Wawancara

Pulau Pinang: Rakyat yakin dengan hala tuju DAP, Pakatan Rakyat

Wawancara wartawan Roketkini Mazir Ibrahim dan Izmil Amri bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, merangkap Pengerusi DAP Negeri.

Sepanjang perjuangan politik saudara di di Pulau Pinang, dan kini sebagai seorang Exco Kerajaan Negeri, sudah banyak perubahan yang disaksikan. Apa yang boleh dikatakan tentang perubahan-perubahan ini?

Sepanjang sejarah Pulau Pinang, negeri ini hanya telah melalui perubahan besar dalam dua pilihan raya umum, pertama pada tahun 1969 dan yang terbaru pada Mac 2008. Tsunami politik yang berlaku pada Mac 2008 bukan sahaja mengakibatkan perubahan politik tetapi juga perubahan cara fikir dan mentaliti masyarakat.

Kalau dahulu masyarakat kelihatan jauh daripada kerajaan, kita dalam kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang cuba untuk lebih mendengar keluh-kesah masyarakat demi supaya hubungan antara keduanya lebih rapat. Ini antara lain, selain faktor UMNO, yang menjadi sebab kenapa rakyat memilih untuk mengundi parti-parti lawan Barisan Nasional pada Mac 2008 yang kini membentuk Pakatan Rakyat.

Selain itu kita juga mesti melihat kepada senario negara yang menyaksikan masyarakat sivil kembali bangkit dengan pelbagai aktiviti, justeru kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sentiasa berusaha untuk mengadakan usahasama dengan badan-badan dan organisasi masyarakat dalam merangka program-program untuk rakyat seperti kempen Pulau Pinang Bersih dan Hijau.

Bagaimana sebenarnya penerimaan rakyat terhadap usaha-usaha perubahan yang diterajui Pakatan Rakyat Pulau Pinang?

Kita sentiasa mencuba supaya perubahan cara fikir di kalangan orang Pulau Pinang itu menjurus kepada melahirkan rasa bertanggungjawab dan keberpunyaan terhadap negeri. Apa yang penting ialah wujud reaksi dan tenaga positif daripada masyarakat. Contohnya seperti program ‘My Penang My Pride’ yang banyak mengadakan aktiviti gotong-royong demi menyemai rasa sayang kepada negeri. Kita mahu masyarakat ikut serta dalam program kerajaan, kita mahu ambil kira pendapat mereka seperti yang kita lakukan untk Penang Transport Masterplan.

Apa sebenarnya pelan pengangkutan Pulau Pinang (Penang  Transport Masterplan)?

Pelan ini sebenarnya dicetuskan oleh para badan bukan kerajaan yang dijemput untuk menganggotai Majlis Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Council) selain individu-individu yang bergiat aktif di dalam masyarakat. Ini antara usaha untuk meningkatkan keterlibatan masyarakat di dalam perancangan kerajaan negeri; dengan mengadakan pendengaran awam untuk mendapat maklumbalas daripada umum.

Masalah lalu lintas di Pulau Pinang adalah masalah yang ditanggung semua orang, dan pelan pengangkutan yang dirangka berasaskan khidmat nasihat pakar dari Australia ini bertujuan untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut.

Cuma yang menambah kepada masalah sedia ada ialah kuasa terhad yang diberi kepada negeri dalam hal pengangkutan. Apa yang kita perlukan ialah desentralisasi kuasa daripada pusat kepada negeri supaya kita boleh buat lebih lagi. Agak susah sekarang kerana apa sahaja yang kita mahu lakukan untuk penambahbaikan lalu lintas mesti melalui Putrajaya terlebih dahulu.

Mahu minta bas tambahan mesti ke Putrajaya, mahu permit teksi mesti ke Putrajaya. Mahu kuatkuasa pelan pengangkutan pun perlu melalui persetujuan Putrajaya. Kita sedikit bernasib baik kerana Jambatan Kedua adalah hasil perjanjian antara kerajaan Malaysia dan China, jika tidak itu juga akan dijadikan masalah oleh Putrajaya.

Apabila nanti Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, kita akan melaksanakan desentralisasi kuasa supaya negeri mendapat lebih kuasa dan peruntukan untuk melakukan apa yang baik untuk penduduk dan pihak berkuasa tempatan.

Menyebut tentang pihak berkuasa tempatan, mengapa hanya baru-baru ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri ada usaha untuk meluluskan rang undang-undang pilihan raya tempatan?

Kita telah menerima nasihat-nasihat daripada mereka yang lebih veteran tentang perlunya diadkan pilihanraya kerajaan tempatan. Namun, kita tidak ada kuasa untuk melaksanakan pilihan raya tempatan. Undang-undang pusat tidak membenarkan kita melakukan itu. Apabila kita bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka menolak. Kita jumpa pula dengan Majlis Kerajaan Tempatan (MKT), mereka juga menolak. Apabila kita bentangkan rang undang-undang itu di dalam DUN, pembangkang UMNO pula keluar dewan.

Jadi akhirnya penasihat-penasihat undang-undang daripada kerajaan negeri bersama dengan masyarakat sivil antaranya Yeoh Yang Poh dan Tommy Thomas mencadangkan agar kita ke mahkamah untuk memohon deklarasi kehakiman untuk mendapatkan interpretasi ke atas peruntukan undang-undang yang ada. Dan akhirnya kita luluskan undang-undang itu di Dewan.

Hanya SPR yang mempunyai kuasa mutlak untuk mengadakan pilihanraya. Itu sebabnya ia mengambil masa sehingga empat tahun untuk kita meluluskan undang-undang pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Menyebut tentang pilihanraya, sebagai Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang, adakah DAP negeri ini betul-betul bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang?

Kita tak boleh mendabik dada dan mengatakan yang kita benar-benar 100% bersedia. Tetapi ya, kita siap untuk berhadapan dengan pilihan raya bila-bila masa sahaja. Apabila sampai sahaja waktu genting pilihan raya itu, semua orang akan secara otomatis siap siaga untuk berdepan dengan apa sahaja kemungkinan.

DAP dan Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan membawa slogan ‘Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’, yang bukan sahaja membawa maksud secara harfiah. Bila kita sebut bersih, bukan sahaja fizikalnya bersih, tetapi bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. Hijau bukan sahaja tentang alam sekitarnya yang terjaga tetapi juga kedudukan agama Islam yang terpelihara, seperti yang dapat dilihat dalam pertambahan belanjawan tahunan untuk agama Islam di Pulau Pinang.

Slogan ‘Ubah’ saya rasa masih relevan, walau pun kita optimis untuk kekal memegang mandat rakyat kepada DAP dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Apa yang masih perlu diubah ialah mentaliti masyarakat yang masih tidak dapat menerima perubahan, serta yang lebih penting ialah usaha untuk perubahan dalam skala nasional, dan mengambil alih Putrajaya.

Bagaimana dengan persepsi orang Melayu terhadap DAP, mungkinkah itu akan menjadi masalah?

Apa yang orang sering lupa ialah pada tahun 1995, DAP menawarkan 14 orang calon Melayu untuk bertanding dalam pilihan raya umum tahun itu. Dan Pakatan Rakyat menang di Pulau Pinang bukan kerana undi orang Cina dan India, tetapi kerana undi orang Melayu. Tanpa undi Melayu, mustahil untuk tsunami Mac 2008 berlaku. Tambahan pula hubungan antara DAP dengan PAS dan PKR Pulau Pinang amat baik. Politik Pulau Pinang tidak boleh disamakan dengan politik nasional. Jadi kita siap untuk berhadapan dengan segala cabaran.

Bagaimana tentang diri saudara sendiri dalam dunia politik?

Sejak menamatkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang sains sosial, saya terus menetap di Pulau Pinang. Pada pilihan raya umum tahun 1986, saya dilantik sebagai setiausaha politik kepada saudara Lim Kit Siang, yang pada waktu itu bergelut dalam ‘Battle of Tanjung’.

Pada tahun 1990, saya berdepan dengan pilihan raya pertama saya, di mana saya bertanding sebagai calon di kerusi Parlimen Tanjung. Saya tewas. Dalam kawasan Parlimen Tanjung waktu itu, ada DUN Pengkalan Kota, Komtar dan Padang Kota. Sewaktu pilihan raya 1995, saya bertanding lagi dalam “Battle of Tanjung” pusingan ketiga. sekali lagi saya tewas.

Saya hanya berhasil memenangi kerusi itu dalam pilihan raya pada tahun 1999, dan sehingga kini menyandang kerusi tersebut. Sejak itu saya menyandang jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang selepas menjadi Setiausaha DAP Negeri pada tahun 1991.

Sekarang saya bersama DAP dan Pakatan rakyat sudah sedia untuk mendepani apa sahaja dan sesiapa sahaja dalam PRU akan datang. – Roketkini.com