Berita

Isu Talam: Kerajaan selangor ambil alih Talam, bukan ‘selamatkan’ kroni

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Kerajaan negeri Selangor tidak “menyelamatkan” Talam Corporation Bhd seperti mana yang biasa dilakukan oleh pimpinan Barisan Nasional bagi menyelamatkan kroni mereka, sebaliknya ‘mengambil alih’ aset milik Talam untuk membolehkan syarikat itu membayar semua hutangnya.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, menjelaskan bahawa tuduhan MCA amat melesat kerana tidak faham perbezaan di antara belian aset dan mengambil alih aset.

“Mengapa perlu Kerajaan Selangor menyelematkan Talam sekiranya Talam sendiri berhutang RM392 juta dengan kerajaan negeri? Kerajaan negeri mengambil alih aset dari Talam dan bukannya memberi aset kepada mereka”.

“Saya ingin menyoal Datuk Chua Tee Yong, seorang timbalan menteri MCA, yang bukan sahaja akauntan terlatih tetapi bekas Ketua Pegawai Kewangan GLC, sila buktikan di manakah dakwaan salah guna wang rakyat dalam isu ini?” soal beliau.

Menurut Pua, apa yang kerajaan negeri lakukan ialah mengambil alih hutang Talam terhadap UNISEL melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM255 juta, kumpulan Hartanah Selangor Berhad sebanyak RM115 juta dan permodalan Negeri Selangor Berhad RM22 juta.

“Ini bererti, MBI akan mengutip hutang berjumlah RM392 juta secara terus dari Talam. Tidak ada usaha yang dibuat oleh anak syarikat kerajaan negeri ini untuk mengutip hutang-hutang tersebut.
“Jadi untuk memastikan hutang dikutip, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri berusaha untuk memastikan pembayar cukai Selangor tidak diperdaya,” jelasnya.

Talam telah membayar RM12.7 juta secara tunai dan menyelesaikan baki tertunggak melalu asset hartanah, kata Pua.

Katanya, setelah beberapa bulan melakukan rundingan, Talam telah bersetuju untuk membuat bayaran penuh sebanyak RM392 juta melalui bayaran tunai dan aset dalam dua bahagian.

“Bayaran bahagian pertama ialah pada 12 Mac 2010 dan kali kedua pula pada 9 April 2010.”
Penyelesaian Talam kepada MBI ini telah diumumkan di Bursa Malaysia manakala dokumen berkaitan boleh didapati di laman web Bursa.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling jaya Utara menjelaskan dalam sidang medianya di Ibu Pejabat DAP, sebahagian dari aset-aset ini masih mempunyai tunggakan pinjaman dengan pihak bank.
Sekiranya kerajaan negeri ingin mengambil alih aset ini maka kerajaan negeri perlu menyelesaikan tunggakan pinjaman ini.

“Dalam perkara ini, MBI telah mengambil lebih dari RM676 juta asset dari Talam yang mempunyai tunggakan pinjaman berjumlah RM266.2 dan RM30.5 juta fee untuk dibayar.

“Jadi, jumlah bersih yang terkumpul untuk MBI selepas pemotongan pinjaman dan fee ialah RM379.2 juta,” katanya.

Dengan menambah RM397.2 juta kepada RM12.7 juta, jelas Pua lagi, Talam akan menyelesaikan keseluruhan RM392 juta hutangnya. Ini bermaksud, MBI telah mengutip sebanyak RM392 juta tunai dan asset tambahan.

Katanya, Chua dan pimpinan MCA yang lain perlu berhenti dari memperbodohkan diri mereka sendiri dan parti.

Mereka juga perlu memohon maaf secara terbuka kerana telah mengelirukan orang awam akibat tidak cukup faham mengenai kewangan korporat, tambah beliau. – Roketkini.com