Budaya

Yang wajar dan yang tidak – Oleh Asi Dani

CERPEN

Sugu yang dari tadi menghisap rokok di atas motornya mula melabuhkan duduknya di tepi tembok depan rumah aku. Sudah hampir sejam kami melabun itu dan ini. Dalam asyik bersembang sambil menikmati udara petang, mata aku menangkap sebuah basikal yang menghampiri perlahan depan rumah aku, tempat kami duduk.

Sugu tersenyum melihat Haji Kassim menghampiri kami dengan basikal lamanya. Sampai di dagu jalan rumah aku, Haji Kassim menongkat basikalnya, riak wajahnya kelihatan ceria sekali. Kami gembira dengan hadirnya Haji Kassim, antara insan berilmu agama yang rendah diri dan tegas pendiriannya di kawasan perumahan kami.

Cerita seharian

“Assalamualaikum, Ji,” lekas aku menyapanya.

“ Waalaikumsalam,” lembut suaranya membalas salam kami.

“Sugu, apa khabar? Semalam nampak awak berbelanja, nak tegur takut salah orang,” Haji Kassim bertanyakan Sugu dengan senyuman.

“Ya, ya. Semalam ada keluar belanja dapur di kedai Kapitan, tuan haji di mana? Tak perasan saya,” Sugu menjawab sambil bersalaman dengan Haji Kassim. Kedua tangannya mendakap kemas tangan Haji Kassim.

“Aku dalam kereta, hantar cucu tuisyen dekat atas kedai Kapitan tu. Kan ada kelas tuisyen situ,” jelas Haji Kassim.

“Oh ya, saya pun baru tahu atas kedai Kapitan ada kelas tuisyen. Mahal ke yurannya tuan haji?” soal Sugu semula.

“Mahal juga, kalau tak silap Borhan kata ikut subjek, satu subjek dalam RM80 rasanya,” Haji Kassim menjawab sambil mengurut janggutnya yang sejemput itu.

“Kau pun ada hantar anak kau kan, Asi? ” soal Sugu sambil memandang muka aku.

“Ada, tapi tahun ni aku tak hantar,” jawab aku tanpa segan.

Tiba-tiba berdesing bunyi “kuueennngggg…”, menderu sekali sebuah motor melalui depan halaman rumah aku. Kami bertiga bingkas memandang kelakuan budak-budak merempit di sekitar perumahan kami. Terhenti sebentar perbualan.

“Macam-macam perangai budak-budak ni,” keluh Haji Kassim.

Aku dan Sugu hanya mampu tersenyum mendengar Haji Kassim mengeluh. Memang sudah beberapa kali persatuan penduduk mengadukan hal ini dengan polis, namun ia hanya akan reda beberapa waktu saja. Tak berapa lama lepas itu, akan muncul lagi kegiatan merempit ini.

“Kau tak ke kuil ke hari ni Sugu? Dok melepak saja, nanti Tuhan Siva marah tau,” soal Haji Kassim.

Aku tersenyum dan ketawa mendengar soalan Haji Kassim. Memang sudah menjadi tabiat kami untuk mengusik dengan cara demikian. Kadangkala, Sugu dan Haji Kassim pula akan menyindir aku kononya menyokong golongan Syiah dan bersimpati dengan golongan Wahabi. Namun semua itu hanyalah gurauan yang matang. Barangkali hanya kami bertiga saja yang boleh menerima dan memahami gurauan sedemikian.

“Ala haji, hari ni cuti sebab nak melepak dengan tuan haji. Inikan majlis ilmu juga,” tergelak besar kami mendengar jawapan Sugu yang bijak menggunakan istilah yang sering digunakan oleh pendakwah-pendakwah Islam.

“Kau pandailah kata majlis ilmu, ni duduk tepi jalan nak buat majlis apa,” aku menyampuk.

Surau

“Tapi Si…” tiba-tiba Haji Kassim mencelah. Tutur katanya terhenti sebentar ketika matanya memandang tepat ke muka kami berdua. “Kau perasan tak, tahun ni saja, kawasan perumahan kita dah ada empat buah surau yang siap”.

“Ye la tuan haji. Bagus tu,” Sugu menyampuk dengan menganggukkan kepalanya.

“Itulah, tapi aku ada rasa pelik juga, kawasan perumahan kita ni sekitar empat kilometer persegi saja, macam mana boleh buat surau sampai empat buah. Yang lama masih baik dan besar, ada buat satu lagi dua tahun sudah, yang baru ni buat dekat fasa 17, yang dah siap bulan lepas dekat fasa 17A, jarak fasa ni pun tak sampai satu kilometer,” aku menambah dengan perasaan bercampur-baur.

Sugu hanya terkebil-kebil memandang muka aku.

“Apa kau cakap ni Asi? Salahkah ada surau banyak, tuan haji?” Sugu menyampuk dan bertanya kepada Haji Kassim.

“Aku ni dah tua, kadang-kadang tak reti nak kata, takut orang salah faham pulak,” jelas Haji Kassim dengan dahi berkerut. Disapunya rambut dengan ketayapnya.

“Apa maksud haji?” aku menyoalnya kembali.

“Aku tengok benda ni dah jadi kerja membazirlah, dalam lingkungan empat lima kilometer ni buat apa kita buat sampai empat biji surau? Kan baik ada satu surau dan satu masjid. Aku rasa dah memadai, lagi pun kos buat empat bauh surau ni kalau aku kira-kira dah lebih dari 3 juta ringgit,” jelas Haji Kassim.

“Eh Ji, nanti kalau orang dengar ni, jadi fitnah pulak, nanti kata kita tak Islam. Malah takut nanti orang kata kita ni murtad pulak, kita biar ajelah Ji,” jawab aku pendek, rasa tak selesa pula dengan perbualan itu.

“Aku cakap ni bukan soal nak melawan. Aku jelaskan aje, membazir tu kan kerja sia-sia, walau pun yang kita buat tu surau. Kalau kita memang tak ada surau, wajib kita bina surau, tu aku faham. Tapi kalau dah berlebihan sampai membazir, aku tak setuju langsung.

“Lagi pun, bila dah banyak sangat surau. kosong saja. Timbul masalah lain pula,” serius sekali jawapan Haji Kassim.

Aku dan Sugu hanya diam mendengar rungutan haji Kassim.

“Aku ada sebut hal ni dalam mesyuarat jawatankuasa tahun lalu, tapi alasan dia orang nak bina sebab tak nak bercampur dan berkongsi dengan penduduk fasa lain,” perlahan suara Haji Kassim menerangkan. Matanya sesekali memandang ke langit, seolah sedang berfikir.

“Aku jadi pelik sekarang ni, bukankah kalau kita berkongsi surau atau masjid itu baik, kita lebih kenal dan rapat dengan penduduk fasa bersebelahan? Tapi aku tengok ni dah terbalik, guna agama untuk tak nak bercampur dengan masyarakat lain, macamlah kalau ada banyak surau maka penduduk sini makin rajin bersolat dan bersatu padu,” nada Haji Kassim agak keras.

Sugu terus diam, dia memandang aku dan kemudian mata kami tertumpu pada Haji Kassim.

“Mungkin alasan dia orang tu nak tegakkan syiar Islam, lagi banyak surau, mungkin mereka akan rasa lebih tenteram,” lembut pujukan aku pada Haji Kassim.

Pengisian

Mendengus Haji Kassim dengan alasan aku itu. Katanya, “Ah, syiar Islam ni perlu pengisian juga, tak kan nak bina beribu-ribu surau, maka kita dah rasa kita jalankan tanggungjawab kita sebagai Muslim. Suaru masjid ni perlu diimarahkan, pengisian tu lebih utama dari bina banyak-banyak.”

“Tak apalah Ji, kita sama-sama imarahkan suaru kita,” pendek ulasan aku.

“Ya la Ji, saya ni orang India, saya tumpang happy tengok kalau kita semua tekun beribadah, saya tak boleh cakap apa-apa tentang hal ini. Saya cuma harap kita boleh sama-sama kongsi hidup dalam satu kawasan yang sama, kena sama-sama tolong bila susah,” Sugu pun bersuara dengan nada lembut.

Aku suka dengan Sugu yang bersikap terbuka bila kita berbicara tentang apa saja. Bukan semua orang boleh berbicara hal ini secara terbuka dan waras. Tapi tak mengapa kerana Haji Kassim terkenal dengan ilmu agamanya dan antara yang paling rajin ke surau dan masjid. Aku hanya menumpang mengutip ilmu walau di mana jua.

Yang aku terasa di hati, walau masih ada insan yang kegelapan, ada juga yang sudah semakin cerah minda dan hati. Aku lihat, sinar perubahan sedang berlaku. – Roketkini.com