Berita

Perjanjian dengan Amerika: Harga ubat bakal melambung

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Malaysia perlu mengkaji semula cadangan menandatangani satu perjanjian dengan Amerika Syarikat yang hanya memberi keuntungan besar kepada gergasi korporat Barat kerana ia mengakibatkan kenaikan langsung harga ubat-ubatan di pasaran tempatan.

Menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, perjanjian Perkongsian Trans – Pasifik (TPPA) yang membelakangkan kepentingan rakyat dan negara adalah sebahagian dari Persetujuan Perdagangan Bebas (FTA) yang meliputi produk barangan kepenggunaan, perkhidmatan, hak pelaburan, perolehan kerajaan, hak harta intelektual dan perubatan.

Katanya, pelaksanan TPPA akan membenarkan pelabur untuk mendakwa dan menuntut pampasan daripada kerajaan di tribunal antarabangsa, dan ini akan menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam mengawal dan mengeluarkan ubat-ubatan untuk rakyat sekaligus mencemar kedaulatan Malaysia.

Dalam satu sidang media di lobi Parlimen semalam, beliau menjelaskan bahawa semua itu  merupakan helah untuk memaksa rakyat Malaysia menggunakan ubat-ubatan yang lebih mahal.

“TPPA ini akan menghalang kerajaan daripada menggalakkan sektor pembuatan tempatan.

“Persetujuan kepada perjanjian ini akan menyebabkan pencipta-pencipta ubat dari Amerika Syarikat bakal memonopoli  dan mengaut keuntungan yang besar kerana ia melibatkan perlindungan paten atau hakcipta yang menyeluruh dan akibat tempoh paten yang dipanjangkan sehingga 20 tahun,” tambah beliau.

Menurutnya, kenaikan harga ubat akan menyebabkan ramai terutamanya di kalangan masyarakat berpendapatan rendah serta kumpulan terpinggir akan lebih menderita.

“Ia juga akan mengakibatkan peningkatan kadar beban penyakit, morbiditi dan meningkatkan kadar pelancongan kesihatan ke negara-negara yang mempunyai akses ubat-ubatan dan perubatan yang lebih murah.” ujar beliau.

Berdasarkan Soal Selidik Kesihatan dan Morbiditi kebangsaan 2011, seramai 2.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan 80 peratus dari mereka mendapatkan khidmat perubatan di klinik dan hospital kerajaan di mana majoriti mereka mengambil ubat-ubatan generik termasuk mereka yang menderita akibat penyakit kanser.

Charles berkata, ubat-ubatan yang dipatenkan sangat mahal berbanding ubat-ubatan generik.

Menurutnya, ubat-ubatan versi generik merupakan ubat yang dihasilkan untuk tujuan yang sama seperti ubat berjenama di segi dos, kekuatan, keselamatan, kaedah pengambilan, kualiti dan keberkesanan dan kebiasaannya ia dihasilkan selepas ubat asal tamat tempoh paten atau hak cipta bagi sesebuah syarikat yang mengeluarkan ubat tersebut.

“Glivec yang merupakan ubat untuk merawat kanser gastrousus bernilai RM10,000 sebulan  manakala Sorafenib Tosylate iaitu ubat untuk merawat organ hati dan kanser buah pinggang berjumlah RM9,865 sebulan, wal hal versi ubat generik cuma menelan belanja RM370 hingga RM501 sebulan bagi seorang pesakit,” ujarnya.

Charles meminta kerajaan Malaysia agar menolak semua peruntukan-peruntukan yang boleh menjejaskan akses kepada ubat-ubatan murah  seperti peruntukan melanjutan paten, hubungan data, langkah-langkah kawalan sempadan yang membolehkan pegawai asing merampas ubat-ubatan kita serta peruntukan yang lain.

“Kita semua akan menerima kesan negatif akibat perjanjian perdagangan bebas ini yang akan meluaskan jurang kekayaan dan kemiskinan bukan sahaja antara negara-negara lain tetapi lebih penting di kalangan rakyat terbanyak,” katanya. – Roketkini.com