Berita

Kerajaan Pulau Pinang bina hampir 4,000 rumah kos rendah, akan bina 18,000 lagi

KUALA LUMPUR, 16 JULAI : Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membina 3,806 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah sejak mengambil alih kuasa pada tahun 2008.

Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri juga telah mengumumkan tambahan 18,000 unit lagi rumah mampu milik untuk dibina, termasuk 1,320 unit yang akan dibina di atas tanah 6.9 ekar sepanjang Jalan SP Chelliah di tengah-tengah bandar George Town.

“Kami juga merancang untuk membina 12,000 lagi unit rumah mampu milik yang akan direka bentuk oleh konsultan antarabangsa Surbana yang dulunya dikenali sebagai HDB Corporation,” katanya menjelaskan tohmahan Barisan Nasional kononnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah membina rumah kos rendah untuk rakyat.

Pembohongan terbaru dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam debatnya melawan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini, kononnya tidak ada perumahan kos rendah di Pulau Pinang – ia merupakan tuduhan palsu dan putar belit MCA-BN

Zairil menempelak Chua kerana cuba mengalihkan perhatian dari fakta bahawa masalah perumahan di Pulau Pinang adalah hasil dari kegagalan dasar kerajaan BN sejak 50 tahun lalu.

“Kelalaian kerajaan BN yang lepas dengan mengenakan kuota kepada pemaju tanpa memahami keperluan pasaran dan tanpa mekanisme yang sepatutnya terhadap pemilikan dan penyelenggaraan telah menyebabkan masalah ini semakin buruk dengan jurang yang besar, kerana apa yang dilakukan tidak sepadan dengan permintaan dan keperluan rakyat.”

Katanya lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah mengambil langkah proaktif dengan menambah lagi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi dana perumahan mampu milik yang akan memenuhi keperluan perumahan rakyat dengan kualiti yang baik.

“Dalam debat tersebut Dr Chua berkata bahawa MCA telah terlibat dalam membina negara sejak hari pertama lagi. Tak hairanlah kita telah mewarisi masalah demi masalah yang sukar diselesaikan.

“Saya harap Dr. Chua berhenti dari mengelirukan rakyat mengenai perumahan kos rendah di Pulau Pinang kerana akhirnya rakyat sendiri akan mengetahui hakikat sebenar bahawa ia adalah satu penipuan MCA dan BN,” ujarnya. – Roketkini.com