Berita

Mahkamah tolak saman RM30 juta UMNO terhadap Guan Eng

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman RM30 juta Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berhubung dakwaan fitnah.

Mahkamah mendapati Zainal Abidin tidak mempunyai hak undang-undang untuk menyaman Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan tiga yang lain – PKR sebagai pemilik portal berita Keadilan Daily dan lidah rasmi parti Suara Keadilan, Segmen Fleksibel Sdn Bhd sebagai penerbit Keadilan Daily dan Suara Keadilan, dan ketua penyunting Fazallah Pit.

Peguam Jagdeep Singh Deo yang mewakili Guan Eng berkata, mahkamah menerima hujah pihaknya bahawa Zainal Abidin bukan merupakan seseorang yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan bagi pihak UMNO Pulau Pinang kerana tidak berdaftar sebagai penjawat awam di Pejabat Pendaftar Pertubuhan.

Justeru, Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan bahawa wakil tidak boleh mengambil bahagian dalam tindakan membuat saman di mahkamah.

Zainal Abidin memfailkan saman pada 24 Oktober 2011 terhadap Guan Eng dan tiga yang lain atas tuduhan bahawa mereka telah mengaitkan UMNO dengan demonstrasi haram menentang Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar dan di Jambatan Pulau Pinang serta tindakan membakar bangunan DAP Pulau Pinang tahun lalu. – Roketkini.com