Berita

Fan Yew Teng: Patriot yang tak didendang

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Demi menyemarakkan lagi perjuangan ke arah Malaysia yang lebih demokratik, adil dan bebas seperti mana perjuangan Fan Yew Teng, kompilasi tulisan mengenang tokoh DAP itu, dilancarkan semalam oleh Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang dalam ucapannya di majlis yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor menyatakan sebagai seorang pejuang, tidak dapat dinafikan bahawa pemergian Fan Yew Teng sentiasa dirindui dalam keadaan Malaysia sedang menuju perubahan.

“Fan Yew Teng adalah seorang manusia yang berani menyatakan kebenaran. Beliau telah banyak mainkan peranan kepada parti terutamanya setelah saya ditahan semasa tahun 1969.
Dalam perkara yang berkaitan, Kit Siang turut menceritakan pengalaman beliau ketika tercetusnya peristiwa Mei 1969 yang menyaksikan penahanannya dan pimpinan DAP yang lain.” ujar beliau.

Buku bertajuk “The Sweet Rebel: Remembering Fan Yew Teng” ini mengungkap sosok pejuang yang merupakan seorang yang sangat kritis dan berpegang kuat dengan prinsip.

“Ketika kami berhadapan dengan krisis, tidak ramai teman yang membantu, beliau berdiri teguh bersama kami memberi kekuatan dan sokongan yang kuat,” menurut Senator Dr. Ariffin Omar.

Dr. Ariffin, yang juga pengasas Aliran, berkata “Sudah tentu kita mempunyai persepsi dan pandangan yang berbeza terhadap Fan Yew Teng. Tetapi sebenarnya kita berkongsi idealisme yang sama iaitu ke arah Malaysia yang bersatu dan adil di mana semua orang mempunya kebebasan dan demokrasi.”

Menurutnya, Fan adalah seorang yang beliau lihat sebagai rakyat Malaysia dan model seorang Malaysia yang patut dicontohi.

“Saya tidak melihat Fan sebagai seorang yang dipisahkan dengan bangsa, agama atau apa juga sempadan lain.”

Bagi Pengerusi-Bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan pula, mendiang Fan merupakan salah seorang tokoh yang beliau minati dari jauh.

“Semasa saya membesar, saya telah mendengar dan membaca mengenai perjuangan Fan dan mereka yang lain tetapi saya tidak faham sepenuhnya apa yang mereka perjuangkan. Sekarang saya faham.” ujarnya disambut tepukan hadirin.

Beliau juga melahirkan rasa sedih kerana ‘Uncle Fan’ tidak dapat melihat bagaimana kebangkitan rakyat Malaysia pelbagai kaum berdiri dan berjuang tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, jantina dan sebagainya bangkit menuntut pilihan raya yang adil dan bebas di negara ini.

Dikenali sebagai seorang yang berprinsip, Fan Yew Teng merupakan seorang aktivis politik dan sosial yang pernah menjadi Setiausaha Agung DAP serta Ahli Parlimen Kampar dan Menglembu. Beliau juga aktif dalam memperjuangkan nasib guru-guru di dalam Kesatuan Guru-Guru Kebangsaan dan pernah menulis beberapa buah buku.

Buku yang memuatkan tulisan-tulisan tokoh-tokoh politik dan aktivis masyarakat dari dalam dan luar negara termasuk Aung San Suu Kyi itu disusun oleh kedua anak kembarnya, Pauline dan Lilianne Fan.

Turut menghadiri majlis pelancaran buku tersebut termasuk teman rapat dari kalangan aktivis dan ahli keluarga serta pemimpin-pemimpin politik.

Buku yang diterbitkan Genta Media ini boleh didapati secara talian terus di www.gentamedia.com, atau emel kepada [email protected], atau melalui telefon di 03-92818105. – Roketkini.com