Wawancara

Prof Tajuddin Rasdi: Universiti gila ranking, mahasiswa takut bersuara – Bahagian Pertama

Kita masih kekurangan insan yang melihat dunia dengan kaca mata yang menyeluruh, yang mengakibatkan krisis kerohanian melanda kita. Juga tidak lain kerana kongkongan dan penyimpangan objektif pendidikan. Seolah-olah pelajar kita cuma produk untuk memenuhi permintaan pasaran. Wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin berpeluang menemu bual tokoh akademik berpengalaman Profesor Dr. Mohamad Tajuddin Rasdi, pensyarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) Universiti Teknologi Malaysia yang banyak menghasilkan buku serta kajian. Gambar oleh Wira Andika.

Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang akademik, apa pandangan Prof mengenai pencapaian universiti kita?

Kalau nak disimpulkan pandangan saya terhadap objektif universiti, kita kena tengok objektif universiti dululah sebelum kita tengok apa yang dikatakan pencapaian. Yang saya faham, ada dua; pertama untuk menghasilkan seorang manusia, bagi saya manusia yang bermanfaat (wholesome). Manusia yang wholesome ini adalah manusia yang kritikal pemikirannya, boleh mencari ilmu sendiri dan juga boleh membuat keputusan, mungkin mempunyai daya inovasi keusahawanan dan sebagainya dalam apa-apa hal. Manusia yang ini bagi saya penting dalam pembangunan negara dan oleh kerana kita sekarang dalam komuniti global, kita juga harus prihatin dan menyumbang kepada pembangunan dunia secara keseluruhan.

Yang kedua objektifnya ialah untuk menghasilkan tenaga pekerja. Kalau pelajar itu mengambil ijazah seni bina, kononnya kita jangka dia akan jadi arkitek. Kalau buat ijazah kejuruteraan, kita jangka dia akan jadi jurutera. Kan? Tapi sebenarnya pada pandangan saya kita terlalu menekankan perkara seperti kerjaya ini sehingga kita menghilangkan bahagian bermanfaat manusia itu.

Kalau kita tengok perkembangan di Amerika Syarikat berbeza, contohnya mereka ada all university requirement subject yang kadang-kadang meliputi 30 peratus dari keseluruhan ijazah. Tetapi di Malaysia kadang-kadang 10 peratus macam tu sahaja. Ini menunjukkan kita masih menekan kepada kerjaya.

Jadi untuk menjawab soalan itu, kita kena tengok konteks apa tujuan. Jadi bila kita tengok apakah pencapaian, bagi saya kalau untuk mencapai orang yang berkerjaya memang baguslah, baik dan hebat. Tetapi pencapaian manusia yang ‘wholesome’ ini, atau awak boleh kata sebagai insan ini yang boleh ditakrif kepada manusia yang bukan sahaja biologika tetapi dia adalah bukan prihatin kepada pembangunan dia tapi pembangunan di sekelilingnya iaitu melibatkan persekitaran, manusia lain termasuklah haiwan dan sebagainya yang mana memahami bahawa kesemua ini saling berkait dan bekerjasama, harus dijaga supaya ada keseimbangan dalam dunia.

Kalau kita cipta seorang arkitek dan dia cuma nak kaya dan hidup senang seorang sahaja, saya rasa porak perandalah dunia ni. Jadi pencapaian universiti; katakanlah UTM, saya lihat graduan kami tak ada yang tak ada kerja, rasanya 100 peratus dapat kerja. Bukanlah nak berkempen. Tetapi yang sebaliknya pula sudut keinsanan ini saya tidak nampak sangat.

Jadi ikutlah. Ada yang rasa berbangga menghasilkan 100 peratus bekerja sepenuhnya (fully employed graduates) tapi macam saya sendiri kalau orang tanya adakah saya akan hantar anak saya ke UTM bila tahu mereka akan mendapat kerja, saya akan kata tidak. Sebab saya tidak melihat kepada mempunyai kerja semata-mata.

Ukuran kedudukan bagi universiti, bagaimana untuk mencapaii matlamat?

Pertama sekali saya tidak akan menggunakan apa yang disebut sebagai kedudukan (ranking) yang difahami sekarang sebab saya rasa ini tidak tepat. Sekali lagi saya ingin merujuk kepada idea apakah universiti awam dan kita juga ada universiti swasta.

Universiti awam (IPTA) disubsidi kerajaan. Bila ia disubsidi oleh kerajaan maka oleh yang demikian ia bukanlah sesuatu yang seimbang sekiranya melibatkan wang yang banyak tetapi kurang penglibatan terhadap masyarakat. Jika kita lihat, kalau 70 hingga 80 peratus universiti disubsidi oleh kerajaan, saya jangkakan sumbangannya akan lebih kepada masyarakat. Tetapi disini, saya agak terkejut bila yang dihebohkan  universiti kita tidak di senaraikan sebagai taraf dunia kerana bagi saya jika kita (universiti-universiti) memberi sumbangan kepada masyarakat, (itu tidak mengapa).

Jika saya, saya ingin melahirkan pelajar yang pertama sekali memberi sumbangan terus kepada masyarakat. Oleh itu,  ukurlah pensyarah dan para pelajar dari sudut sumbangan mereka kepada masyarakat. Contohnya pensyarah. Di mana tulisan mereka yang keluar di dalam akhbar negara ini? Berapa buah buku ditulis untuk mendidik masyarakat? Perkara inilah yang harus kita buat. Universiti-universiti di luar terutamanya di barat telah melakukan ini dan kemudian ia ke peringkat antarabangsa.

Kita telah buat sebelum selesai persiapan, kita fikir kita telah selesaikan perkara pokok dan menyangka kita ingin terus ke peringkat antarabangsa. Saya tidak kata yang kita tidak mampu untuk bersaing, tetapi persoalannya kenapa kita bersaing?

Adakah (universiti) kita gagal sebenarnya?

Apa yang saya fikirkan ialah kenapa kita terlalu ingin meletakkan kedudukan kita agar dapat menarik lebih ramai orang luar ke universiti awam kita sedangkan ia pasti memberi kesan kepada graduan tempatan kita.

Adalah sesuatu yang agak ganjil apabila sekarang mereka bercakap untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa. Sudah tentu kita akan kata misalnya UTM atau universiti lain akan mewujudkan kolej-kolej subsidiari dan akan menapis kemasukan, tetapi bagaimana dengan ‘the best brain’  (pelajar-pelajar bijak, cerdik, berkualiti) apakah mereka akan berkhidmat untuk msyarakat atau ke peringkat komuniti antarabangsa?

Jadi persoalan untuk memberi keadilan, bagi saya adalah sukar untuk dijawab dalam objektif universiti kini. Pepatah Melayu ada berkata kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Kita seolah-olah ingin mencapai sesuatu tetapi sebenarnya masih belum pun tercapai.

Kita ingin bersaing dengan barat dalam banyak perkara, tetapi buat masa ini tidak boleh! Bagi pendapat saya kita harus hasilkan buku, memberi inspirasi kepada masyarakat, memberi inspirasi kepada kanak-kanak dan memberi inspirasi kepada generasi kita ada tiga generasi selepas ini barulah kita boleh bersaing.

Apa masalah universiti kita, salah pimpinan?

Kemungkinan ada pucuk pimpinan yang tidak faham mengenai apa yang dimaksudkan dengan menghasilkan masyarakat bertamadun. Dia tak faham yang itu. Yang difaham “oh kita kena jadi yang terbaik (the best)”, ada perkataan yang paling saya tidak gemar sekali bila digunakan slogan “universiti bertaraf dunia-world class university” di UTM pada 10 tahun lalu. (Masa itu) saya katakan, kita dalam masalah.

Kenapa Prof merasakan kita dalam masalah? Bukankah bagus kalau universiti kita bertaraf dunia?

Sebab kita kata kita nak letakkan kedudukan kita bertaraf dunia, kita perlu lihat dan ukur contohnya dengan Universiti Harvard. Di Harvard, mereka benarkan kebebasan bersuara di kalangan pelajar dan pensyarah mereka. Adakah universiti negara ini benarkan pensyarah kita untuk bebas bersuara, bercakap menyatakan pandangan secara terbuka untuk semua isu yang timbul?

Maksudnya kebebasan bersuara itu lebih penting dari kurikulum?

Jikalau kita hendak satu masyarakat yang dikatakan kreatif, pada pandangan saya kita kena bebaskan. Beri kebebasan. Kreativiti tidak boleh terhasil dengan larangan, itu tak boleh buat, ini tak boleh buat.

Saya ibaratkan senang sajalah, tak payah nak ada ijazah kreativiti dan sebagainya. Kalau kita mahu galakkan anak kita di rumah membaca, tiap kali dia koyak buku kita marah. Sebab itu terutamanya di negara barat, dia ada buku muka surat tebal dan banyak dikeluarkan. Buku pun murah, perpustakaan pun banyak, bagi yang tak mampu beli dia boleh ke perpustakaan. Kalau kita biarkan (anak kita, pelajar) untuk dia lakukan apa saja dia akan jadi kreatif!

Serupa juga di dalam kelas yang saya mengajar. Dalam kelas saya mengenai falsafah seni bina, teori seni bina, tidak ada soalan walau pun saya bagi kritikan terhadap bangunan-bangunan di Putrajaya, kritikan terhadap senibina masjid secara terbuka, dan saya sebut mengenai seni bina demokrasi, tetapi tidak ada soalan pun ditanya dan saya tahu pelajar-pelajar bukan Melayu cukup berminat tentang isu ini. Ternyata dalam tugasan mereka saya dapat baca tetapi dalam kelas mereka tidak berani bersuara.

Pada pendapat Prof apakah yang menyebabkan pelajar tidak berani bersuara?

Saya pernah tanya mereka secara peribadi. Berdasarkan apa yang mereka katakan, mereka takut teman-teman mereka di kalangan orang Melayu. Mungkin takut kena ‘cop’ oleh universiti sebagai radikal dan sebagainya? Mungkin takut kena pukul? Budaya gangsterisme.

Sudah 25 tahun saya mengajar. Saya hairan. Anggapan saya, kaedah pengajaran saya yang tidak baik tetapi bila tengok keputusan peperiksaan, 30 peratus dapat A. Buku-buku saya dibaca dan bila kita semak dalam tugasan mengenai ‘Apakah pandangan mereka mengenai senibina Putrajaya’ dan pendapat mereka tersusun, mereka ungkapkan secara ikhlas mengenai rasisme dan sebagainya. Tapi untuk bercakap dalam kelas mereka tidak berani.

Adakah budaya takut tersebut budaya di universiti tempatan kita?

Kalau kita pergi lihat di universiti tempatan, budaya takut ini kita tidak nampak. Tetapi saya rasa perkara tersebut wujud berdasarkan apa yang berlaku. Tercuit di hati saya, saya hairan tiada siapa-siapa pun pelajar saya yang mahu keluarkan, kemukakan isu-isu kontroversi walau pun dalam kelas saya, rasanya ia satu-satunya kelas kontroversi. Saya beritahu kepada pelajar saya, anda masuk kelas saya anda bebas untuk cakap apa pun. Walau pun saya Melayu, walau pun saya Islam, saya boleh terima kritikan terhadap kelemahan Melayu dan kelemahan di kalangan orang Islam di mana memang banyak berlaku.  Begitu juga dengan seni bina yang saya rasa tidak patut kerana seni bina nasional di‘Melayu’kan.

Kenapa tak setuju seni bina nasional di‘Melayu’kan?

Kalau kita lihat dari sudut konsep demokrasi. Dalam syarahan saya, demokrasi ini digambarkan oleh masyarakat, rakyat. Jadi kita kena mempunyai keseimbangan wakil (balance of representation). Dalam Parlimen kita ada orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan dan sebagainya. Jadi kenapa dalam seni bina dia ada seni bina Melayu sahaja?

Dalam syarahan saya saya kata kamu kena buat dua perkara, sama ada buat seni bina campuran atau dipanggil eclectic architecture atau kamu jangan langsung ambil yang ini, saya kata non-ethnic centered architecture contohnya bangunan Parlimen. Bangunan Parlimen tidak ada ciri Melayu, tidak ada Cina, tidak ada India. Dia tidak ada kecenderungan kepada mana-mana seni bina etnik. Kita juga boleh tengok Bangunan Jubilee Intan Johor Baru iaitu bangunan pertama yang mempunyi seni bina campuran nasional. – Roketkini.com

Bahagian kedua: Apa berlaku bila para pensyarah cuba ditutup mulut?