Berita

Chua Soi Lek, musang hilang ekor

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: “Tiada siapa yang mahu ekornya dipotong dan menjadi seperti Chua Soi Lek, musang tanpa ekor”. Demikian kecaman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Presiden MCA Chua Soi Lek berhubung fitnah keji yang dilemparkan terhadap beliau serta ahli keluarganya.

Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya hari ini menyifatkan tindakan Presiden MCA itu seperti musang kehilangan ekor kerana percubaan untuk menjatuhkan pemimpin Pakatan Rakyat telah  gagal .

Beliau seterusnya mencabar Chua supaya mengulang fitnah tersebut di khalayak umum, termasuk semasa debat yang akan diadakan pada Ahad ini (8 Julai) bagi membolehkan ia dibawa ke mahkamah.

Menurutnya perangai Chua sama seperti kisah kanak-kanak mengenai seekor musang yang kehilangan ekornya dan mahu musang-musang lain untuk memotong ekor sama seperti dia. Walau bagaimana pun, rancangan musang tersebut gagal apabila semua musang lain enggan mengikut cadangannya.

“Chua Soi Lek boleh buktikan keberanian dan politik bermoralnya dengan mengulangi pembohongan MCA bahawa saya mempunyai hubungan sulit dengan bekas kakitangan dan isteri saya telah menyerang wanita tersebut semasa debat pada 8 Julai,” tegas Setiausaha Agung DAP itu.

“Saya tidak akan menjawabnya tetapi akan menyamannya di mahkamah atas tuduhan fitnah untuk membuktikan bahawa Lim Guan Eng bukan seperti Chua Soi Lek,“ ujar beliau.

Menurut Guan Eng, rata-rata rakyat Malaysia sudah tahu siapa sebenarnya dalang di sebalik pembohongan dan fitnah yang dilemparkan kepada keluarganya.

“Walau pun pelbagai cara yang cuba dilakukan, Presiden MCA ini masih gagal memberikan bukti untuk menunjukkan kebenaran tentang fitnah yang dilemparkan,” ujarnya.

Guan Eng juga menyatakan bahawa tindakkan yang cuba dilakukan oleh MCA adalah tidak bermoral, kurang ajar dan biadap.

“Mereka sanggup menyebarkan pembohongan yang boleh memusnahkan keluarga orang lain demi kepentingan politik,” ujarnya lagi.

Katanya, beliau tidak berhasrat untuk mengunakan debat pada hari Ahad ini untuk menyerang Chua, sebaliknya beliau akan memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah.- Roketkini.com