Berita

Pelancaran buku Fan Yew Teng di KL esok malam

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Semua dijemput hadir ke majlis pelancaran buku kenangan dan penghormatan buat aktivis politik, penyair, pejuang hak asasi manusia serta bekas wakil rakyat, Fan Yew Teng, yang akan diadakan di sini malam esok, Isnin 2 Julai.

Pelancaran buku ini akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH) beralamat No 1, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, mulai jam 7.30 malam. Masuk adalah percuma.

Buku The Sweet Rebel: Remembering Fan Yew Teng akan dilancarkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dengan disertai oleh jemputan khas Pengerusi Bersama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan dan Senator Dr Ariffin Omar.

Buku ini adalah kumpulan catatan kenangan dan penghormatan daripada sahabat dan rakan seperjuangan mendiang yang mewakili pelbagai bidang, termasuk tokoh-tokoh antarabangsa, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja dan kenalan peribadi.

Fan Yew Teng (1942-2010) adalah bekas Pemangku Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen bagi kawasan Kampar dan Menglembu serta Ahli Dewan Undangan Negeri Petaling Jaya pada tahun 1970-an.

Beliau yang meninggal dunia pada 7 Disember 2010 juga pernah menjadi pengarang lidah rasmi DAP, The Rocket. Beliau menghasilkan banyak karya penulisan politik serta kumpulan-kumpulan puisi.

Sebelum pilihan raya umum 1978, Fan meninggalkan DAP atas sebab-sebab peribadi. Sewaktu  “berehat” dari politik kepartian sepanjang 1980-an hingga 1990-an, mendiang gigih bergiat dalam arena NGO antarabangsa menentang imperialisme dan campur tangan kuasa besar di dunia ketiga.

Pada 1998, Fan kembali menyertai DAP dan kekal sebagai ahli hingga ke akhir hayatnya.
Buku The Sweet Rebel: Remembering Fan Yew Teng disunting oleh anak kembar mendiang, Pauline dan Lilliane Fan yang diterbitkan oleh Genta Media Sdn Bhd.

Buku ini yang berharga RM50 boleh dipesan terus daripada Genta Media di www.gentamedia.com atau  Facebook: Genta Media serta di kedai-kedai buku utama seperti MPH, Borders, Popular, Kinokuniya, Times dan rangkaian myNEWS.com. – Roketkini.com