Berita

Untuk adil, pengerusi PAC mesti daripada kalangan oposisi

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (Public Accounts Committee, PAC) perlu dipimpin oleh pihak oposisi supaya ia boleh melaksanakan tanggungjawab secara serius, adil dan amanah.

PAC didakwa telah melengah-lengahkan perbincangan  kes-kes melibatkan wang negara termasuk empat isu besar melibatkan perbelanjaan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), pembinaan Lapangan Terbang Kos Rendah KLIA2, pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pelupusan hutang Tan Sri Tajudin Ramli.

Menurut Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw; dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Parlimen 5 Mac 2012 yang lalu, ahli-ahli telah bersetuju supaya pegawai dan syarikat berkenaan dipanggil bagi membincangkan empat isu tersebut.

Walau bagaimanapun, sehingga sekarang masih tidak ada mesyuarat yang dibuat.

“Sebab itu kita tekankan bahawa pengerusi PAC mestilah dari kalangan pembangkang (oposisi) dan yang berpengalaman,” kata beliau lagi yang menganggotai Jawatankuasa itu bersama Dato’ Kamaruddin Jafar, William Leong Jee Keen, Dato’ Kamarul Baharin Abbas dan Tony Pua Kiam Wee.

Dr Tan, yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP menambah, “Kalau pengerusi PAC dari BN, jika ada kes-kes besar mereka tak akan bangkitkan sebab takut menyinggung orang-orang tertentu.”

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara terdiri dari tiga belas orang ahli dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen BN Padang Besar Dato’ Seri Azmi Khalid sejak Mac 2008 sehingga kini. Ia antara lain bertujuan menyemak Kira-kira Kerajaan Malaysia dan peruntukan wang yang dibenarkan oleh Parlimen.

Dalam sidang media di lobi Parlimen itu, William Leong dan Dato’ Kamaruddin Jaafar bersependapat bahawa mesti diadakan segera kerana perkara ini merupakan isu pengurusan kewangan yang melibatkan dana rakyat.

Menurut mereka lagi, pada 5 Mac lalu semua ahli jawatankuasa tersebut telah bersetuju untuk menyelesaikan isu-isu yang tergantung ini, namun pada hari ini pula Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan telah dibentangkan untuk memohon peruntukan tambahan sebanyak RM14 bilion dana rakyat pula untuk dibelanjakan.

Ahli Parlimen Telok Kemang Dato’ Kamarul pula menyatakan bahawa kes-kes besar ini tidak boleh dibiarkan tergantung separuh jalan. “Rakyat seolah dinafikan cerita sebenar oleh kerajaan. Kita (PAC) bukan tak jalankan tugas tetapi tak diberi peluang,” ujar beliau.

Cara kerja PAC yang dikepalai Dato Seri Azmi Khalid ini amat selektif dan membimbangkan. Menurut Tony Pua, semasa kes PKFZ timbul, setiap minggu mesyuarat diadakan. “Tetapi kenapa sejak Mac bila empat isu besar ini timbul, tidak ada mesyuarat dijalankan?“ – Roketkini