Berita

Pesta Lagu Jalanan 2012: Seniman muda tidak dipinggirkan

PETALING JAYA, 16 JULAI: Pesta Pertandingan Lagu Jalanan 2012 yang menghimpunkan bakat-bakat hebat seniman muda berlangsung dengan jayanya dalam mempromosi kesedaran politik, cinta negara, anti-rasuah, anti-perkauman dan sayang alam sekitar.

Pesta ini yang diadakan di Laman MBPJ di sini pada Sabtu lalu telah menobatkan kumpulan Soul Saviour sebagai juara yang merangkul sebuah piala dan wang tunai sebanyak RM3,000.

Tempat kedua dimenangi ialah Abdul Wafi dengan membawa pulang sebuah piala dan wang tunai berjumlah RM2,000 manakala wang tunai sebanyak RM1,000 pula dibawa pulang oleh Mohammad Adam di tempat ketiga.

Anugerah persembahan terbaik yang membawa pulang wang tunai RM500 dianugerahkan kepada kumpulan Libang Libu.

Turut memeriahkan acara ialah persembahan mantap dari Second Combat, Dewangga Sakti, Zip Zieller, The Garrison, MC Stif, Floor 88, Rellent, Qiamat dan Nik Jidan yang turut melancarkan album terbarunya Gerakan Rakyat Merdeka.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dyana Sofya, acara yang julung kalinya dianjurkan ini merupakan satu permulaan yang baik.

“Semua peserta yang menyertai pertandingan ini sangat berbakat, bagus dan kita juga punya penonton yang berkualiti. Kami berharap pesta ini dapat dianjurkan lagi untuk masa yang akan datang dengan promosi yang lebih bersepadu dan meluas”.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan pihak keselamatan atas kerjasama yang diberikan.” ujarnya.

Bagi Nik Jidan yang merupakan salah seorang juri pertandingan, beliau melahirkan rasa puas hati terhadap penganjuran acara ini.

Band-band sangat bagus, saya harap agar ada badan-badan atau pihak-pihak tertentu yang boleh menyokong artis-artis, aktivis seperti ini untuk mengembangkan lagi bakat mereka kepada umum. Apa yang saya lihat, mereka mempunyai motivasi dan lagu yang bagus.

“Saya berharap agar mereka dapat banyakkan lagi lagu, kerana ia bukan hanya untuk Melayu atau orang di bandar-bandar sahaja tetapi juga di kampung malah sesuai untuk seluruh rakyat pelbagai kaum negara ini.” tambah beliau.

Selain persembahan dan pertandingan, Pesta Lagu Jalanan 2012 turut menempatkan pelbagai gerai pameran dan jualan NGO seperti SUARAM, Bersih 2.0, Pusat Komas, Kelab Kartunis Independen, Genta Media serta mendapat liputan langsung dari Radio Bangsar Utama sebagai media rasmi.

Majlis ini juga turut mendapat sokongan Majlis Peguam, Pusat Kucing Terbiar, Change Your World, Petpositive, Komuniti Buku Jalanan, Komuniti Frinjan, dan organisasi pelarian Sri Lanka, Somalia dan Myanmar, selain diadakan Sudut Pidato (Speaker’s Corner) dan dinding graffiti.

Majlis yang dinjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing, Pusat Khidmat DUN Kinrara dan Pusat Khidmat DUN Bukit Tunku ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Seputeh dan ADUN Kinrara Teresa Kok, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke dan ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh.-Roketkini.com