Budaya

Cerita si gadis… Oleh Aya Suffiya

Cerpen

Seorang gadis yang menamatkan pelajarannya di peringkat diploma dalam bidang teknologi maklumat dari sebuah kolej swasta bernekad untuk menghabiskan riwayat hidupnya di kampung sambil menjaga ibu dan bapanya yang tua dek usia.Pelbagai dugaan dan cabaran yang si gadis tempuh selama hampir 5 tahun setelah dia menamatkan pengajiannya. Ditambah pula dengan ekonomi yang tak berapa baik untuk mengizinkan si gadis mendapatkan pekerjaan yang dia cita-cita kan.

Si gadis pernah bercita-cita menjadi jurufoto. Tapi dari kecil hingga tamat belajar kebanyakan keputusan akan diputuskan oleh ibu bapanya termasuk impiannya menjadi jurufoto juga terpaksa diabaikan. Bagi mereka yang tua, kerja apa pun tak kisah tapi mesti kerja dengan ‘gomen’.  Hanya itulah kerja yang boleh menjamin masa depan, fikir mereka. Ibu bapa si gadis pun terpengaruh dengan propaganda kerajaan selama ini.

Tapi si gadis mula berfikir, jika benar kerajaan banyak membantu terutamanya orang Melayu, mengapa anak Bumiputera masih susah menerima sebarang bantuan dan keistimewaan di pusat pengajian tinggi awam, kenapa? Mengapa masih ramai kawan-kawan yang sebaya dengan si gadis masih hidup berkelana untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dalam sektor awam? Mengapa masih ada diskriminasi orang Melayu kaya dan miskin, kaum, bangsa dan agama?

Mencari jawapan

Persoalan demi persoalan timbul, akhirnya si gadis mencabar dirinya untuk menjawab sendiri kepada soalan yang dia sendiri kemukakan. Si gadis sering mengajak teman-temannya untuk berkongsi pendapat tentang politik semasa, jawapannya cuma satu politik itu kotor atau pun komen yang politik itu untuk orang gila kuasa.

Kenapa perlu salahkan mereka ini yang menganggap politik itu jahat dan kotor? Rata-rata di kalangan masyarakat menganggap mereka ini tidak patriotik dan penentang kerajaan. Kerana mereka tidak mengambil peduli isu-isu semasa yang berkaitan dengan politik?

“Kenapa mudah untuk kita menjatuhkan hukuman kepada kelompok kecil ini, kenapa kita tidak mencari buah fikiran yang lebih bernas bersama-sama mereka yang peduli kepada apa yang terjadi pada tanah air tercinta,” bisik hati gadis itu.

Semua ini membuatkan gadis ini berfikir, bagaimana harusnya penyampaian ilmu yang lebih baik untuk menyedarkan generasi muda ini khususnya. Sewajarnya mereka diberikan pendedahan tentang wadah perjuangan politik dengan lebih jelas agar mereka tidak membenci politik dan begitu juga kepada orang-orang politik itu sendiri.

Selain itu si gadis punyai sikap ‘langgar’ selagi boleh. Inilah yang membuatkan ibu dan bapa si gadis risau, jika si gadis tersalah buat pilihan, kerana si gadis lebih suka mengambil tindakan sembrano tanpa mengambil kira musibahnya. Baginya apa yang jadi lepas keputusan dibuat adalah pelajaran yang paling bernilai.

Politik menjadi pilihan

Sebenarnya sikap itulah yang membawa dirinya selangkah ke hadapan, dan kerana itu si gadis tekad memilih politik sebagai sebahagian daripada kehidupannya. Ciri-ciri kepimpinan sedikit sebanyak terbit dengan kematangan diri sejak si gadis terlibat dengan dunia politik. Walau pun masih mentah dan kehadirannya hanya sebesar zarah dalam dunia politik, si gadis tak pernah ingin berpatah balik.

Si gadis percaya zarah ini jika betul dicantumkan dengan zarah-zarahnya, ianya pasti akan berjaya melakukan perubahan. Pada waktu yang sama, si gadis tidak pernah jemu dihasut oleh mereka yang tidak pernah ingin tahu apa itu politik supaya si gadis meninggalkan politik.

Tidak pernah lekang dalam pendengarannya, orang berkata politik itu semuanya kotor, mengapa perlu ada parti-parti politik ini sedangkan kita sudah aman dan masih mampu makan dan minum setiap hari dengan bantuan kerajaan.

Ini adalah pendorong yang paling kuat mengapa si gadis punya cita-cita yang baru. Si gadis hanya mahu mengubah persepsi dan cara pemikiran yang lebih kreatif dan kritis kepada masyarakat untuk menerima politik sebahagian daripada kehidupan. Lantas, hal ini memberikan kesedaran kepada diri si gadis bahawa dia punya tanggungjawab kecil untuk ditunaikan sebagai rakyat bagi menjelaskannya terutamanya kepada teman-teman si gadis.

Agar mereka lebih sedar apa yang berlaku di dalam politik Malaysia ini bukanlah sesuatu yang boleh menjamin masa depan seperti mana yang dipercayai oleh ibu bapa si gadis. Si gadis mahu memperjelaskan kepada rakyat sebenarnya apakah itu politik dan apakah yang ingin disampaikan oleh seorang ahli politik, dengan cara yang mudah dan lebih dekat kepada kepada generasi muda seperti dia.

Tekad

Keluarga yang pada awalnya tidak merestui akhirnya mengalah bila si gadis menyatakan semua yang dilakukan ini untuk masa depan keluarga, anak cucu. Kerana si gadis sedar dugaannya bukan hanya untuk seketika tapi selamanya, selagi kaki berpijak di bumi yang nyata si gadis tekad akan meneruskan perjuangannya dalam bidang politik.

Sekali dia membuat keputusan ini bermakna ramai juga kawan-kawan yang tidak menyokongnya  memperlekehkan impiannya. Tapi sebelum membina kerjaya sebagai ahli politik yang berkemahiran dan berkebolehan, si gadis perlu membina satu kerjaya yang baik dan dia memilih wartawan sebagai bidang kerjayanya.

Mungkin kewartawanan itu juga dunia baru baginya. Namun, dalam keadaan yang serba dikawal dan dikongkong di tanah air tercinta ini, segala-galanya harus dicuba. Mungkin di gadis akan gagal tapi itu tak mahu difikirkannya. Kalau ‘langgar’ biarlah ada titik kesampaian nantinya. – Roketkini.com