Budaya

Bertandang ke Pulau Pinang – Bahagian Akhir Oleh Asi Dani

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

Malam berikutnya aku keseorangan, teman sebilik bermalam di rumah saudaranya. Menjelang tengah malam, aku bosan dan keluar merayau di sekitar jalan Macalister. Penat meranduk embun malam, aku singgah di sebuah kedai makan mamak.

Sambil minum teh, mata menerawang melihat pelanggan kedai yang keluar masuk, silih berganti. Mungkin ada yang perasan dengan tingkah laku aku itu kerana tak berapa lama, datang seorang tua ke meja aku.

Teman tua

Dengan menundukkan kepala kepada aku dia bersuara, “Boleh duduk sini sama encik?”. Secara spontan aku bingkas mengangkat punggung tanda mempersilakan orang tua ini duduk. Sambil tersenyum dia menyapa khabar kepada aku.

“Saya tengok encik macam bukan orang Penang,” dia bersuara sambil memandang aku.

Aku ketawa. “Mana uncle tahu saya bukan orang sini?” tanya aku kembali.

Pakcik ini juga tersenyum mesra. “Saya lahir di sini, saya tengok encik dari tadi,” pendek dan mesra sekali jawapannya.

Dari raut wajah dan pakaiannya, agak ketara sekali umurnya sekitar lewat 60-an. Bahasanya amat mudah difahami, mesranya sangat mudah kelihatan bagi seseorang yang baru beberapa minit dikenali.

“Dulu saya polis, sudah pencen, sekarang duduk Penang untuk habiskan masa tua saya, ini saya punya vacation time,” dia membawa perbualan kami ke satu topik lain. “Dulu bertugas banyak tempat, Johor, Kuala Lumpur dan Melaka. Saya ada satu rumah di Melaka, beli masa kerja di sana. Tapi sekarang rumah itu terbiar kosong.”

“Kenapa uncle duduk Penang? Kenapa tak duduk terus di Melaka? Rumah sudah ada, kos hidup pun tak berapa mahal macam Penang,” aku ingin meneka jawapannya.

“Saya Penangite maa…memang sini mahal sikit dari KL tapi sini orang tua macam saya masih boleh duduk sebab sekarang saya jadi tourist guide, ini kerja boleh buat part time. Saya syok bawa tourist pusing pulau, mereka datang pergi hospital dan lepas itu saya bawa mereka holiday pusing Island,” dia cuba menerangkan.

“Tapi di Melaka pun boleh bikin bisnes juga kan, di sana pun ramai tourist kan?” aku menyoalnya kembali.

Macam-macam ada

“Ya memang boleh, tapi sini punya bisnes ada sikit laju dari Melaka. Sini kita ada good airport, private hospital sini good service sampai boleh attract orang luar negara datang to get a better treatment and medication, semua ini satu kali jalan, boleh melancong sama. Jadi saya orang tua, boleh dapat ini good bisnes, boleh rehat-rehat sama-sama buat kerja sikit-sikit ”.

Uncle duduk mana?” soal aku mematikan perbualan.

“Sini. Kalau mahu sikit murah boleh duduk Prai. Saya duduk Jelutong,” pendek jawapannya.

“Ini keluar malam-malam, tak sakit badan ka?” soal aku.

Sambil tersenyum dia menjawab. “Ini Penang, saya suka jalan kaki. Saya datang dari Masjid Kapitan Keling, motosikal saya park di sana, jalan malam sangat seronok,” terangnya sambil menepuk-nepuk lututnya.

Ada beza sekarang?

Aku turut tersenyum memuji kekuatan dan kesihatan pakcik ini. Sebelum berpisah, sempat aku bertanya pada pakcik Cina ini, “Lepas tukar kerajaan negeri yang baru, macam mana uncle tengok Penang sekarang?”

Aku menduganya dengan soalan yang mungkin dibencinya. Dia ketawa besar. “Saya orang tua, tengok semua ini sama saja ma, tapi satu ada lain banyak. Penang makin bersih. Bagus lo, saya orang tua, mesti bagus bila tempat sudah bersih.”

Selepas itu kami bersalaman, aku meminta diri untuk pulang. Uncle masih meneruskan minumannya yang belum habis.

Bandar ini penuh dengan sejarah dan menyimpan ribuan cerita penghidupan orang lain. Sekurang-kurangnya, kesemua ini akan kekal menjadi tradisi yang baik untuk diwariskan kepada generasi mendatang. Selamat malam Pulau Pinang. – Roketkini.com