Berita

Pemimpin UMNO mahu Ambiga dihukum mati kerana tuntut pilihan raya bersih

KUALA LUMPUR, 28 JUN: DAP mahu polis mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen UMNO Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz, kerana mahu Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan, dihukum mati kerana memperjuangkan hak kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan menuntut pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kenyataan keji itu yang kali pertama dibuat oleh seorang Ahli Parlimen yang mahu menghukum bunuh seorang rakyat Malaysia adalah bersifat menghasut, ekstrem dan rasis.

“Ia adalah kenyataan yang mengancam nyawa Ambiga. Dan ia bersifat rasis dan seksis kerana hanya ditujukan kepada Ambiga yang merupakan seorang wanita, penganut Hindu dan dari keturunan India,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Seorang lagi Pengerusi Bersama BERSIH adalah Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Mohamad telah berkata: “Tuan Pengerusi, kita masih ingat apabila al-Maunnah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, kita hukum gantung dia. Ingat cerita itu beberapa tahun yang lalu?  Apakah Ambiga tidak boleh kita anggap penderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan hukum gantung kepada dia?”

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar berkata, kenyataan Mohamad,  yang juga seorang pemimpin UMNO Johor, mahu Ambiga dihukum mati adalah penghinaan kepada masyarakat India dan kaum ibu di negara ini.

“Rakyat Malaysia tidak patut memaafkan orang seperti ini. Mereka perlu dihukum melalui peti undi dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya. Menurutnya, Ambiga telah melalui penghinaan dan cemuhan yang melampau daripada orang-orang UNMO dan segelintir NGO yang tidak bertanggungjawab.Tambah beliau, para pemimpin UMNO yang tidak peduli dengan MIC dan masyarakat India di Malaysia sering menghina kaum India di negara ini.

“Kalau MIC banar-benar berani, saya mencabar pemimpin-pemimpinnya membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Muhamad Aziz yang mengeluarkan kenyataan  sensitif di Parlimen.

“Jika tidak, MIC harus mengaku  bahawa parti itu adalah boneka UMNO dulu, sekarang dan selama-lamanya,” katanya. – Roketkini.com