Berita

Jenayah: Kenapa kerajaan BN takut dedah statistik terperinci?

KUALA LUMPUR, 20 JUN: DAP mempersoal tindakan Kementerian Dalam Negeri dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) kerana mengemukakan statistik jenayah secara terpilih dengan menyembunyikan maklumat terperinci kadar jenayah di Selangor kepada  Parlimen dan orang ramai.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, kes jenayah yang berlaku beberapa bulan kebelakangan ini telah meningkatkan kebimbangan orang awam terutamanya di lembah Klang dan kawasan bandar.

“Amat menyedihkan apabila Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein tidak mendedahkan maklumat terperinci indeks jenayah yang berlaku mengikut daerah di Selangor seperti mana soalan bertulis saya kepada Parlimen,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Beliau menjelaskan, Hishammuddin juga bersikap lepas tangan apabila menganggap kes-kes  yang berlaku kebelakangan ini sebagai ‘terasing’ termasuk kes seorang pengusaha perniagaan internet Chin Xin Ci dalam cubaan culik dan mencuri kereta di The Curve serta kes aktivisi sosial Dr Wong Chin Huat yang dibelasah ketika berjoging.

Hishammuddin juga telah dilaporkan sebagai menyalahkan persepsi yang ditimbulkan akibat kes-kes tertentu seolah-olah negara tidak selamat walau pun kerajaan Barisan Nasional takin dengan data yang dikeluarkannya menunjukkan indeks jenayah sudah turun.

“Masalahnya ialah apabila kami meminta data rasmi indeks jenayah dari menteri, tidak semua data tersebut dinyatakan. Jadi bagaimana?

“Saya telah mengajukan pertanyaan yang serupa di Parlimen sejak dua tahun lalu tetapi saya masih mendapat jawapan yang sama dengan maklimat yang terhad,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini semalam.

Dalam soalan terkini beliau kepada kerajaan, Pua meminta jawpaan tentang statistik jenayah yang berlaku secara terperinci mengikut daerah seperti Petaling Jaya, Serdang dan sebagainya dan jenis jenayah yang dilakukan samada pembunuhan, kes rogol, kecurian, rompakan bersenjata serta lain-lain jenayah yang berlaku di Selangor sejak tahun 2006.

Malangnya, menteri enggan memberikan butiran terperinci.

“Ini menunjukkan sikap pentadbiran Najib yang hanya mahu menyediakan maklumat yang dilihat positif semata-mata untuk memperbaiki persepsi rakyat terhadap kerajaan BN yang semakin buruk.

“Kerajaan sebenarnya cuba berselindung, walau pun ada kawasan yang telah berkurang ke jenayah, tetapi banyak lagi kawasan panas (hot spot) yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan bahawa hakikatnya kadar jenayah di Selangor telah meningkat.

“Pada tahun 2010, jumlah keseluruhan jenayah kekerasan di Selangor ialah 7,853 kes tetapi meningkat kepada 8,141 kes pada tahun 2011.

“Manakala jenayah kecurian melibatkan harta benda pula meningkat dari 31,838 kepada 36,161 kes dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan jumlah kes jenayah keseluruhan di Selangor semakin buruk dengan kenaikan kadar sebanyak 11.6% dari 39,691 kepada 44,302.”

Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Serdang, dalam sidang media yang sama, menjelaskan bahawa jawapan kerajaan BN kepadanya tahun lalu, mendedahkan bahawa nisbah anggota polis di Malaysia adalah 1: 274 yakni seorang polis disediakan untuk 274 penduduk.

“Tetapi di kawasan saya di Serdang, nisbahnya ialah 1:1,600, iaitu  seorang anggota polis menjaga keselamatan 1,600 penduduk,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan nibah kebangsaan 1:274 itu turut mengambil kira semua kakitangan awam yang bekerja di balai polis.

“Adakah pihak polis benar-benar dapat menjamin keselamatan diri kita daripada jenayah yang semakin membincangkan?” tambah beliau. – Roketkini.com