Berita

Berikan statistik jenayah sebenar, jangan sembunyi fakta

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Orang ramai bimbang dan keliru dengan sikap pihak berkuasa yang didakwa masih menyembunyikan statistik sebenar tentang jenayah yang berlaku di negara.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, apabila pihak polis hanya memberikan statistik yang menyenangkan hati orang ramai, rakyat yang menyedari tentang jenayah yang sedang berlaku, sukar mempercayai statistik yang diberikan oleh polis, PEMANDU dan Kementerian Dalam Negeri.

“Saya percaya ada menteri yang terlibat untuk memastikan statistik yang tepat tidak dikeluarkan, terutamanya selepas Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) diwujudkan pada tahun 2009.

“Jangan beri statistik yang menyenangkan hati orang ramai tapi tidak beritahu statistik yang sebenar,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Pua, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa ‘persepsi’ rakyat mengenai keselamatan lebih penting daripada kejadian jenayah yang sedia ada.

Justeru, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri lebih telus ketika mengeluarkan statistik kadar jenayah serta membuat perubahan yang drastik agar dapat mengubah persepsi dan keyakinan rakyat terhadap keselamatan mereka.

“Sehingga hari ini saya masih belum menerima apa-apa jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri mengenai statistik jenis jenayah dan mengikut pecahan daerah yang telah diminta semasa sesi Parlimen yang lepas,” katanya.

Pua menyarankan PDRM agar mencontohi sikap profesional polis di United Kingdom dengan mengemaskinikan statistik di setiap kawasan agar orang ramai dapat berjaga-jaga semasa berada di tempat berkenaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, untuk mencapai ke tahap sepertimana yang dilakukan oleh polis di United Kingdom, polis Malaysia perlu menyiarkan semua data statistik jenayah yang berlaku sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Tambah beliau, statistik sedemikian perlu menyertakan kategori mengikut jenis jenayah, bulan serta daerah yang juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang kerajaan. – Roketkini.com