Berita

Pastikan pemansuhan Akta Hasutan bukan sekadar sandiwara

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Kerajaan perlu memastikan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang akan digantikan dengan oleh Akta Keharmonian Nasional  bukan semata-mata satu sandiwara politik untuk menutup kezaliman pemerintah.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan untuk memastikan bahawa Akta Keharmonian Nasional tidak menjadi seperti Akta Perhimpunan Aman yang dilihat seolah-olah satu penipuan kerana lebih menyekat kebebasan rakyat berhimpun secara aman.

“Akta Perhimpunan Aman yang diperkenalkan tahun lepas meletakkan lebih banyak syarat sewenang-wenangnya dan ia makin menyukarkan rakyat untuk berhimpun, malah ia telah mengharamkan demonstrasi jalanan.

“Lebih teruk lagi akta tersebut telah dikenakan secara berpilih-pilih untuk mendakwa pemimpin oposisi termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka awal tahun ini,” katanya.

Menyifatkan Akta Hasutan yang akan digantikan dengan akta baru sebagai sebagai undang-undang drakonian, ketinggalan zaman dan alat politik, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberi contoh bagaimana akta tersebut telah digunakan terhadapnya, menyebabkan beliau dipenjara 18 bulan pada tahun 1998 semata-mata mempertahan dan membela seorang gadis Melayu bawah umur yang dirogol seorang kenamaan.

“Jelas di sini, sepertimana ISA, Akta Hasutan telah digunakan dengan lama sebagai alat politik terhadap pihak oposisi termasuk diri saya sendiri, ahli-ahli Parlimen yang lain, wartawan malah pemimpin-pemimpin NGO,” tambah beliau.

Guan Eng turut merujuk kepada pengakuan Datuk Seri Najib Razak sendiri bahawa ISA telah digunakan sebagai alat politik pada masa lalu untuk “alasan salah laku”.

Beliau meminta Perdana Menteri agar membebaskan semua pertuduhan terhadap Karpal Singh dan membuat permohonan maaf secara rasmi terhadap semua mereka yang telah disabitkan sebelum ini di bawah Akta Hasutan serta ISA.

“Datuk Seri Najib perlu membuktikan kejujuran dan komitmen beliau untuk melakukan perubahan bukan sahaja engan menggugurkan semua kesalahan terhadap Karpal Singh malah kepada semua pemimpin-pemimpin yang lain yang pernah disabitkan,” ujarnya. – Roketkini.com