Berita

Mangsa gas pemedih mata polis sewaktu BERSIH 3.0 dapat bantuan Pakatan Rakyat

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 11 JUN: Mangsa gas pemedih mata polis yang dilepaskan sewaktu perhimpunan BERSIH 3.0, Asrul Wadi Ahmad, kini terpaksa menanggung derita cacat penglihatan sebelah mata.

Jurutera mekanikal berusia 26 tahun itu rosak penglihatan 80 peratus di mata kanannya akibat ditembak dengan kanister gas pemedih mata semasa penghimpunan di Kuala Lumpur pada 28 April lalu, juga telah hilang pekerjaan akibat kecederaannya.

Dalam lawatan ke Kampung Sungai Korok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah bertemu dengan Asrul serta keluarganya untuk menghulurkan derma RM5,000 bagi meringankan beban tanggungan hidup.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah berusaha untuk mendapatkan pekerjaan untuk Asrul.

Setakat ini, beberapa syarikat telah pun menawarkan pekerjaan kepada anak muda itu yang berani berjuang bersama dengan ratusan ribu rakyat Malaysia untuk menuntut pilihan raya yang adil, bebas dan bersih.

Asrul yang berkelulusan ijazah kejuruteraan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah anak ketiga daripada Sembilan adik-beradik. – Roketkini.com