Budaya

Syed Sheikh Al-Hadi: Pengemudi bahtera pencerahan masyarakat Oleh Zairil Khir Johari

Syed Sheikh bin Syed Ahmad Al-Hadi merupakan seorang penerbit, pemikir dan reformis yang tersohor dalam sejarah masyarakat Melayu. Beliau juga seorang personaliti yang pada zamannya sering diselubungi kontroversi. Ini mungkin kerana Syed Sheikh Al-Hadi adalah seorang yang jauh terkehadapan dalam pemikirannya di kalangan masyarakat pada awal abad ke-20.

Pendirian dan pemikirannya yang agak radikal barangkali telah terbentuk semasa pengembaraannya ke luar negara demi menimba ilmu. Beliau telah berkelana ke pelbagai negara dan wilayah seperti Mekah, Beirut dan akhirnya Kaherah, Mesir, di mana beliau telah berguru dengan Muhammad Abduh. Pengaruh tokoh reformis Islam dari Al-Azhar ini telah banyak mempengaruhi dan membentuk pemikiran Syed Sheikh Al-Hadi.

Sekembalinya dari Mesir, beliau telah menubuhkan Madrasah Al-Iqbal pada tahun 1907 di Singapura, Madrasah Al-Hadi (1915) di Melaka dan kemudiannya Madrasah Al-Mashoor (1926) di Pulau Pinang. Melalui sekolah-sekolah tersebut, khususnya Al-Mashoor di Pulau Pinang, beliau telah mewariskan citra pendidikan moden dan kefahaman Islam yang progresif.

Beliau bersama sahabat-sahabatnya juga telah menerbitkan majalah Al-Imam (1906), Al-Ikhwan (1927) dan akhbar Saudara (1928). Beliau juga giat menulis, dan antara penulisannya yang paling menarik kontroversi pada masa itu adalah Hikayat Faridah Hanum, iaitu sebuah karya yang mengisahkan tema emansipasi wanita, suatu gagasan yang sudah tentu telah menggegarkan lumrah pemikiran masyarakat Melayu 1920-an.

Yang menariknya, kebanyakan daripada kejayaan beliau telah dihasilkan di Pulau Pinang, setelah usaha-usaha sebelumnya di Singapura, Johor dan Melaka telah dianggap sebagai terlalu radikal lalu gagal diterima umum.

Untungnya Pulau Pinang

Pun begitu, malang Si Ali menjadi untung Si Abu. Dalam konteks ini, kerugian negeri-negeri Singapura, Johor dan Melaka telah menjadi keuntungan buat Pulau Pinang. Kerana gagasan dan ilmu yang cuba disemai Syed Sheikh Al-Hadi tidak mampu bertunas di negeri-negeri lain, maka untunglah Pulau Pinang kerana dipilih sebagai pangkalan beliau.

Di sini kita ingin mengetahui – apakah kelebihan Pulau Pinang sehingga menjadi pusat ilmu yang begitu penting pada zaman itu?

Bukan sahaja Syed Sheikh Al-Hadi tetapi tokoh-tokoh progresif lain seperti Tuan Guru Yusof Rawa juga telah memilih Pulau Pinang sebagai pusat penyebaran ilmu dan pemikiran yang melangkaui zaman. Ternyata, Pulau Pinang menawarkan lebih daripada sekadar tapak untuk mencambah bibit-bibit cendekia.

Saya kira, sifat Pulau Pinang pada zaman itu sebagai pelabuhan bebas yang kosmopolitan, dinamik dan menjadi wadah tumpuan pelbagai bangsa dan budaya telah melahirkan suatu suasana yang subur untuk idea-idea serta personaliti-personaliti progresif seperti Syed Sheikh.

Dilema masyarakat

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak saudara-saudari sekalian untuk ingat kembali dan memikirkan semula bagaimana, pada suatu ketika dahulu, masyarakat kita di Pulau Pinang dapat menzahirkan keberanian untuk mendobrak cara fikir yang menongkah arus. Keberanian ini bukan sekadar untuk berbeza pendapat, malah juga untuk meraikan kepelbagaian dan perbezaan tersebut. Inilah semangat yang sudah kehilangan dan harus dijana semula – semangat untuk berfikir dan mempolemikkan isu-isu sosial dan budaya.

Malangnya pada hari ini, kita sering diberitahu bahawa isu-isu berat dalam negara kita tidak boleh dibincangkan, apatah lagi dipolemikkan. Begitu dikongkong kita sebagai rakyat sehingga pelbagai undang-undang digunakan untuk melarang penyuaraan isi hati, bahkan di universiti-universiti yang sepatutnya menggalakkan pertukaran fikiran dan perdebatan idea. Maka tidak hairanlah sekiranya masyarakat kita kekal statis dan makin menjadi tidak relevan dalam dunia yang pantas berkembang ini.

Inilah dilema sebenar masyarakat kita. Segala buah fikiran yang tidak menepati garis panduan arus perdana akan dianggap pantang. Rakyat di takut-takutkan sehingga usaha untuk membawa “perubahan” disamakan pula dengan kekacauan, sedangkan perubahan itu adalah satu fitrah yang tidak mampu dan tidak harus disekat.

Mengembalikan kegemilangan Pulau Pinang sebagai pusat ilmu

Justeru, Pulau Pinang sangat komited untuk memastikan negeri ini mengekalkan reputasinya sebagai ranah subur untuk percambahan benih pemikiran baru dan progresif. Malah, itulah yang cuba diusahakan oleh Penang Institute dengan wacana-wacana yang membuka minda seperti ini.

Buat pengetahuan semua, Penang Institute, setelah mendatangkan tokoh kebudayaan besar Indonesia, Goenawan Mohamad pada bulan April lalu, bakal membawakan Profesor Tariq Ramadan pula ke Pulau Pinang pada pertengahan bulan Julai.

Hasrat kami kini bukan sekadar untuk mewujudkan wacana bertaraf kebangsaan, tetapi yang bertaraf dunia. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Penang Institute dan Pulau Pinang secara keseluruhannya bertekad untuk menjadi penanda aras kualiti penganjuran dan pembudayaan ilmu di negara kita.

Jadi, saya berharap bahawa gabungan ahli akademik dan cendekiawan awam pada pagi ini mampu mencetuskan fikiran, semangat dan iltizam baru buat warga Pulau Pinang untuk meletakkan kembali negeri kita sebagai pusat ilmu serantau. – Roketkini.com

Ucapan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari, di Forum Nusantara Kelima  bertajuk “Syed Sheikh Al-Hadi: Pencetus gerakan pencerahan di Malaysia?” di Bandar PERDA, Pulau PInang pada 16 Jun 2012.