Wawancara

Kenali Ng Suee Lim

Ng Suee Lim, ADUN Sekinchan yang mewakili DAP banyak membantu rakyat di Selangor, selain mendedahkan kepincangan UMNO-Barisan Nasional. Kerana itu beliau sering menjadi mangsa fitnah pemimpin dan pecacai UMNO-BN. Wartawan Roketkini Mazir Ibrahim dan Izmil Amri telah menemu bual Ng yang fasih berbahasa Melayu dan Jawa untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi perjuangan wakil rakyat ini. Gambar-gambar oleh Wira Andika.

Boleh saudara perkenalkan diri?

Nama saya Ng Suee Lim, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Sekinchan, Selangor. Saya juga adalah Timbalan Setiausaha DAP Selangor.

Terangkan sedikit sejarah secara ringkas bagaimana peringkat awal saudara terlibat dengan DAP dan seterusnya bertanding untuk menjadi wakil DAP di Selangor.

Saya mula meminati perjuangan DAP sejak di bangku sekolah ketika darjah 6 pada tahun 1980-an, saya banyak mengikuti (membaca) kenyataan YB Lim Kit Siang dan saya tertarik dengan kenyataan beliau yang menentang kezaliman dan hasrat beliau yang melahirkan Malaysia yang adil dan saksama.

Pada asalnya pada setiap tahun, sekali atau pun dua kali, saya mengikuti pak cik saya, dia penyokong dan peminat DAP tapi dia ada sedikit kekurangan kerana tidak faham bahasa Mandarin dan Bahasa Malaysia kerana taraf pendidikan beliau. Minat timbul apabila setiap tahun ada ceramah dan jamuan DAP. Dan dia akan beli dua tiket (untuk ceramah makan malam), satu untuk dia dan satu untuk saya kerana dia tahu saya juga berminat. Ini berlaku sekitar tahun 1981/1982. Kemudian dia minta saya buat terjemahan setiap ucapan pada waktu itu. Ketika itulah, bermulanya minat saya dengan DAP.

Pada zaman sekolah menengah, saya adalah seorang yang lantang untuk perkara-perkara yang saya rasakan tidak benar dan ketika itu saya sudah dilabelkan oleh cikgu sejarah sebagai pembangkang kerana sering berdebat dengan cikgu terutamanya berkaitan bab-bab sejarah dan lain-lain subjek.

Sewaktu pilihan raya tahun 1986 dan 1990, saya banyak membantu parti dengan menggantung banner dan bendera, termasuk juga kerja-kerja yang lain, walau pun ketika itu saya masih di bangku sekolah tetapi ianya hanya sampai di situ sahaja.

Pada 1998 berlakunya insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat secara zalim oleh Tun Mahathir, dari peristiwa itulah maka saya terpanggil dan turun bersama ke semua demo-demo yang diadakan. Pada ketika itu saya juga saya adalah ketua cawangan DAP Kapar sejak tahun 1995. Pada pilihan raya 1999 saya sudah aktif mengikuti Ronnie Liew (sekarang Exco Kerajaan Negeri Selangor) dan Teng Chang Khim (sekarang Speaker DUN Selangor). Mereka mencalonkan saya untuk bertanding di sana hanya untuk mengisi kekosongan. Pencalonan saya itu belum tentu menang pun kerana semua calon-calon veteran yang pernah bertanding di Sekinchan tidak mahu bertanding lagi dan mereka menghantar surat kepada pucuk pimpinan agar menghantar sesiapa sahaja calon walau pun daripada luar Sekinchan untuk bertanding di kubu kuat UMNO dan MCA.

Ketika itu saya tinggal tidak berjauhan daripada Sekinchan, maka saya telah menerima cabaran itu. Bagi saya kalah menang itu cabaran. Tiga hari sebelum penamaan calon, saya baru dipanggil. Masa itu Sekinchan hanya ada satu cawangan dan ahli-ahlinya semua sudah mencecah usia 50 tahun, tidak ada orang muda. Mereka juga tidak yakin bila melihat saya yang terlalu muda ketika itu baru berusia 20-an.

Akhirnya mereke pergi ke Kuala Lumpur bertemu dengan Ronnie Liew yang ketika itu masih belum menjadi YB dan Teng Chang Khim untuk bagi tahu yang mereka tak nak calon ini (saya), kerana mereka tak kenal dan saya tak ‘famous’, mereka mahukan calon yang lain. Ketika itu berlaku perbalahan. Tapi akhirnya mereka akur pada keputusan pimpinan parti. Mereka pun membantu saya sambil lewa sahaja. Akhirnya saya dapat berceramah di kawasan Melayu dan menggunakan sedikit bahasa Jawa, dan mereka nampak ada sedikit kelebihan di situ, maka kemarahan mereka sedikit reda.

Apabila keputusan keluar saya kalah 2,044 undi tapi saya menang undi kawasan Melayu, ini berlaku buat pertama kali pertama. Kawasan saya adalah komposisi campuran, 42% Melayu, 56% Cina lebih sedikit dan 2% India. Melayu pula majoriti berketurunan Jawa dan Banjar. Tapi pada masa itu, dalam pemikiran saya di Sekinchan kita boleh menang tetapi kena bekerja lebih selepas kekalahan itu.

Ketika masa berkempen, ada berjumpa dan berjabat tangan semasa merayu undi dengan pengundi, mereka marahkan DAP kerana menurut mereka DAP hanya akan muncul ketika kempen pilihan raya. Jadi saya pun beritahu pemimpin setempat, kita perlu turun ke bawah jumpa pengundi sekurang-kurang 3 atau 4 kali sebulan selain memperkuatkan jentera dan tambahkan jumlah ahli.

Sehingga hari ini, kalau nak tahu sekarang ini kami akan turun bekerja jumpa pengundi setiap minggu dan tengah bulan kami akan adakan jamuan makan malam. Dari rumah ke rumah di Sekinchan ada 3 buah kampung yang majoritinya Cina, iaitu kawasan A, B dan C. Ada juga Bagan Sekinchan, ini kampung nelayan dan kawasan parit-parit itu kampung Melayu.

Kita pergi rumah ke rumah setiap petang untuk menjual tiket RM30 (ceramah makan malam), pada awalnya ada yang marah tapi semua ini beransur-ansur baik. Daripada skala 60 buah meja, menjadi ke 80 buah meja dan akhirnya bertambah. Ini semua dilakukan dengan konsisten setiap setengah tahun sejak dari pada tahun 1999. Apabila petani ada masalah, kita akan cuba bantu dan bawa masalah itu ke hadapan, buat bising dalam akhbar-akhbar, terutamanya soal harga barang-barang basah (sayur) termasuk soal petani.

Kemudian, pada tahun 2003 apabila Dr Mahathir melepaskan jawatannya kepada Abdullah Badawi, satu anjakan baru telah berlaku, berlakunya gelombang biru kerana adanya Perdana Menteri yang baru. Jadi angin perubahan berlaku, semua orang berubah menyokong BN.

Tahun 1999 pembangkang di Selangor ada 6 kerusi – YB Teng di Sungai Pinang, Ulu Klang YB Azmin Ali dan 4 lagi kerusi adalah kerusi PAS,  iaitu Sg Besar YB Ust Solihin,  Gombak Setia Ismail Kamus, Kajang Dr Shafie dan Sg Burung Hassan Ali (sekarang anti-Pakatan Rakyat).

Pada tahun 2004 (gelombang biru berlaku) Ust. Solihin, Hassan Ali, Dr Shafie (PAS), mereka ini semua kalah dan Azmin Ali pula tidak bertanding ada atas sebab-sebab tertentu dan ketika itu di Selangor hanya ada YB Teng Chang Khim dan saya saja yang menang dengan majoriti 344 undi. Pada ketika itu semua orang tidak percaya. Tapi saya yakin ini semua kerana kerja yang konsisten dari tahun 1999 selepas kekalahan saya yang pertama.

Itulah serba sedikit kronologi sejarah saya dalam menceburi bidang politik.

Selepas 2008,  bagaimana saudara melihat pembangunan atau pun perubahan dari aspek pentadbiran negeri Selangor.

Selepas 4 tahun pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim, saya lihat banyak perbezaan dan pembangunan negeri Selangor. Kini kita telah berada pada landasan yang betul khususnya dari segi pengurusan kewangan yang stabil dan kukuh. Kita menerima 4 bintang daripada Jabatan Audit. Pembangunan di negeri Selangor makin maju dan rakyat makin selesa kerana kebajikan yang disalurkan di bawah PR dengan agenda merakyatkan ekonomi dan juga hasil negeri untuk rakyat.

Konsep kerajaan baru adalah – hasil masyhul negeri wajib dinikmati oleh semua rakyat iaitu
merakyatkan ekonomi negeri. Bantuan kepada kaum Melayu, Cina dan India selama 4 tahun ini dah mencecah RM 600 juta, sekarang sudah mencecah RM 700juta untuk program kebajikan, Skim Mesra Usia Emas dan Khairat Kematian RM 2500.

Ia sekarang mendapat sambutan di semua kawasan, Hadiah Masuk Universiti RM1000, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), jaminan kita bila anak masuk Universiti maka anak sudah ada RM1,500 daftar sahaja. Dan kita tambah lagi  RM100 kepada ibubapa untuk membeli belah apabila anak yang mendaftar dengan TAWAS untuk sambut ulang tahun kelahiran anak. Kita ada buat Tuisyen Rakyat secara percuma di Selangor tapi kini BN cuba meniru apa yang dah kita buat.

Selangor beri air percuma sebanyak 20 liter padu kepada seluruh rakyat Selangor sejak 4 tahun lalu, jumlah mikronya sebanyak RM11.40. Di Pulau Pinang di bawah pemerintahan Ketua Menteri Lim Guan Eng kita telah praktikkan WiFi percuma untuk rakyat Pulau Pinang. Selangor free air, Penang free wifi tapi Pahang free radioktif.

Ini perbezaan yang cukup ketara, yang dulu kita (PAS,DAP dan PKR) dituduh tidak ada pengalaman untuk mentadbir dan sekarang kita telah tunjukkan yang kita mampu dari konsep ketelusan mentadbir.

Bebalik kepada isu pilihan raya dan  persoalan parti DAP, bagaimana perancangan dan susunan DAP di Selangor dan fokus utama yang dibawa oleh DAP dalam kempen bersama PAS,PKR ( Pakatan Rakyat)?

Dalam konteks ini DAP setiap bulan mengadakan mesyuarat perhubungan DAP negeri yang dipengerusikan oleh (Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi DAP Selangor) Teresa Kok untuk berbincangan beberapa isu yang berkaitan. Untuk makluman kami menjangkakan pilihan raya diadakan pada bulan Jun lalu tetapi Perdana Menteri sendiri pun takut
untuk mengumumkan bila akan ada pilihan raya. Kami sentiasa berbincang mengenai kawasan-kawasan yang bermasalah, mana-mana kelemahan kita yang perlu ditambah baik.

Strategi kita adalah lancarkan serangan di tempat MCA di mana mereka menyatakan kita tidak meneruskan kesinambungan untuk membina Pusat Kebudayaan Cina dan India di Selangor, mereka menuduh kita tidak prihatin soal kebudayaan masyarakat India dan Cina.Tetapi kita fikir, adalah tidak adil kerana cuma nak buat pusat kebudayaan Cina dan India saja (walau pun kerajaan negeri Selangor telah dan sedang usahakan program kebudayaan Melayu dan Islam). Maka kita turut buat Pusat Kebudayaan Melayu dan kita telah memilih di kawasan Sungai Klang sebagai lokasi dan Menteri Besar telah melancarkan agenda ini di kawasan yang dikenal pasti. Kini semua serangan daripada pihak lawan dapat kita tangani dengan baik.

Pada masa yang sama isu pendidikan, soal peruntukan untuk sekolah agama,sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil, juga telah kita perkasakan, kita buat satu peruntukan tahunan yang mana sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN.

Kini bantuan daripada kerajaan Selangor kepada 4 buah Sekolah Menengah Persendirian diberikan RM 2 juta setahun, RM 500 ribu kepada setiap sekolah, SRJK Cina ada  108 buah, kita beri RM 4 juta setahun mengikut keperluan, SRJK Tamil ada 92 buah, kita beri RM 4 juta setahun mengikut keperluan dan begitu juga sekolah Agama yang dahulu semasa zaman pemerintahan Khir Toyo, tidak pernah diberikan sebarang bantuan mahu pun geran, malah Tun Mahathir mengarahkan sekolah Agama ini ditutup.

Tetapi setelah Pakatan Rakyat mengambil alih kita bantu sekolah agama yang ada sebanyak 256 buah dengan jumlah RM 6 juta setahun, tahun ini kita tambah lagi RM 2 juta bermakna selepas 4 tahun Pakatan Rakyat memerintah kita telah peruntukkan sebanyak RM 8 juta untuk sekolah agama dan DAP tidak ada sebarang masalah, kita menyokong langkah inisiatif kerajaan kerana itu satu keperluan. Peruntukkan untuk sekolah Cina  dan Tamil juga di tambah.

Jadi, DAP memang berjuang untuk hak semua kaum, termasuk orang Melayu?

Di sini saya ingin mengubah persepsi tentang kononnya DAP parti perkauman kerana sebenarnya DAP adalah parti berbilang kaum, ia bukan parti memperjuangkan orang Cina. Kita adalah parti yang memperjuangkan hak semua rakyat dan saya tidak akan ada masalah sekiranya satu hari nanti akan ada orang Melayu berjiwa demokrat  untuk menjadi Setiausaha Agung DAP. Sekarang ini pun Pengerusi DAP bukan orang Cina tapi Karpal Singh. – Roketkini.com