Berita

DAP tanding 90 kerusi Parlimen? MasyaAllah, Utusan fitnah lagi

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: DAP menempelak dan menafikan sekeras-sekerasnya dakwaan berniat jahat lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, yang melaporkan di muka depan akhbar itu bahawa DAP bakal bertanding 90 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

Daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, DAP telah bertanding 47 kerusi Parlimen, PKR 97 dan PAS 66 dalam PRU 2008. Ini bererti DAP hanya bertanding 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Utusan telah membuktikan ia adalah surat khabar pembohong dan tidak jujur dalam bidang  kewartawanan sehingga sanggup merapu untuk menegakkan benang basah kononnya DAP mahu bertanding 90 kerusi Parlimen, mahu mendominasi Pakatan Rakyat dan menjadi Perdana Menteri.

Katanya, terbukti ia adalah propaganda amat terdesak daripada Datuk Seri Najib Razak dan UMNO-BN menggunakan media arus perdana untuk menakut-nakutkan orang Melayu, walau pun menyedari berita sedemikian tidak masuk akal sama sekali.

Menurutnya, Utusan dan UMNO-BN menganggap orang Melayu kurang cerdik kerana boleh ditakutkan sedemikian, sedangkan fitnah itu merupakan sebuah kempen jahat, anti-nasional dan tidak bertanggungjawab.

“Ia propaganda jahat oleh propagandis UMNO semata-mata untuk menyemarakkan lagi kecurigaan  antara kaum bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya UMNO tewas dan barisan Nasional digantikan dengan Pakatan Rakyat pada pilihan raya ke 13 nanti.

“Saya telah menjelaskan bahawa realiti yang sebenarnya menunjukkan bahawa pengundi Cina tidak akan menjadi penentu berdasarkan aritmetik pilihan raya,” ujar beliau.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur menjelaskan bahawa adalah menjadi fakta  bahawa cuma terdapat 34 kerusi dari 222 kerusi parlimen yang menempatkan majoriti pengundi Cina.

Tambah beliau, sekiranya Pakatan Rakyat memenangi semua kerusi pengundi Cina, ia cuma sekadar mewakili 15 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

Beliau juga menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas kerana penentuan kerusi antara parti-parti Pakatan Rakyat walau pun hampir selesai, masih diteruskan perbincangan.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama maupun daerah sedang berhadapan dengan ujian besar dalam sejarah negara yang melihat samada mereka  dapat membezakan pembohongan dan kepalsuan sebagai fakta seperti dipaparkan pada “akhbar pembohong” seperti Utusan Malaysia,” ujar beliau. – Roketkini.com