Budaya

BENG HOCK – Oleh Izmil Amri

Ulasan Teater

Berhantu. Mudahnya begitu. Teater Beng Hock berhantu. Kau akan rasa gelisah. Aku tahu, sebab aku juga rasa gelisah. Seolah-olah kau yang sedang disoal siasat, atau disoal siat-siat.

Tapi betul. Waktu aku duduk di kaunter pentas Indicine KLPAC, Faisal Mustafa, sang penerbit teater tersebut, bagi tahu aku bahawa ada hantu dalam panggung. Dia siap tunjukkan gambar.

Jelas benar ada hantu. Atau sekurang-kurangnya sesuatu yang nampak seakan hantu. Seakan bayang-bayang, pucat, dengan rambut sikat tepi, di kejauhan yang gelap. Di kawasan kerusi tak berpenghuni.

Barangkali memang benar roh Beng Hock akan terus menghantui kita semua. Tambah-tambah kalau menonton teater Beng Hock lakonan anak-anak muda dari Rumah Anak Teater. Ini teater berhantu. Aku tak tipu.

Pementasan mengambil tempat di lantai; sekadar satu kaki jauhnya dari penonton yang duduk bersila di keliling. Ada semacam tikar yang ditampal ke lantai, indikator kewujudan sebuah bilik sempit, dan ditengahnya ada bangku warna putih. Di situlah semuanya berlangsung. Di bangku putih itu.

Bos

Di luar ‘bilik’ ada kerusi tinggi. Tempat Amirul Effendi duduk sambil bermain ‘Angry Bird’ dan memerhati soal siasat anak-anak buahnya. Babak ketika dia masuk ke ‘bilik’ setelah satu jangka masa yang agak panjang sambil berkata bahawa dia sudah ‘naik level baru’ dan ‘burung ni dah pecah tiga’ memang menggelikan hati. Kita mungkin kenal wajah Amirul Effendi daripada filem Bunohan, yang pernah saya tuliskan reviunya juga dulu.

Amirul Effendi digambarkan sebagai bos kepada tiga interogator yang menyoal siasat anak muda yang digambarkan sebagai Beng Hock, meski anak muda itu tidak pun berkata apa-apa, kecuali menjawab soalan-soalan dengan gerakan-gerakan kecil. Kelakar bos pencegah rasuah ini, yang berbahasa loghat utara, seringkali datang bertanya khabar dan bertanya tentang makan minum orang yang disiat-siat.. eh salah, disiasat itu.

Saya tidak menjangka bahawa watak yang demikian kelakar dan bersahaja akan berubah ganas sekelip mata pada akhir kisah ini.

Interogator

Sebut pasal ‘tidak menjangka’ ada dua tiga kali juga saya terkejut apabila si mangsa diherdik, ditengking dan dilempang-lempang. Watak ini dengan jayanya dibawakan oleh Aloy Paradoks (nama sebenar tidak diketahui, ini hanya nama glamer).

Aloy memerankan watak interogator yang disuruh supaya ‘garang sikit’. Tetapi garang Aloy melebih-lebih. Lagipula dialognya improv, ertinya tiada skrip khusus untuk dihafal, malah boleh ditokok tambah dialognya itu sesuka hati. Jadi demi menjadikan watak interogator itu watak yang dibenci umum, maka Aloy mencarut sesuka hati juga.

Ini berkesan. Duduk sekadar sedepa daripada pelakon, saya boleh sahaja bangun dan lempang Aloy, Tapi saya tidak buat. Yang lagi dua itu tidak sangat menjengkelkan wataknya. Salah seorangnya bertutur loghat utara dengan baik, jadi saya tidak rasa benci pada dia. Saya lembut hati dengan orang utara.

Sistem

Pementasan ‘Beng Hock’ buat kita menilai apa sebenarnya sistem yang ada di dalam negara tercinta ini. Ia meruntun jiwa dan akal fikir kita untuk melihat semula apa nilai yang kita ada apabila saksi disiasat seolah-olah dia itu seorang tertuduh. Disuruh lari laju-laju dalam bilik tahanan, disuruh tiup lampu sampai padam, disuruh berdiri dengan sebelah kaki. Disuruh buka baju dalam bilik sejuk. Ditepuk tampar, ditarik rambut. Dicekik, diheret ke tingkap diacah mahu dilempar ke bawah dan akhirnya mati.

Ya pada akhir teater ini kita akan membenci badan kerajaan yang tidak profesional dalam membuat soal selidik dan siasatan. Penonton akan rasa mahu mencarut. Saya tahu. Saya mencarut berkali-kali di dalam hati.

Mesej

Dan itu tandanya ‘Beng Hock’ berjaya menyampaikan mesej sesuai dengan nawaitu teater itu sendiri, iaitu barangkali untuk mengungkap kekejaman sistem terhadap manusia. Kerja ungkap mengungkap ini bukan senang, bahkan sulit untuk dilakukan. Kejayaan Rumah Anak Teater untuk mengungkap rahsia di sebalik bilik soal siat-siat pencegahan rasuah sehingga mengakibatkan kematian seorang anak muda wajar dijadikan modal untuk rakyat berfikir dan menilai.

Kematian Beng Hock adalah titik hitam dalam koleksi titik hitam yang menjadi zulmat pada jiwa sebuah negara bernama Malaysia. Sebuah negara yang ditadbir oleh pemerintah yang merasakan kuasa mereka itu melampaui hak manusia untuk hidup dan mandiri. Seolah-olah mereka itu bagus. Seolah-olah dunia ini bapa mereka yang empunya. Amboi senangnya hati mereka ini.

Mereka inilah musuh rakyat Malaysia. Kerja rakyat sekarang ialah untuk mencapai berus dan sabun lantas menggonyoh buang zulmat nista angkara mereka ini. Bersihkan sebersih-bersihnya.

Petanda

Kematian tragis Beng Hock seharusnya jadi petanda besar buat kita semua untuk memeriksa keadaan dan bertindak melawan. Itu yang diniatkan oleh penonton sebaik melangkah keluar dari panggung selepas teater 45 minit itu. Sambil-sambil bergambar di luar, itu masih tetap menjadi nawaitu ramai.

Saya dengar cerita bahawa saudara Lim Kit Siang menitiskan air matanya dalam gelap. Saya dapat dengar esak tangis keluarga Beng Hock ketika melihat babak pembantaian sang mangsa sehingga jatuh terdiam tak bersuara.

Namun saya tidak berjaya ketemu bayang-bayang Beng Hock seperti yang didakwa Faisal Mustafa. Orang teater ini semua memang kuat drama.

Tetapi hakikatnya tetap jelas nyata. Beng Hock akan tetap menghantui kita semua, selagi kita biarkan dia terkorban sia-sia. – Roketkini.com

Kepada mereka yang belum sempat menonton teater Beng Hock, empat lagi pementasan akan diadakan selama dua hari di PenangPAC, Pulau Pinang pada 13 dan 14 Julai ini. Pementasan akan diadakan pada 3 petang dan 8.30 malam pada kedua-dua hari tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.facebook.com/pages/Rumah-Anak-Teater/129707770388491