Berita

“Lim Guan Eng bukan Chua Soi Lek”

GEORGE TOWN, 4 JULAI: MCA dicabar supaya mengulangi fitnah di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkaitan pembohongan mereka terhadap peribadi dan keluarga Ketua Menteri Pulau Pinang, agar isteri YAB Lim Guan Eng, iaitu Betty Chew, boleh membuktikan di mahkamah dakwaan palsu MCA tersebut.

Jika MCA berani berbuat demikian, Guan Eng dan isterinya akan mendedahkan di mahkamah bahawa MCA telah bermain politik lucah dan kotor serta membuktikan bahawa “Lim Guan Eng bukan Chua Soi Lek”.

Guan Eng di dalam kenyataan akhbarnya hari ini mengecam cubaan membunuh karektor peribadi beliau dengan mengheret isteri dan ahli keluarga beliau dalam kancah politik lucah yang didalangi oleh Barisan Nasional dan MCA.

“Jelas BN mengamalkan politik kotor dengan cuba menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik bahkan menyerang ahli-ahli keluarga yang tidak bersalah. Sebelum ini anak saya yang berumur 15 tahun, yang masih di bawah umur, dituduh melakukan pencabulan seksual terhadap rakan wanita sekelasnya oleh laman web UMNO,” kata beliau.

Fitnah UMNO tersebut akhirnya terbongkar apabila gambar gadis yang kononnya dicabul itu dikenal pasti sebagai seorang juara catur Hong Kong dan tidak pernah bertemu dengan mana-mana ahli keluarga Guan Eng.

Setelah gagal, jentera media BN kali ini beralih pula kepada isteri beliau, Betty Chew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka bagi kawasan Kota Laksamana.

Isnin lalu, Pengerusi MCA Melaka, Datuk Gan Tian Loo di dalam DUN Melaka telah menuduh Guan Eng mempunyai hubungan sulit dengan seorang petugasnya sendiri dan menuntut isterinya supaya menjawab tuduhan bahawa beliau (Betty) telah memukul wanita tebabit dan mengakibatkan wanita itu dipindahkan dari pejabat Ketua Menteri.

Menurut Guan Eng lagi, Gan telah menyalahgunakan keistimewaan dan jaminan perlindungan di dalam Dewan Undangan Negeri Melaka dengan membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadap beliau di dalam dewan tersebut.

“Saya mahu Gan untuk mengulangi tuduhan itu di luar supaya saya dan isteri boleh membuat saman fitnah kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar atau biadap itu,” tegas beliau.

Guan Eng mendakwa bahawa Gan adalah orang yang tidak layak untuk menjadi suami dan bapa kepada anak-anaknya kerana sanggup membuat tuduhan palsu demi menghancurkan bukan sahaja karier politik tetapi juga kebahagiaan rumah tangga orang lain.

“Apakah jenis pemimpin seperti Gan ini apabila dia sanggup dipergunakan sebagai orang suruhan UMNO untuk bermain politik longkang itu?” tambahnya lagi.

Setiausaha Agung DAP itu juga menengaskan bahawa DAP tidak pula pernah menyalahgunakan keistimewaan dan prosiding Parlimen untuk menyerang Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek apabila video lucahnya didedahkan.

Beliau justeru menuntut supaya Perdana Menteri Najib Tun Razak sendiri yang mengarahkan MCA supaya megulangi fitnah itu di luar dewan, memandangkan Chua Soi Lek tidak mempunyai kapasiti moral untuk berbuat demikian, kerana turut terpalit skandal sebelum ini.

“Biar MCA mengulangi dakwaan mereka di khalayak ramai supaya saya dan isteri boleh buktikannya di mahkamah bahawa “Lim Guan Eng bukan Chua Soi Lek”.

“Saya tidak mempunyai mana-mana hubungan rapat atau rahsia dengan bekas kakitangan saya. Isteri saya tidak pernah menyerang saya atau sesiapa pun dalam hidupnya,” jelas beliau lagi.

Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek dijadual bertemu lagi dalam acara debat kali kedua pada hari Ahad, 8 Julai ini. Debat kali ini bakal membincangkan dasar DAP berbanding MCA, siapa yang lebih memberi faedah kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini. – Roketkini.com