Rencana

Tender tertutup BN: Siapa rugi, siapa untung? Oleh T.K. Tan

Dalam ura-ura Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menengahkan konsep ketelusan pentadbirannya, muncul pula berita yang mempertikaikannya niat suci murninya. Projek rel transit umum (MRT) yang dikemukakan dua tahun lalu tidak mendapat sambutan yang sepatutnya dari para pembida projek.

Sebagai projek terbesar dalam sejarah Malaysia, sistem MRT lembah Kelang dijangka menelan belanja sebanyak RM50 billion dan bakal siap pada tahun sepenuhnya menjelang 2020. Ia terbahagi kepada beberapa fasa yang akan ditender untuk pembidaan.

Tender untuk kontrak membekalkan koc untuk projek MRT tersebut yang berjumlah RM1.6 billion dibuka untuk penyertaan syarikat pembinaan antarabangsa tetapi telah mendapat sambutan dingin.

Mengikut akhbar the Edge, dilaporkan tiga daripada enam konsortium yang awalnya disebut akan menyertai tender tersebut telah menarik diri pada hari terakhir 11 Jun lalu.

Akhbar tersebut juga melaporkan yang beberapa pegawai eksekutif yang terlibat dalam proses tender tersebut memberitahu mereka syarikat tersebut menarik diri kerana mengetahui syarikat China CSR Zhuzhou mempunyai kelebihan atas syarikat lain. (The Edge, 18 Jun 2012).

Kenapakah tender kontrak belum ditutup lagi tetapi syarikat-syarikat ini sudah mengetahui tentang keputusannya? Di mana wujudnya ketelusan dalam proses tender MRT yang dijanjikan PM?

Satu daripada syarikat tersebut yang menarik diri ialah Bombadier Transportation, syarikat Kanada yang berpengalaman dalam membekalkan koc untuk laluan sistem transit ringan (LRT) PUTRA. Apakah syarikat yang sudah mempunyai pengalaman di Malaysia tidak berasa yakin dalam menandingi syarikat lain?

Kontroversi sejak tahun lalu

Mengikut laporan The Malaysian Insider tahun lalu, untuk projek lanjutan laluan sistem LRT Ampang, sebuah jawatankuasa Kementerian Kewangan telah mengenepikan pilihan pengelola sistem LRT Ampang, Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB).

Projek tersebut dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang harga projeknya berjumlah RM890 juta, iaitu RM280 juta lebih tinggi daripada harga bida syarikat pilihan SPNB. Syarikat pilihan jawatankuasa itu juga dikenakan penalti kerana lambat membekalkan 35 buah koc yang berharga RM 1.2 billion kepada SPNB. (The Malaysian Insider 17 Jun 2011).

Setelah berita negatif itu menjadi tatapan umum, MRT Corp (syarikat yang membina MRT) telah menangguhkan penganugerahan pakej projek tersebut selama tiga kali dalam tempoh 14 bulan demi meredakan sentimen negatif terhadap kerajaan.

Sejak bermulanya projek MRT ini tidak reda dilanda kontroversi akauntabiliti. Tuduhan terhadap kerajaan dan MRT mengamalkan sikap memilih bulu dalam penganugerahan projek semakin menjadi-jadi. Apakah tender terbuka MRT tidak ‘terbuka’ lagi?

April lalu, Najib mengumumkan 42 projek Inovasi Peluang perniagaan (IBO) akan disenaraikan mengikut tender terbuka 42 projek tersebut dianggarkan bernilai RM 1 billion. Lantaran itu Najib mendapat pujian yang menggunung, kononnya era baru ketelusan Malaysia sudah tiba.

Akhirnya, seperti yang sudah menjadi budaya dan amalan UMNO-Barisan Nasional, itu cuma indah khabar dari rupa.

Sebenarnya amalan runding terus (direct negotiation) untuk projek kerajaan adalah amalan kerajaan BN sejak tahun 1970an. Tujuannya tidak lebih daripada memastikan kroni mereka mendapat projek tersebut supaya ‘habuan’ dapat terus disalurkan kepada kantung pilihanraya pemimpin dan pengikut mereka.

Budaya UMNO-BN telah sebati dengan amalan rasuah dan kronisme. Ia telah sampai tahap yang kritikal. Semenjak krisis kewangan Asia 15 tahun lalu, kerajaan persekutuan Malaysia telah mencatat belanjawan defisit 15 tahun berturut-turut. Kadar perbelanjaan pengurusan kerajaan BN kini sama dengan pendapatannya.

Dalam masa yang sama hutang negara sudah mencecah angka RM470 billion, yakni 53 peratus daripada keluaran dalam kasar negara kasar (KDNK) Malaysia. Angka ini meningkat lebih daripada 40 peratus sejak Najib menjadi PM.

PR jauh lebih jujur, berjaya dari BN

Berbanding dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat khasnya di Pulau Pinang dan Selangor yang belum cukup sepenggal usianya, pencapaian mereka jauh lebih baik daripada mantan kerajaan negeri UMNO-BN masing-masing.

Di Pulau Pinang, setelah PR mengamalkan sistem tender terbuka, kerajaan negeri berjaya menjimatkan perbelanjaannya sehingga mencatat lebihan belanjawan pengurusan empat tahun berturut-turut dengan jumlah RM88 juta untuk tahun 2008 sebagai angka paling tinggi dalam sejarah negeri tersebut.

Di Selangor, amalan tender rundingan terus jatuh mendadak; dari angka RM396 juta dalam tahun 2007 ia jatuh kepada RM4.7 juta dalam tahun 2011. Hasil dari usaha berjimat cermat ini, Selangor juga mencatat simpanan dana tunai yang paling tinggi dalam sejarahnya, yakni RM1.9 billion pada tahun lalu.

Alasan UMNO yang kaum Melayulah akan paling menderita jika sistem tender terbuka diamalkan ini kerana daya saing mereka masih lemah berbanding kaum lain jauh meleset kebenarannya.

Di Pulau Pinang dari Mac 2008 hingga Ogos 2010, kontraktor Melayu berjaya memenangi 80 peratus daripada jumlah dan 61 peratus daripada nilai kontrak kerajaan negeri yang ditawarkan secara tender terbuka.

Amalan kerajaan PP yang kompeten, akauntabel dan telus (CAT) mendapat pujian dari pelbagai pihak, khasnya Transparency International sebuah agensi antarabangsa yang memantau tahap rasuah di pelbagai negara.

Ini hanya sekadar pentadbiran negeri negeri yang amat terhad peruntukan kewangannya. Bayangkan jika kerajaan persekutuan Malaysia ditadbir dengan cekap, akauntabel dan telus. Yang senang, untung dan merasai nikmat hidup tanpa rasuah, tanpa salah guna kuasa dan tanpa kerahsiaan adalah kita sendiri sebagai rakyat. – Roketkini.com