Berita

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selesai masalah sekolah

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjaya menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah yang dihadapi SJKC Tche Min di Sungai Pelek, Sepang, apabila Majlis Exco Kerajaan Negeri meluluskan keputusan pengambilan tanah satu ekar bersebelahan sekolah berkenaan.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok berkata, sekolah berkenaan pernah beberapa kali membuat permohonan tanah kepada Pentadbir Tanah Sepang tetapi ditolak kerana tanah yang dipohon melibatkan sebuah kawasan yang sering digunakan penduduk.

“Selain membuat permohonan kepada pejabat tanah, ada usaha lain dijalankan dengan menghubungi tuan tanah di sebelah sekolah tersebut supaya menjual atau memberi tanah mereka kepada pihak sekolah tetapi gagal.”

“Akhirnya, pada tahun lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan Pejabat Tanah Sepang untuk mendapatkan tanah di sekitar sekolah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sekolah tersebut kini semakin menerima kemasukan pelajar baru dari pelbagai kaum menempatkan lebih 200 pelajar.

Menurut Teresa lagi, pihak sekolah kini sedang dalam usaha mengumpul dana bagi tujuan pembangunan.

“Sama seperti kes yang lain, kos pengambilan tanah akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor manakala kos ukur pula ditanggung oleh pihak sekolah sendiri. Kita juga akan memohon bantuan dari Kementerian Pelajaran bagi maksud tersebut,” ujar beliau.

Turut hadir dalam siding media tersebut ialah Ahli Majlis Perbandaran Sepang, pengurus sekolah, penasihat sekolah, pengerusi persatuan murid-murid tua dan timbalan pengerusi PIBG SJKC Tche Min. – Roketkini.com