Rencana

Khilaf, fitnah dan politik benci UMNO-BN – Bahagian kedua dan terakhir – Oleh Hafiz Zainuddin

Para panelis Wacana “Adakah Dasar DAP Mengancam Islam?” di Shah Alam baru-baru ini, diasak dengan persoalan paling popular, walau pun jarang atau berani ditanya hadirin dalam mana-mana majlis UMNO atau Barisan Nasional, iaitu mengenai hudud, biar pun telah berkali-kali baik PAS mau pun DAP telah menyatakan pendirian mereka.

Hudud

Menjawab kepada persoalan pelaksanaan hudud dalam konteks perundangan Malaysia, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pendirian DAP jelas berpegang pada Perlembagaan Persekutuan di mana tidak ada peruntukan bagi pelaksanaan hukum hudud.

Perlembagaan Persekutuan meletakkan hal-ehwal agama kepada kuasa negeri di mana Raja-raja menjadi pemegang kuasa dalam perkara berkaitan dengan Islam. Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa menjatuhkan hukuman mati kepada mahkamah di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan.

Bagi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Maszlee Malik pula, beliau mengakui bahawa di dalam jiwa majoriti umat Islam memang mahu hudud dilaksanakan.

Tetapi menurut beliau terdapat banyak lagi isu-isu lain yang lebih utama, yakni tuntutan-tuntutan Islam, tuntutan-tuntutan syarak seperti menegakkan keadilan, menentang kezaliman, menentang rasuah, integriti, amanah belum dilaksanakan lagi yang sebenarnya boleh disepakati oleh DAP dan dengan masyarakat bukan Islam yang lain.

“Umat Islam tidak menghadapi masalah dengan bukan Islam untuk memperjuangkan common ground atau perjuangkan nilai-nilai universal.

“Sebagai contoh paling mudah kita boleh ambil ialah sejarah umat Islam di Andalusia di Sepanyol hari ini yang dulunya pemerintah Islam mengamalkan konsep la convivencia, iaitu kehidupan bersama, saling faham memahami dan saling hormat menghormati atas nilai-nilai universal.

Pandangan bukan-Islam terhadap Islam

Merungkai kepada beberapa persoalan yang menyimpul, Guan Eng menyentuh sedikit mengenai pandangan masyarakat bukan-Islam terhadap Islam.

“Pada suatu ketika, orang bukan-Islam melihat gambaran Islam melalui pemimpin UMNO. Ini bukanlah satu model yang baik. Sama juga bagi orang Melayu Islam. Kalau mereka melihat pemimpin bukan-Islam, mereka akan lihat pemimpin MCA macam Chua Soi lek,” ujar beliau disambut tepukan hadirin.

Beliau juga membawa contoh apabila timbul isu judi bola. “Yang nak perkenalkan bukan DAP tetapi (Timbalan Menteri Kewangan) Awang Adek Husin, seorang Melayu Islam. Bila cadangan itu dikemukakan, Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan bahawa kita tak akan biarkan judi bola masuk ke negeri ini. Perkara ini betul-betul mengejutkan UMNO.”

“Kerana sebelum ini mereka cakap ‘kita kena benarkan judi bola kerana ia budaya orang Cina’, ‘kerana kita hormat budaya orang Cina’, itu sebab kita mesti perkenalkan judi bola.’ Selepas tu bila saya kata bahawa kita tak benarkan judi bola, apa dia nak cakap lagi?

“Takkan dia nak bagi tau orang kampung ini bukan Cina baik, ini Lim Guan Eng bukan Cina tulen sebab dia tak sokong budaya dia (judi). Takkan dia nak cakap macam tu, orang kampung bukan bodoh. Takkan dia nak cakap tengok itu muka Chua Soi Lek baru Cina tulen.”

Salah faham Melayu terhadap Islam

Menjadi orang Melayu yang Islam tidak semestinya memahami Islam yang sebenar, kata Dr. Maszlee yang berpandangan bahawa salah faham terhadap Islam timbul di kalangan masyarkat Melayu Islam itu sendiri.

“Kalau kita perhatikan di dalam pemahaman masyarakat Melyu Islam  secara umum, mereka telah  sinonimkan Islam dengan Melayu.

“Jadi, apa juga yang ‘bukan-Melayu’ mereka anggap sebagai ancaman. Kalau kita lihat kadang-kadang di kalangan Muslim yang bukan-Melayu pun, ada kenyataan mengatakan ‘ini mualaf’, Islam dia tak cukup, akhirnya terpaksa dia menjadi seperti Melayu juga. Ini semua salah faham, bukan sepatutnya,” jelas beliau.

Dalam perkara berkaitan, beliau menyatakan bahawa salah faham timbul bukan sekadar mereka yang kurang arif tentang agama, malah wujud sesama Muslim sendiri yang mungkin memahami Islam dengan cara yang berbeza.

“Mungkin ada yang bermazhab lain, lihatlah apa yang berlaku kepada mantan Mufti Perlis (Dr Mohd Asri Zainul Abidin). Adakah kerana beliau menyampaikan Islam bukan seperti mana yang dikehendaki oleh pihak berkuasa agama negeri, maka dia dilabel dengan pelbagai label?

“Apatah lagi bila mereka melihat ada di kalangan orang Islam cuba membawa satu yang lain daripada apa yang pihak berkuasa kehendakkan. Yang ganjilnya, sekiranya yang melakukan tindakan itu adalah dari UMNO, tidak ada tindakan diambil walau pun yang dilakukan itu bertentangan dengan Islam.

“Dia nampak kalau pergi umrah saja atau ada gambar dia sembahyang maka itu seolah-olah sudah Islam tanpa melihat dari sudut keadilan, tanpa lihat dari unsur kebersihan, tanpa melihat kepada unsur yang menjaga pihak yang lemah termasuk pihak yang kurang upaya, termasuk juga pihak yang minoriti, termasuk juga wanita dan kanak-kanak dan juga haiwan.”

Islam dari kaca mata yang sempit

Daripada sikap salah faham dan enggan berhati terbuka, sudah tentu timbul rasa tidak senang, malah kebencian. Ia berpunca dari persepsi, dan persepsi seringkali bersalahan dengan fakta dan kebenaran.
“Bila kita tahu fakta, sebenarnya tidak akan timbul persepsi yang salah,” kata Dr Maszlee.

Beliau membawa contoh bila mana Presiden Mesir yang baru, Dr Mohammad Morsi ditanyakan wartawan CNN apakah pandangan beliau terhadap slogan ‘Islam sebagai jalan penyelesaian’ yang dilaungkan Ikhwanul Muslimin.

Katanya, Morsi menjawab bahwa penyelesaian yang Islam bawakan ialah dengan memastikan Mesir tidak lagi diperintah oleh diktator lagi, tidak akan berlaku kezaliman, tidak akan berlaku tahanan tanpa bicara dan Mesir akan menjadi lebih demokratik, bersih, tidak dikuasai oleh pihak polis dan tentera, serta Mesir yang akan memberikan hak kepada rakyat untuk bersuara.

Jawapan Morsi mengejutkan wartawan CNN hingga bertanya: “Itukah Islam?”.

“Inilah yang berlaku apabila orang memahami Islam dengan kacamata yang salah,” kata Dr Maszlee, menambah bahawa keadaan ini turut berlaku di Malaysia apabila Islam difahami dengan Melayunya sahaja, Islam disangkakan hanya dengan namanya sahaja atau pun lebih teruk lagi Islam hanya digambarkan melalui sikap dan perangai penganutnya sahaja.

Dasar DAP tidak mengancam Islam
Menurutnya, pemahaman yang salah itu tanpa melihat ruang yang luas di dalam Islam di mana Islam mementingkan keadilan, menentang kezaliman, menitik beratkan tentang kebersihan, Islam juga mengenai kejujuran, amanah, kedaulatan undang-undang, haramnya menzalimi orang lain, haramnya menahan dan menyiksa orang tanpa bicara dan Islam juga memperjuangkan hak-hak minoriti dari dicabuli pihak pemerintah.

“Kalau kita lihat kepada dasar-dasar DAP, tidaklah kita kata DAP selari dengan Islam tetapi tidak ada perkara dasar dalam DAP yang mengacau Islam. Mungkin ada yang berbeza cara pandang terhadap agama, terhadap kepercayaan, tetapi itu tidak menjadikan DAP mengancam Islam.

“Kesimpulan yang boleh kita buat ialah apa yang diperjuangkan oleh DAP seperti keadilan, kesaksamaan, menentang kezaliman bersih dan sebagainya itu, tidak mengancam Islam,” tambah beliau. – Roketkini.com