Berita

Menteri Pelancongan diberi bajet RM1.7 juta tapi belanja RM3.4 juta

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Menteri Pelancongan Dr Ng Yen Yen perlu menjelaskan kepada rakyat tentang bagaimana peruntukan kerajaan sebanyak RM1.7 juta untuk Persidangan Pacific Asia Travel Assosiation (PATA) pada April boleh menjadi RM34 juta.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata, dokumen rasmi menunjukkan wang yang diluluskan oleh Jemaah Menteri (Kabinet) cuma berjumlah RM1,738,300 pada 20 Februari lalu tetapi lebih RM3.4 juta telah dibelanjakan.

Katanya, Ng juga perlu menjelaskan mengapa begitu besar belanja untuk persidangan selama 3 hari.

Tambah beliau, minit mesyuarat yang diterimanya menunjukkan PATA telah menggunakan lebihan peruntukan pada 2010 untuk Tourism Malaysia. “Ini telah melanggar peraturan kewangan,” kata Loke.

Ahli Parlimen Rasah itu juga berkata PATA menunjukkan corak  perbelanjaan yang berbeza termasuk beberapa perbelanjaan yang agak melampau.

“Sebanyak RM15,600 digunakan untuk kos logistik manakala RM14,580 peruntukan kepada kad pra-bayar, makanan para petugas dan pembelian cenderamata.

“Apa yang mengejutkan, sebanyak RM20,000 diperuntukkan untuk mencetak sepanduk,” jelas beliau dalam sidang akhbar di sini semalam.

Selain itu, katanya, sebanyak RM447,000 dibelanjakan untuk makan malam bagi mengalu-alukan tetamu manakala sebanyak RM20,000 pula dibelanjakan untuk Ng dan kakitangan beliau bagi kos penginapan di Royal Hotel Chulan yang bertaraf lima bintang.

“Saya  tidak menafikan kepentingan pelancongan terhadap pendapatan negara tetapi seharusnya Ng perlu mengurangkan kos perbelanjaan dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin susut ini.

“Ini cuma satu persidangan. Bayangkan bagaimana pula perbelanjaan kerajaan apabila kita mempunyai persidangan antarabangsa hampir setiap tahun,” ujarnya lagi. – Roketkini.com