Berita

Isu Talam: “Mana dia skandalnya?”

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Mula-mula MCA tuduh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membazirkan RM1 bilion untuk “menyelamatkan” Talam Corporation Berhad, kemudian apabila didesak mengemukakan bukti, terkapa-kapa pemimpin MCA mencari bahan bagi menegakkan benang basahnya.

Kini tuduhan RM1 bilion berkaitan Talam sudah tiada lagi, sebaliknya anak Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong, yang membuat dakwaan itu cuba mengheret Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pula yang dituduhnya telah dipaksa oleh kerajaan Selangor untuk membuat pinjaman RM230 juta daripada bank untuk membeli tanah.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, apa salahnya meminjam RM230 juta bagi membeli tanah bernilai RM450 juta kerana PNSB merupakan sebuah syarikat pemaju hartanah yang sememangnya memerlukan tanah untuk dimajukan, kemudian dijual untuk mendapatkan pulangan kepada syarikat.

“Segalanya telah diaudit, dinilai dan diperakui akaun PNSB 2010 sendiri. Tidak ada bezanya dari syarikat pemaju yang lain sama ada syarikat swasta, syarikat awam (public listed) atau pun syarikat milik kerajaan.

“Jadi, pengambilan tanah untuk pembangunan masa depan adalah perkara biasa. Mana dia ‘skandal’ yang dikatakan itu?” soal beliau.

Minggu lalu Chua yang juga Ahli Parlimen MCA Labis telah membuat dakwaan terhadap kerajaan negeri Selangor atas peningkatan hutang PNSB kepada RM230 juta sedangkan ia adalah pinjaman yang membolehkan PNSB memiliki tanah di Bukit Beruntung 2 dan Bestari Jaya.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mengulas tuduhan Chua yang mendakwa rizab tunai PNSB semakin berkurang, iaitu sebanyak RM76 juta pada 2008 dan RM77.6 juta pada 2009.

Beliau menempelak Chua kerana kerana akaun PNSB jelas menunjukkan peningkatan mendadak rizab tunai kepada RM92.9 juta sehingga bulan Disember 2011, yakini selepas Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

Katanya, PNSB telah mencatatkan keuntungan RM8 juta pada 2009, RM23.4 juta (2010) dan RM28.4 juta (2011) berbanding kerugian sewaktu pemerintahan Barisan Nasional, iaitu rugi RM0.90 juta pada 2005, rugi RM7.5 juta (2006), rugi RM1 juta (2007) dan rugi RM15.6 juta (2008) semasa Khir Toyo menjadi Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, Pua telah mengajak Chua Tee Yong untuk berdebat tentang tuduhan MCA itu tetapi ditolak.

Pua sekali lagi mempelawa Chua, seorang akauntan bertauliah, untuk berdebat bagi membersihkan kekeliruan yang timbul.

“Jika Chua memilih untuk berdebat di lokasi yang ‘neutra’l selain di Wisma MCA, kita boleh adakannya di auditorium The Star,” katanya, merujuk kepada bangunan akhbar milik MCA. – Roketkini.com