Berita

Isu air Selangor: Bukan krisis negeri tapi desakan Syabas

PETALING JAYA, 18 JULAI: Selangor sebenarnya tidak akan mengalami ‘krisis air’ jika Syabas, syarikat swasta yang menguruskan air di negeri itu, tidak memaksa kerajaan negeri supaya menggunakan loji rawatan Langat 2 – yang akan meningkatkan harga air di Selangor.

Oleh kerana Loji Langat 2 yang dijangka siap pembinaannya pada 2014 akan memakan belanja besar – RM12 bilion – untuk mengalirkan air dari Pahang, maka dijangkakan rakyat negeri Selangor terpaksa membayar harga tinggi untuk air bagi menampung kos Syabas.

Justeru, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, dakwaan yang digembar-gemburkan kononnya Selangor akan berhadapan dengan ‘krisis air’ sebenarnya berpunca dari Syabas yang mahu mendesak kerajaan negeri mengikut telunjuk orang lain.

Katanya, isu itu akan berlaku bukan kerana Selangor tidak cukup sumber air atau cara pengurusan air kerajaan negeri, tetapi kerana pembinaan Loji Langat 2 akan meningkatkan kos tarif air kepada rakyat.

“Sekiranya kita mengenakan kenaikan tarif air, katakan 35 peratus, ia memang satu perniagaan yang menguntungkan. Anda tak perlu mengurus dengan baik tetapi cukup dengan menaikkan harga air!

“adi saya memutuskan untuk menghentikan semua ini. Ini tidak adil untuk rakyat Selangor,” ujar beliau disambut dengan tepukan gemuruh hadirin di majlis mengumpul dana ‘Sokongan dan Solidariti: Tony Pua vs Syabas’ malam kelmarin bertempat di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini.

Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada hadirin kerana memberi motivasi kepada kerajaan negeri untuk melakukan perkara yang sepatutnya.

“Dulu kita cuma bercakap mengenai harapan, sekarang kita benar-benar laksanakannya,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, yang disaman oleh Syabas, sebagai pahlawan yang memperjuangkan hak air kepada rakyat Selangor dan Malaysia.

“Ia harus diberi keadilan sewajarnya. Sekiranya kita tidak berjaya mendapatkan keadilan di peringkat negeri, kita perlu mendapatkan Putrajaya untuk memastikan keadilan untuk semua,” ujar beliau.

Merujuk kepada isu Syabas dan kerajaan negeri Selangor, Kit Siang berkata ia bukan ‘privatisation’ (penswastaan) tetapi ia adalah ‘piratisation’ (lanun sapu bersih).

Majlis mengumpul dana ‘Sokongan dan Solidariti: Tony Pua vs Syabas’ malam tadi turut membariskan pimpinan yang lain seperti Teresa Kok, Gobind Singh Deo, Charles Santiago dan Tony Pua.

Sehingga majlis makan malam semalam jumlah kutipan yang berjaya ialah berjumlah RM310,000.

Sebanyak RM200,000 akan digunakan sebagai persediaan membayar saman Syabas manakala baki RM110,000 pula akan digunakan untuk dana DAP menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.- Roketkini.com