Berita

Mesti tonton: Teater Beng Hock bermula malam ini 6 Julai

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Persembahan teater percuma ‘Beng Hock’ dalam Bahasa Melayu yang bermula hari ini di ibu kota menampilkan pementasan mudah tetapi penuh bermakna melalui teknik ‘devised play’ di mana para pelakon bebas melakukan pengolahan skrip.

Pra-tonton teater ‘Beng Hock’ yang dipentaskan di KL Performing Arts Centre (KLPAC) bersebalahan Jalan Ipoh di sini semalam membuktikan kejayaan pementasan yang tidak memerlukan banyak prop dan efek khas.,

Bagi pengarahnya, Haririe Abdul Jalil; ‘Beng Hock’ ialah teater kedua arahannya.

Beliau yang sudah bergiat aktif dalam dunia teater sejak tahun 1998 berkata bahawa arahannya kali ini tidak ada banyak masalah kerana dibarisi pelakon-pelakon yang hebat.

“Pelakon hanya perlu tahu jalan cerita dan pelakon perlu jelas apa yang terkandung dalam Laporan Siasatan Diraja mengenai kematian misteri seorang pembantu wakil rakyat, dan selebihnya mereka boleh menggunakan skrip mereka sendiri,” jelasnya kepada Roketkini.

Penggiat teater, Aloy Paradoks yang turut terlibat dalam pementasan ini bukan lagi nama asing, setelah berlakon 10 pementasan sepanjang penglibatan beliau dalam seni teater.

“Sebenarnya saya memegang watak seorang pegawai yang bertanggung jawab untuk memberikan tekanan kepada watak utama semasa sesi soal siasat dijalankan,” katanya yang menampilkan realisme dalam perwatakannya.

Beliau menambah, wataknya juga berperanan untuk menimbulkan rasa benci dan marah penonton kepada pegawai penyiasat lantas membiarkan penonton untuk menilai sendiri sistem yang ada di Malaysia.

Watak tunggal wanita dalam pementasan kali ini menampilkan pelakon Siti Nurbaya yang berperanan sebagai narator. Baginya, ini merupakan teater pertama beliau selepas berehat selama lima tahun lalu.

“Saya sudah telibat dalam bidang seni teater sejak tahun 2000 dan setelah berehat sejak lima tahun yang lepas dan ini merupakan kemunculan pertama saya dan berlakon di bawah pengarahan suami sendiri,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, pementasan kali ini adalah ‘play’ dan dan tidak memerlukan komitmen yang besar kerana selain berlakon beliau juga bekerja sebagai Pegawai Pemasaran dan Publisiti di KLPAC

“Penonton di luar sana atau mereka yang datang menyaksikan teater ini dapat pulang dengan kesedaran bahawa apa yang berlaku kepada mendiang Beng Hock bukan isu kaum mahupun bangsa tetapi ia soal kemanusian,” tambah beliau.

Nurbaya berkata, teater adalah medium yang terbaik untuk menyampaikan maklumat yang jelas selain media cetak, radio dan  televisyen apabila di tanya harapan beliau kepada mereka yang datang menyaksikan pementasan ini.

Pementasan percuma teater Beng Hock mulai hari ini 6 Julai  hingga 8 Julai bermula jam 8:30 malam dan mengambil masa selama 45 minit di KLPAC. Satu pementasan tambahan juga diadakan pada hari terakhir 8 Julai pada jam 3 petang.

Sila emel ke [email protected] untuk pas masuk.

Pementasan di Pulau Pinang pula akan diadakan di PenangPAC pada 13 dan 14 Julai dengan dikenakan bayaran masuk RM15. – Roketkini.com