Berita

Teater Beng Hock: Kesedaran masyarakat amat penting

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Kematian ‘misteri’ Teoh Beng Hock bukan isu kaum Cina, ia adalah soal keadilan sejagat yang perlu dihayati oleh semua kaum di negara ini. Justeru pementasan teater ‘Beng Hock’ penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keadilan, hak asasi dan jaminan keselamatan diri.

Tahun ini masuk tahun ketiga peristiwa berdarah yang berlaku terhadap Beng Hock, pembantu khas seorang wakil rakyat DAP, yang dijumpai mati selepas jatuh dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam, Selangor.

Menurut pengarah urusan Rumah Anak Teater, Faisal Mustafa, peristiwa itu menjadi tragedi berdarah yang dirasai terutamanya pihak keluarga yang mahu menuntut keadilan daripada pihak berkuasa.

Katanya, teater yang berkisar tentang isu-isu semasa serta benar-benar berlaku seumpama ini bukan pertama kali dipentaskan oleh Rumah Anak Teater.

“Sebelum ini Rumah Anak Teater ada mengarahkan pelbagai jenis bentuk persembahan seperti kisah benar tentang kes pembuangan bayi,” katanya, menambah bahawa teater Beng Hock akan dipentaskan dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang boleh difahami ramai.

Beliau menjelaskan, isu Beng Hock bukan isu orang Cina, sama seperti isu kematian Amirulrasyid Amzah, 15, yang ditembak mati oleh polis yang tidak boleh dianggap isu orang Melayu, kerana ia adalah soal keadilan sejagat.

Katanya, tragedi yang berlaku itu menunjukkan kelemahan pihak berkuasa semasa menjalankan tugas mereka manakala keluarga mangsa pula tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

Mengenai persediaan pementasan teater itu, Faisal berkata, antara mereka yang dipilih sebagai pelakon adalah pelajar Rumah Anak Teater seperti Shufitri Suhardi dan Azad, pelakon teater Aloy Paradoks, jurugambar bebas Ajoy Azizi dan wakil KLPAC Anne Nurbaya.

Teater arahan Hariri Abdul Jalil ini akan menggunakan teknik devised play di mana lakonan oleh setiap watak tidak terlalu terikat dengan skrip yang akan membolehkan mereka menggunakan improvisasi tersendiri. Ia juga meminimalkan penggunaan bahan-bahan prop untuk set semasa pementasan.

Pementasan di Kuala Lumpur pada 6, 7 dan 8 Julai ini adalah percuma tetapi penonton perlu menempah tempat duduk melalui  blog  rumahanakteater.blogspot.com atau boleh menghubungi ttalian 012-229 0944 atau Facebook: Rumah-Anak-Teater atau di pautan Twitter, #BENGHOCK.
Pementasan di Pulau Pinang pada 13 dan 14 Julai pula dikenakan tiket berharga RM15 setiap satu. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada laman-laman web dan media sosial yang sama di atas. – Roketkini.com

KUALA LUMPUR
Tempat: INDICINE, KLPAC, Sentul Park (off Jalan Ipoh), 51100 Kuala Lumpur
MASUK PERCUMA – sila tempah tempat duduk
Tarikh: 6-8 Jun 2012 @ 8.30pm
8 Jun 2012 @ 3pm

PULAU PINANG
Tempat: Studio 1, PenangPAC, Level 3A, Quay One Wing, Strsits Quay, Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong, 10470 Pulau Pinang.
Tarikh: 13-14 Julai 2012 @3pm dan 8.30pm
Tiket: RM 15
Hubungi: 04-8991722/2722