu serta seorang guru yang teruk dipukul dalam satu cubaan menculik minggu lalu.

“Saya kesal dengan tindakan Menteri tersebut yang tidak sensitif dengan kejadian jenayah terutamanya yang berlaku di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau menyifatkan kejadian jenayah yang berlaku itu sebenarnya tidak langsung mencerminkan keselamatan yang bertambah baik.

“Sebagai sebuah kerajaan yang mementingkan keselamatan negara dan orang ramai sewajarnya Hishamuddin perlu menjaga hak asasi manusia yang sentiasa mengharapkan keselamatan mereka (terjaga) terutamanya wanita apabila berada di luar rumah” tambah beliau.

Beliau juga turut menyarankan agar setiap negeri menubuhkan suatu badan keselamatan yang boleh membantu polis dalam mengatasi masalah jenayah yang kian meruncing.

“Pasukan sukarelawan ditubuhkan untuk bekerja sama dengan polis demi menjaga keselamatan orang awam. Ini penting bagi memastikan keselamatan orang awam terutamanya wanita akan lebih terjamin,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, isu keselamatan bukan isu politik, maka kerajaan persekutuan perlu lebih tegas menjaga nyawa dan harta benda rakyat walau pun indeks menunjukkan penurunan kejadian jenayah kerana kejadian ngeri masih banyak berlaku. – Roketkini.com