Berita

Soalan Parlimen mengenai polis pun ditolak Parlimen

KUALA LUMPUR, 14 JUN: “Rahsia” dijadikan alasan oleh Parlimen untuk menolak soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong berhubung perangkaan polis mengikut jabatan dan pasukan PDRM.

Liew telah mengemukakan soalan bertulis meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan:

* Perangkaan terperinci kekuatan polis beruniform bagi tahun 2001, 2002, 2003, 2004, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012;

* Pecahan Jabatan Kementerian Dalam Negeri mengikut pasukan atau komponen seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Marin, Polis Simpanan Persekutuan (PSP), unit udara dan sebagainya; dan

* Pecahan Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas, Jabatan Pengurusan dan Jabatan Siasatann Jenayah Perdagangan mengikut tugas.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Binti Hamzah dalam suratnya memaklumkan bahawa mengikut Peraturan 23 (1) (f) “sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan berkenaan dengan apa-apa perkara rahsia.”

Menurut Liew yang juga Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP, pihak kerajaan mungkin sudah lupa bahawa perangkaan terperinci pernah dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin pada tahun 2005.

Memetik satu laporan wadah pemikir Research for Social Advancement (REFSA) yang berdasarkan statistiknya atas Anggaran Belanjawan tahunan dan jawapan Parlimen, beliau berkata, jumlah anggota polis pada tahun 2010 adalah 106,079.

“Kalau semua tenaga ini ditugaskan untuk membanteras jenayah, nisbah polis-penduduk adalah 1: 270, nisbah yang agak memuaskan.

“Tetapi, sebenarnya, 53,323 orang polis atau 51% berada dalam pengurusan dan logistik. Tambahan pula, 5,102 orang polis ditempatkan dalam Cawangan Khas; 14,551 dalam Pasukan Gerakan Am, yang ditubuhkan untuk melawan komunis dalam hutan dan sudah tidak relevan sekarang,” katanya kepada Roketkini.

Menurutnya, apa yang paling relevan dan amat diperlukan sekarang ialah menyiasat dan membanteras jenayah seperti rompak, culik, rogol, curi, serangan seks dan berbagai lagi yang membimbangkan orang awam.

Tetapi, beliau menjelaskan, hanya 9,335 anggota polis atau 9 % ditempatkan dalam Jabatan Siasatan Jenayah sedangkan pencegahan dan pembanterasan jenayah itu yang amat diperlukan oleh orang awam. – Roketkini.com