Berita

Semakin ramai Melayu di bandar, semakin perlu desentralisasi dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: “Desentralisasi” bermaksud mengagihkan kuasa pentadbiran kepada pihak berkuasa tempatan, iaitu mengurangkan penguasaan pusat terhadap apa-apa yang berlaku di peringkat tempatan dan setempat.

Desentralisasi perlu dilaksanakan supaya setiap negeri dapat bersaing untuk melaksanakan dasar-dasar mereka dengan lebih menyeluruh dan mampu mengendalikan keperluan masyarakat yang pelbagai.

Demikian hujah Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong, ketika mengemukakan pandangannya sebagai panelis dalam forum ‘Do We Need Decentralisation?’ sempena pelancaran buku  ‘States of Reform-Governing Selangor and Penang’ karya Tricia Yeoh di Annexe, Pasar Seni di sini Sabtu lalu.

“Pada waktu ini, dasar kerajaan BN dilihat terlalu ketinggalan, seolah-olah negara masih belum membangun di mana dulunya kawasan bandar cuma didiami oleh masyarakat Cina.

“Hakikatnya sekarang, 70 peratus rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Yakni sudah banyak bandar-bandar baru dibina. Di kawasan-kawasan ini, sekurang-kurangnya 60 peratus orang Melayu sudah menetap di sana,” ujar beliau.

Menurut Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, mana-mana kerajaan persekutuan perlu menerima hakikat perubahan demografik itu bagi menentukan kemajuan dan pembangunan negara serta negeri.

Katanya, kerajaan persekutuan BN semakin memusatkan kuasanya sekitar tahun 1990-an di mana ketika itu mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad memperkenalkan amalan penswastaan.

Beliau menjelaskan, apa yang Mahathir lakukan ialah menswastakan sIstem pengurusan pepejal, perkhidmatan kesihatan dan pengurusan air yang mana semua itu dalam bidang kuasa negeri dan kebanyakannya diurus oleh kerajaan negeri.

Jadi, katanya, ia merupakan tindakan kerajaan BN yang mengubah “federalisme” kepada “cental” (pusat) untuk menguasai sumber-sumber negeri yang sepatutnya menjadi milik kerajaan negeri dan anak tempatan.

Selain Liew, panelis yang menjayakan forum itu yang dipengerusikan oleh penyelidik Ahmad Fuad Rahmat adalah Pengarang Penang Monthly Dr Ooi Kee Beng dan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Nik Nazmi, kerajaan persekutuan sewajarnya mampu untuk memberi ruang untuk mengurangkan pemusatan kuasa bagi mewujudkan persaingan yang sihat antara negeri-negeri.

“Hakikatnya di Malaysia, walau pun wujud hubungan antara kerajaan pusat dan negeri, kuasa negeri masih terhad kepada tanah, sumber alam dan majlis tempatan.

“Bila berlaku begini, negeri tidak bebas membuat dasarnya sendiri, misalnya dasar bagi pendidikan, keselamatan. Seperti mana yang kita tahu Bukit Aman telah menolak usul MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling jaya) bagi mewujudkan pasukan keselamatannya sendiri walau pun pendapatan tahunan MBPJ sekitar RM200 juta setahun,” ujarnya.

Beliau juga memberikan contoh pemusatan kuasa kerajaan persekutuan yang menyekat Exco Pendidikan Negeri yang hanya diberi kuasa untuk mengagihkan peruntukan kewangan kepada sekolah-sekolah.

“Negeri tidak bebas untuk membangunkan kurikulum pendidikannya sendiri dan melantik lebih ramai guru untuk mengajar kecuali sekolah-sekolah agama di bawah seliaan kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnyak, sejak berdekad BN memanipulasi media, orang ramai juga tidak faham perbezaan kuasa di antara negeri yang amat terhad dan pusat yang amat luas di bawah pemerintahan BN.

“Contohnya, selepas Pakatan Rakyat menang pilihan raya di Selangor pada 2008, ramai yang bertanya kepada saya mengapa tol di Batu Tiga tidak dimansuhkan. Sedangkan itu adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan,” jelas beliau.

Dr Ooi sebagai ahli akademik pula menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak dapat bersaing antara satu sama lain tanpa proses desentralisasi.

Beliau juga berpendapat bahawa proses desentralisasi akan mewujudkan ruang penggubalan dasar yang memerlukan penglibatan ramai golongan profesional dan bukan sekadar perkara teknikal semata-mata.

“Ahli politik perlu sedar bahawa mereka tidak mengetahui mengenai semua perkara. Proses desentralisasi akan memberi ruang kepada pakar untuk dalam proses membuat dasar dengan lebih berkesan,” ujar beliau.

Buku ‘States of Reform – Governing Selangor and Penang’ telah dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

‘State of Reform’ merupakan kompilasi esei Tricia Yeoh yang disiarkan dalam majalah Penang Monthly yang membincangkan secara kritis idea, polisi dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Naskah terbitan Genta Media ini boleh diperoleh secara online di www.gentamedia.com atau di kedai-kedai buku utama seperti MPH, POPULAR, BORDERS, Kinokinuya, TIMES dan semua kedai myNews.com. – Roketkini.com