Berita

Wanita bijak, berani dan berdaya, negara akan sejahtera

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Majlis Pimpinan Wanita Pakatan Rakyat yang ditubuhkan baru-baru ini berhasrat mewujudkan Pusat Sokongan Wanita Bersepadu (PADU) di peringkat nasional.

PADU akan diusahakan bagi merealisasikan keberkesanan undang–undang yang merangkumi penubuhan baru dan pemberdayaan  pusat krisis sedia ada,  penambahan pusat kaunseling dan pemberdayaan NGO yang mendokong usaha ini.

Usaha ini yang dapat meningkatkan martabat dan maruah wanita akan dilaksanakan segera jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Usaha murni ini dalam kerangka Agenda Wanita Malaysia (AWM) telah dipersetujui bersama oleh Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita DAP, Chong Eng.

Dalam satu sidang media baru-baru ini, mereka juga mengemukakan cadangan AWAM yang turut merangkumi penubuhan Pusat Wanita Berdaya ( PWB ) bagi melahirkan golongan wanita yang berkemahiran, berilmu dan berdaya saing dalam masyarakat.

Wanita Pakatan Rakyat juga berhasrat memperkenalkan Caruman Wanita Nasional khusus sebagai pengiktirafan terhadap peranan wanita di dalam masyarakat.

“Kita mempercayai bahawa bantuan jika diberi tidak boleh berbentuk sekali sekala tetapi bantuan perlu bersifat membina dan berterusan.

“Caruman Wanita Nasional sebanyak RM50 secara bulanan daripada Kerajaan Pakatan Rakyat dan caruman sebanyak RM10 sehingga RM100 digalakkan diberi oleh para suami kepada isteri setiap bulan sebagai tabung simpanan hari tua, skim perubatan wanita dan tabung bantuan musibah apabila berlaku bencana, kemalangan atau kematian,” kata mereka.

Menurut mereka, semua cadangan AWM adalah usaha untuk melahirkan wanita yang bahagia, selamat dan sejahtera.

Terdapat penekanan penting kepada falsafah hormat wanita dan pembudayaan keusahawanan sosial (social entrepreunership) kerana kita mendapati wanita yang mempunyai jaringan kemasyarakatan (society safety net) yang kuat dan jitu akan lebih terjamin masa depannya, tanpa mengira latarbelakangnya.

Menurut mereka lagi, keusahawanan sosial mencerminkan kepercayaan Wanita Pakatan Rakyat terhadap wanita sebagai penggerak masyarakat dalam mencapai kesejahteraan Negara.

“Sesungguhnya, AWM yang kita lampirkan ini adalah cerminan harapan dan pelan bertindak Wanita Pakatan Rakyat melihat perlu dilaksanakan kelak diperingkat persekutuan.

“Kelak agenda yang kita mahu war-warkan bukan setakat pelan dan dasar yang menggubal tetapi kita mahu agenda yang menerapkan falsafah dan membudayakan agenda wanita di peringkat nasional dengan jelas,” ujar mereka.

AWM mempunyai tuju tumpu yang mencakupi aspek perundangan, kelangsungan hidup yang berkualiti, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial dan agenda wanita muda bagi menggerakkan masyarakat dalam usaha menggapai matlamat akhir untuk melahirkan wanita yang berdaya, celik politik dan cerdik ekonomi.

Paling penting, Wanita Pakatan Rakyat menyedari bahawa peminggiran wanita dan penindasan wanita berlaku kerana kedangkalan ilmu dan falsafah berkaitan dengan wanita dan haknya.

Oleh itu, mengambil pendekatan menjadikan “Falsafah Hormat Wanita” sebagai mendasari pelan pembangunan masyarakat, Wanita Pakatan Rakyat percaya merupakan langkah awal untuk mengubah keadaan sedia ada yang tidak mengangkat martabat wanita sebagai ibu, isteri anak dan anggota penting masyarakat.

Wanita Pakatan Rakyat menggalas tanggungjawab dengan penuh kesedaran bahawa kekuatan masyarakat madani akan mewujudkan kekuatan rakyat yang mandiri, bebas dan berdaya bagi mencapai matlamat akhir melahirkan negara yang sejahtera dan maju.

Oleh yang demikian, ciri-ciri utama Agenda Wanita Malaysia yang dibawa memperlihatkan tiga elemen utama iaitu :
(1) Pemberdayaan
(2) Pengiktirafan
(3) Pelaksanaan

Menurut ketiga-tiga pemimpin Wanita Pakatan itu, wanita yang berdaya di dalam gerak laku, rencana kerja dan aturan hidupnya merupakan misi Wanita Pakatan Rakyat melahirkan wanita Malaysia yang celik dan cerdik.

Walau pun ada yang menganggap kecelikan hak dan politik tidak perlu penekanan ke atas wanita, Wanita Pakatan Rakyat melihat pendidikan perlulah menyeluruh, termasuk menekankan dasar hormat wanita sejak kecil dalam mendepani elemen-elemen patriarchy sedia ada di dalam budaya masyarakat.

“Kita percaya generasi yang terdidik untuk memahami falsafah hormat wanita di dalam arus pendidikan nasional akan mengurangkan keganasan, penindasan dan peminggiran hak wanita.

“Kita perlu memberdayakan lelaki dalam masyarakat juga sebagaimana kita memberdayakan wanita kerana mereka saling memerlukan.

“NGO kita anggap sebagai rakan kongsi yang akan membudayakan falsafah hormat wanita dan peranan lelaki juga sebagai agen pelaksana Agenda Wanita tidak kita kesampingkan,” tambah mereka.

Wanita Pakatan Rakyat ingin menegaskan bahawa kerajaan sebagai pemerintah mempunyai peranan yang amat penting dalam merangka acuan dan membawa misi dan harapan kepada rakyat.

“Dalam hal ini kita melihat keperluan reformasi dasar. Dasar kepada asas pembentukan budaya yang progresif.

“Oleh itu AWM cukup menekankan kepada dasar yang membina komuniti dan wanita secara individu aktif di dalam komuniti. Konsep wanita di dalam komuniti dijaga bersama oleh komunitinya, memperlihatkan kelahiran masyarakat yang prihatin,” kata mereka. – Roketkini.com