Rencana

DAP – antara idealistik dan realistik – Oleh Mazir Ibrahim

Diringkaskan cerita, Parti Tindakan Demokratik (DAP), adalah sebuah parti yang gigih bekerja untuk mencapai maksud dan cita-cita politik mereka seperti mana parti-parti yang lain. Memang, dalam politik, hukumnya ‘mahu kuasa’.

Namun tidak semudah itu untuk kita katakan, kuasa itu bersalahan dengan iltizam politik atau kuasa itulah segala-galanya hingga digambarkan sebagai suatu perkara yang sangat menjijikkan dan menakutkan.

Jika kuasa dinilai dari aspek idealistik, sesungguhnya ia suatu perkara yang amat indah untuk difikir, diangan-angankan dan dinikmati. Tapi malang sekali, idealisme tidak pernah menjanjikan sesuatu yang realistik.

Bagaimanakah bentuk kuasa yang ideal?

Adakah dengan berkongsi kuasa itu ideal? Adakah dengan membahagi-bahagi kuasa itu ideal? Atau dengan memusatkan kuasa itu ideal?

Idealisme melihat kuasa itu tidak terbatas pada zahir asalkan yang menikmati kuasa itu merasakan tidak ada bantahan dari sesiapa dan yang diperintah itu rela dan suka.

Namun, dalam konteks moden khususnya di Malaysia, dengan menetapkan had masa dan batas kuasa itu, maka bentuk ideal sebegini mungkin sudah boleh kita terima sebagai suatu yang realistik.

Ideal dalam konteks yang realistik dan praktis adalah dengan jalan bersederhana. Konsep sederhana ini pula boleh kita terima sebagai pilihan jalan tengah yang mana kita menolak sesuatu yang akhirnya membawa kepada sifat ekstrem.

Jadi apa sebenarnya DAP?

Jika DAP dinilai dari segi ideologi, maka para sosialis kiri akan menganggap bahawa DAP adalah sosialis murtad.

Puak yang masih percaya dengan ideologi komunis pula akan melihat DAP sebagai musuh dalam selimutnya.

Begitu juga dengan pendukung kapitalis, mereka akan melihat DAP sebagai oportunis kerana mahukan keadilan sosial dan pada masa yang sama tidak membenci pasaran..

Pandangan-pandangan sebegini pastinya dianggap sebagai suatu yang ideal bagi penganut ideologi-ideologi tersebut.

Namun, kita melihat semua pandangan tersebut sebagai suatu pandangan yang mengarah kepada nilai yang ekstrem kerana pilihan DAP sebagai entiti yang ingin mempercayai kepada idea demokrasi sosial.

Pandangan idealogikal (sosialisme,komunisme atau kapitalisme) tersebut, mungkin tanpa sedar telah menolak idea kepelbagaian dalam bentuk idealisme yang lain, iaitu demokrasi sosial.

Idea ini menggalakkan perbezaan pendapat dan kepelbagaian pada pilihan. Yang mana ia berbeza dengan idealisme sesuatu penganut ideologi itu yang mahu tetap dan kekal dengan pandangan mereka.

Memang semua pihak punya penilaian dan pandangan yang berbeza, justeru itulah maka DAP memilih jalan tengah sebagai jalan terbaik buat masa ini. Politik akhirnya akan berubah mengikut zaman dan cabarannya. Begitu juga dengan ideologi, ia adalah ciptaan kita yang tidak sempurna.

Jalan tengah

DAP memilih untuk meletakan dirinya di jalan tengah agar setiap kali ia melangkah dalam perjuangan politik, maka kita terus berada dalam dunia rasional. Jika tersilap atau terlanjur dalam perjuangan, maka DAP boleh berpatah balik tanpa rasa ragu dan malu.

Jalan tengah bukanlah jalan yang selesa, sebaliknya jalan yang akan mengingatkan kita supaya sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduk politik. Berhati-hati itu barangkali, jalan terakhir untuk menjadi idealistik.

Teringat dengan satu lirik sebuah lagu lama, sungguhpun itu hanyalah imaginasi namun ia amat memadai kerana keindahannya telah menempatkan citra kita:

You may say that I’m a dreamer
But I’m not the only one
I hope someday you’ll join us
And the world will be as one”
John Lennon, Imagine