Berita

Salahuddin tidak hina Hindu, MIC timbulkan isu tagih simpati kaum India

KUALA LUMPUR, 26 JUN: DAP mempertahankan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang dituduh oleh MIC kononnya menghina agama Hindu berhubung isu perarakan Thaipusam.

Timbalan Setiausaha Agung DAP Dr P. Ramasamy berkata, isu itu ditimbulkan oleh MIC dan Barisan Nasional yang sudah tidak ada modal politik kerana mahu meraih undi kaum India yang semakin condong kepada Pakatan Rakyat.

“Penjelasan YB Salahuddin membuktikan kepada kita bahawa beliau tidak hina Hindu mahu pun perayaan Thaipusam. Jika dilihat melalui fakta, tidak ada isu sebenarnya,” kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menjelaskan, MIC bersikap hipokrit kerana berdiam diri dalam soal novel Interlok sebagai teks sekolah menengah yang jelas menghina kaum India dengan menggelar mereka sebagai ‘paria’ dan beberapa kenyataan provokasi di kalangan pemimpin UMNO yang menganggap kaum India sebagai pendatang.

“Saya minta MIC untuk tengok semula masalah yang sebenar dan isu (Salahuddin) ini langsung tidak menghina agama Hindu,” jelas beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah menjelaskan semalam bahawa beliau tidak menghina atau berniat menghina agama Hindu dalam hujahnya sewaktu debat anjuran Sinar Harian pada 19 Jun lalu di mana beliau menyatakan Thaipusam adalah manifestasi hak kebebasan berhimpun dan bersuara di negara ini.

Salahuddin menyifatkan isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen MIC Hulu Selangor P.Kamalanathan sebagai sesuatu yang disalahertikan kerana beliau (Salahuddin) hanya memmbuat kenyataan mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dinyatakan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Antara contoh lain yang saya bawa dalam hujah saya adalah perhimpunan yang diketuai Dato’ Onn menentang Malayan Union, isu Keranda 152 (mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan pada 1967) dan  isu Baling (masalah petani miskin di Baling, Kedah pada 1974),” ujarnya.

Katanya lagi, agama-agama di Malaysia bebas mengamalkan ajaran masing-masing  dalam keadaan aman seperti perarakan Thaipusam dan Maulidur Rasul tanpa ada sebarang provokasi dan kekecohan.

“Jika ia difahami dalam konteks bahasa Malaysia yang betul, sudah tentu perkara ini tidak berlaku, malah Islam tidak mengajar pengikutnya untuk menghina agama-agama lain,” jelas beliau, menafikan tuduhan MIC tersebut.

Turut membela Salahuddin ialah Ahli Parlimen DAP Teluk Intan M.Manogaram, Ahli Parlimen DAP Seremban John Fernandez, Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat N.Balasubramaniam dan Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia S.Barathidasan serta wakil-wakil dari Parti Keadilan Rakyat.

Mereka sebulat suara bersetuju bahawa isu menghina agama Hindu dan perayaan Thaipusam tidak timbul sama sekali, malah ia sengaja dibangktkan oleh MIC untuk memainkan sentimen masyarakat India. – Roketkini.com