Berita

Wacana Roketkini II: Benarkah dasar DAP mengancam Islam?

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Setelah berjaya menganjurkan beberapa siri wacana awam, kali ini Roketkini kembali merancakkan aktiviti politik awam yang lebih hangat dan menyihatkan dengan menganjurkan siri Wacana II – “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam?”.

Wacana ini akan berlangsung di Hotel Quality Shah Alam pada Rabu 27 Jun 2012 bermula jam 8 malam. Semua dijemput hadir dan masuk adalah percuma.

Wacana kali ini akan menampilkan tokoh utama Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang bersama dengan tokoh akademik Dr. Maszlee Malek, Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Moderator untuk wacana ini akan dijalankan oleh Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.

Mengenai tajuk wacana ini iaitu ‘Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam?’, ia bertujuan membawakan hujah Guan Eng secara langsung mengenai hakikat sebenar di sebalik dakyah-dakyah pihak tertentu mengenai DAP.

Hadirin dan juga akan didedahkan dengan hujah dan fakta dari tokoh akademik Dr Maszlee yang terkenal dengan kepakarannya dalam bidang politik Islam antarabangsa.

Menurut Penyaralas Roketkini, Mazir Ibrahim, wacana ini seiring dengan peredaran masa demi meraikan ruang demokrasi yang lebih sihat dan rasional.

“Kami dengan sukacitanya ingin menjemput semua pihak, merentasi sempadan bangsa, agama, budaya dan politik untuk turut hadir dan menyertai wacana yang sarat dengan maklumat dan hujah bernas ahli panel,” katanya. – Roketkini.com.