Berita

Selamatkan alam sekitar: ‘Occupy Balok-Gebeng’ esok dan lusa

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Himpunan Hijau 2.0 ‘Occupy Balok – Gebeng 24 Hours’  akan diadakan di Pelangi Beach Resort, Pantai Balok Kuantan, Pahang pada Sabtu dan Ahad ini bagi membantah projek pemprosesan nadir bumi Lynas.

Himpunan yang menuntut alam sekitar yang lebih bersih, selamat dan hijau ini akan diisi dengan dengan pelbagai aktiviti dan acara menarik seperti forum dan dialog alam sekitar, sesi pidato, konsert dan perarakan aman ke Pusat Komersil Gebeng.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Himpunan Hijau, Wong Tack berkata,  kerajaan Barisan Nasional tidak mengendahkan penderitaan dan kegelisahan yang berlaku kepada warga Kuantan dengan meluluskan projek Lynas.

“Rakyat perlu menyedari bahawa ini ialah isu kita semua. Ia adalah pertarungan hidup mati komuniti dan masa depan kita. Kerana itu kita kena mainkan peranan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurutnya, tindakan beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang membenarkan projek Lynas melalui jalan pintas dan seolah-olah berlakon sebagai jurujual untuk Lynas tidak boleh diterima dan ironi.

“Kesemua agensi kerajaan seperti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Kementerian Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Kuantan telah hilang integriti.

“Lihat saja apa yang berlaku kepada Bukit Merah sekarang. Pihak kerajaan bercakap mengenai pemantauan dan mengurus kerja-kerja pembersihan besar-besaran yang menjadi persoalan.

“Siapa yang akan bertanggungjawab jika kerajaan yang ada sekarang tidak lagi berkuasa? Berapakah jangka masa yang perlu diambil untuk mengurus sisa-sisa ini? Ratusan tahun?” soal beliau.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan bolehlah dihubungi melalui email: [email protected] , Facebook: Himpunan Hijau 2.0: Langkah Lestari dan Himpunan Hijau 3.0 serta boleh hubungi : 012-9223780 atau 013-8851232 Saudari Seet Ping. – Roketkini.com